analisisBERITA: Dialog antara pemimpin masyarakat sivil kian penting dalam era media sosial
Perdana Menteri Lawrence Wong menyatakan lebih banyak ruang akan tersedia bagi menggalak perbincangan dalam kalangan pemimpin masyarakat sivil, khususnya berhubung isu-isu sukar seperti kaum dan agama.
Ia bertambah penting kerana kini, sesiapa saja bebas untuk bersuara di wadah media sosial, sehingga mampu mencetuskan hal yang tidak diingini.
Lantas, sesi dialog akan dilancarkan untuk menggalak perbincangan yang selamat dan sihat antara para pemimpin masyarakat sivil.
Menjelaskan siapa yang merangkumi masyarakat sivil, Zamil Kanan di ISEAS - Insitut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berkata mereka adalah sekumpulan sukarelawan yang bergabung demi sesuatu isu ataupun kecenderungan.
"Jadi kita tidak boleh melihat ia sebagai isu individu, calon-calon atau kepimpinan berdasarkan individu kerana ia adalah satu - kalau kita sebut dalam istilah Inggeris, "cause", satu kepentingan yang diperjuangkan oleh sekumpulan individu. Justeru, ia boleh wujud dalam pelbagai bidang. Antaranya, bidang agama, bidang budaya dan ia boleh berada dalam pelbagai bentuk. Baik pun bentuk institusi, berbentuk yayasan dan sebagainya," terang beliau.
KECEKAPAN TANGANI ISU SENSITIF
Dr Norshahril berkata pemimpin masyarakat sivil secara am mencuba sedaya upaya untuk meraikan perbezaan pandangan dalam sebuah masyarakat yang rencam.
Namun, adakah mereka bersedia untuk mengemudi perbincangan yang melibatkan isu sensitif seperti soal kaum dan agama?
Tahap kecekapan dan kemahiran mereka juga tidak seragam, tambah Dr Norshahril, kerana masyarakat sivil itu sendiri pelbagai dan ditubuhkan mengikut misi atau tujuan masing-masing.
"Yang boleh menilai sama ada mereka bersedia ataupun tidak adalah golongan yang mengangkat kepimpinan itu sendiri," ujar Dr Norshahril.
"Sekarang ini dari sudut NGO (badan bukan pemerintah), kita seringkali membincangkan tentang aspek agama dan budaya kerana itu sangat penting dalam masyarakat Melayu di Singapura dan juga masyarakat Singapura pada amnya."
Namun, Dr Norshahril menarik perhatian bahawa landskap masyarakat sivil sudah berubah dan ia seringkali rentas agama serta rentas sempadan negara.
"Misalnya, isu-isu seperti perubahan iklim, hak minoriti, hak jantina dan sebagainya adalah isu-isu rentas kaum dan budaya. Kadangkala kita memberikan fokus terhadap agama dan budaya, kita terlepas pandang dalam isu-isu yang lebih besar dihadapi oleh masyarakat," ungkap Dr Norshahril.
PENGARUH MEDIA SOSIAL; PERANAN NGO
Hakikatnya, perbincangan dalam kalangan badan bukan pemerintah (NGO) bukan sesuatu perkara baharu.
Namun isu-isu yang timbul sejak kebelakangan ini mungkin meningkatkan lagi keperluan bagi dialog lebih mendalam.
Kontroversi di media sosial, melibatkan kumpulan aktivis tempatan, Monday of Palestine Solidarity, dan komen mantan NMP Calvin Cheng mengenai isu Israel-Palestin menunjukkan bahawa peranan wadah seperti NGO kian terhakis.
"Dalam era media sosial, wadah-wadah seperti NGO ini sudah tidak begitu relevan ataupun bukan hanya satu-satunya wadah kerana individu itu sendiri boleh menyuarakan pandangan masing masing. Dan sebenarnya idea-idea itu boleh mendapat sokongan daripada orang-orang yang mungkin sebelum ini mereka belum berjumpa atau bersemuka secara fizikal. Golongan yang mungkin setuju dengan pandangan tersebut boleh menyuarakan pandangan itu menerusi...mungkin 'Like' ataupun komentar-komentar di media sosial," ulas beliau.
SEJAUH MANA PEMERINTAH HARUS TERLIBAT?
Lantaran itu, Dr Norshahril berkata langkah pemerintah untuk menggalak dialog sesama kumpulan sivil sangat dialu-alukan bagi memelihara keharmonian masyarakat.
Walaupun masyarakat sivil sebaiknya bebas daripada pengaruh pemerintah, beliau menambah adalah lumrah bagi kedua-dua pihak menjalin kerjasama bagi kemaslahatan masyarakat.
"Saya tidak fikir bahawa kerjasama itu bermakna kooptasi ataupun bersetuju dengan pemerintah tapi kerana ia untuk demi kebaikan satu wacana atau satu isu yang memerlukan kerjasama. Saya fikir perlu ada kerjasama tersebut di antara badan-badan bukan pemerintah dan juga pemerintah," luah Dr Norshahril.
Natijahnya, beliau tekankan, bukan masyarakat sivil yang harus dipandang tetapi wacana yang diperjuangkannya itu diteliti dengan cermat lagi hemat agar hasilnya nanti mampu meraih sokongan meluas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.