Skip to main content

Singapura

analisisBERITA: Dilema sukan bola pikel - semakin popular, semakin mengganggu?

Sukan 'Pickleball' atau bola pikel menjadi topik perbahasan hangat akhir-akhir ini.
Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 20 Nov 2025 11:09PM Dikemas Kini : 03 Dec 2025 03:23PM
BERITA Mediacorp: Sukan 'Pickleball' atau bola pikel menjadi topik perbahasan hangat akhir-akhir ini.

Bukan sahaja kerana ia semakin popular di kalangan warga tempatan, tetapi juga aduan dan rungutan yang meningkat berhubung bunyi bising yang timbul semasa bermain, terutama di estet-estet HDB.

Maka tercetus pandangan pro-kontra masyarakat bagi sukan yang dijangka akan terus pesat berkembang ini.

Lantas, dapatkah dicapai satu keseimbangan di antara kepentingan penduduk dan penggiat bola pikel?

Berikut reaksi penyelidik dan Pengarah Urusan Nusantara Connect Dr Mohammad Shamsuri Juhari:

"Secara spontan, saya rasa isu ini sebenarnya menceritakan lebih banyak tentang keadaan hidup kita di Singapura daripada tentang 'pickleball' semata-mata. Kita hidup dalam suasana yang sangat padat.

"Rumah kita rapat, ruang kita terhad. Lebih ramai yang bekerja dari rumah, menjaga anak-anak kecil atau menjaga ibu bapa yang uzur.

"Jadi, dalam keadaan begitu, bunyi yang berulang seperti ketukan bola pikel ini memang mudah dirasakan sebagai mengganggu."

Namun, tidak bermakna ia harus menjejas, apalagi menyekat aktiviti sukan yang selari dengan agenda nasional, iaitu menyemai budaya hidup sihat, tambah Dr Shamsuri.

Bagi beliau, angka aduan yang semakin naik ini adalah seperti isyarat amaran bahawa kita perlu uruskan ruang bersama dengan lebih bijak.

"Tapi jangan sampai bola pikel ini dijadikan punca lontaran cemuhan masyarakat kerana ini membuatkan kita hilang manfaat kesihatan dan keharmonian hidup sosial, termasuk untuk masyarakat Melayu/Islam di Singapura," ujar Dr Shamsuri.

Semakin popular, semakin mengganggu?
Related article image
Bola pikel menggabungkan unsur sukan badminton, tenis dan tenis meja. (Gambar: Unsplash/Brendan Sapp)
Dicipta di Amerika Syarikat pada 1965, bola pikel menggabungkan unsur sukan badminton, tenis dan tenis meja.

Boleh dimain secara satu lawan satu atau berpasangan, ia semakin popular di Singapura sejak beberapa tahun lalu.

Dianggarkan, terdapat sekitar 2,000 pemain bola pikel yang bergiat aktif di pelbagai kemudahan yang terdapat di serata Singapura.

Sesetengah pemain, mula masuk gelanggang pada sebelah malam setelah pulang dari kerja.
Related article image
Namun seiring dengan itu, aduan bunyi bising yang dihasilkan bola plastik apabila dipukul dengan kayu pemukul atau melantun ke lantai, juga terus meningkat.

Dalam satu jawapan bertulis ke Parlimen pada September, pihak MND melaporkan - 700 aduan bunyi bising dibuat terkait sukan bola pikel sepanjang satu setengah tahun lalu.

Lalu, timbul persoalan: adakah ini petanda bahawa penduduk Singapura semakin bersikap kurang bertolak ansur?

"Dulu dalam suasana kampung memang bunyi kanak-kanak, hirup-pikuk hidup kejiranan atau azan dari surau memang dianggap sebagai kehidupan biasa. Kini ramai menjangka tahap ketenangan dan privasi yang agak lebih tinggi," kata Dr Shamsuri.

"Yang kedua, boleh dikatakan saluran untuk mengadu kini lebih mudah. Sekarang kita boleh buat aduan melalui aplikasi, secara hotline, melalui e-mail dan ini terus kepada majlis bandaran atau Anggota Parlimen kita."

Apatah lagi, hubungan sesama jiran tetangga serta dalam kalangan anggota masyarakat itu sendiri juga semakin kendur, keluh pengamat sosial itu.

Dr Shamsuri menarik perhatian betapa di banyak estet HDB, jiran sekarang tidak begitu mengenali satu sama lain.

"Jadi daripada sentimen mari berbincang, kita terus lompat kepada membuat aduan rasmi.

"Jadi saya lebih cenderung untuk mengatakan, bukan semata-mata kita ni makin kurang toleran antara satu dengan lain, tapi adanya struktur sosial atau jangkaan kita yang telah berubah," terang beliau.

'Masyarakat Diutamakan bukan Individu'
Related article image
Perdana Menteri Lawrence Wing akan menyampaikan ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan 2025 (NDR2025) pada petang Ahad (17 Ogos) dari kampus Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Ang Mo Kio. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Menurut Dr Shamsuri, kontroversi bola pikel turut mencerminkan apa yang diketengahkan Perdana Menteri Lawrence Wong semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan Ogos lalu.

Dengan menyemai nilai 'Masyarakat Diutamakan bukan Individu', ia dapat mengurangkan sikap terlalu mengutamakan diri sendiri.

"Isu 'pickleball' sebenarnya boleh dikatakan satu ujian praktikal di mana kita boleh anggarkan sejauh mana penyemaian nilai 'Kita' dan bukan 'Saya' yang sekarang ada.

"Sebab sikap 'Saya' di pihak pemain adalah - 'saya nak main bila saya suka, di mana saya suka'.

"Bagi penduduk pula, sikap 'Saya' adalah - 'saya mahu senyap sepenuhnya. Hentikan apa yang mengganggu saya, hentikan semuanya'," jelas Dr Shamsuri lagi.

Ini tentu jauh berbeza jika lebih ramai yang mengambil sikap 'Kita' - iaitu mendahulukan masyarakat, bukan individu, kongsi Dr Shamsuri.

"Dalam konteks ini, semangat 'Kita' bermaksud bagi pemain- kita harus sanggup sesuaikan waktu bermain, guna peralatan yang lebih senyap, menerima hakikat bahawa ada beberapa gelanggang yang kurang sesuai untuk permainan bola pikel," ujar beliau.

"Bagi penduduk, semangat 'Kita' adalah penerimaan bahawa ruang awam adalah ruang bersama, bukan sambungan ruang tamu kita. Dan sedikit bunyi yang merangkumi aktiviti sihat masyarakat adalah sebagian dari kehidupan bandar.

"Jadi mencari jalan tengah yang adil, bukan bertanya siapa menang dan siapa kalah."
Related article image
Namun, akibat aduan yang melonjak, termasuk kerana bermain bola pikel sehingga larut malam atau awal pagi, pihak-pihak majlis bandaran terpaksa mengenakan sekatan.

Antaranya, menetapkan waktu permainan, serta mengunci pintu gelanggang seawal 9.00 malam.

Dr Shamsuri berharap ini hanya sebagai huraian jangka pendek, sedang lebih banyak gelanggang yang sesuai untuk sukan tersebut dibangunkan.

Ini lebih-lebih lagi memandangkan bola pikel bukan sahaja semakin digemari warga emas, tetapi juga golongan belia.

Dr Shamsuri berkongsi pandangan: "Bola pikel boleh dijadikan alternatif sihat bagi belia, termasuk belia Melayu-Islam, berbanding hanya pada mereka yang leka dengan gajet dan 'gaming'. Konflik ni boleh kita jadikan peluang untuk membina kepimpinan belia.

"Belia boleh dilibatkan untuk melakarkan peraturan bersama. Masa bermain, saiz kumpulan, peralatan yang boleh digunakan. Ramai anak muda juga boleh kita jadikan sebagai duta gelanggang, di mana mereka boleh menerangkan adab bermain pada rakan-rakan yang lain dan berkomunikasi dengan jiran."

Bola pikel wadah menarik minat belia
Related article image
Di Masjid Al-Islah (Timur), belia sertai sesi khatam beramai-ramai. (Gambar: MUIS)
Satu lagi huraian yang Dr Shamsuri sarankan, adalah memanfaatkan populariti bola pikel bagi menarik golongan belia ke masjid-masjid serta badan-badan Melayu/Islam.

Menurut beliau, kegiatan bola pikel boleh digabungkan dengan program belia masjid atau persatuan, di mana mereka belajar nilai dan adab berjiran serta tanggungjawab sosial.

Kebanyakan masjid, tambahnya, sekarang ada ruang kolong.

Jadi, gunakanlah ruang itu sebagai tempat untuk permainan sukan seperti 'pickleball', pada masa-masa yang tertentu, kata Dr Shamsuri.

"Tempatnya juga tertutup, jadi bagi muslimah yang segan, mereka boleh menjadi aktif dalam sukan ini. Dan bunyinya tidak mengganggu orang luar. Jadi, prasarana masjid saya rasa sesuai untuk permainan sukan seperti bola pikel ini."

Isu bola pikel - perlu dilihat dari sudut lebih luas & seimbang
Related article image
Gelanggang pickleball di Singapura. (Gambar: Mediacorp)
Merumuskan topik perbincangan, Dr Shamsuri berasa yakin, kontroversi berhubung sukan bola pikel dapat dihuraikan secara saksama dengan semangat saling memahami dan melibatkan semua pihak.

Yang penting menurut beliau, adalah untuk melihatnya dari skop yang lebih luas serta jangka panjang.

"Sebagai seorang pengkaji, data adalah penting. Kita jangan hanya kira bilangan aduan, tapi juga kita harus kira tentang segi manfaat. Berapa ramai warga emas dan belia yang menjadi lebih aktif, hubungan sosial yang terjalin dan sebagainya.

"Jadi, bola pikel dan aktiviti seumpamanya boleh menjadi 'sandbox' atau makmal kecil untuk membina budaya, nilai budaya kita. Di mana hak untuk bersukan, untuk berehat, dan hak bersama dihormati bagi meraih manfaat gaya hidup yang lebih sihat dan bersepadu," menurut penyelidik mapan itu.
Sumber : BERITA Mediacorp/IQ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita