Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

analisisBERITA: Dasar Dwibahasa cerminan visi Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: 16 September merupakan ulang tahun ke-100 kelahiran Perdana Menteri Pengasas Singapura, Encik Lee Kuan Yew.

Pelbagai cara dan acara diadakan bagi memperingati segala jasa, sumbangan dan warisan mendiang kepada negara.

Banyak dasar serta nilai yang beliau terapkan sejak kemerdekaan Singapura, kekal hingga ke hari ini - termasuk dasar Dwibahasa.

Pengkaji Bahasa Melayu & Pensyarah Kanan NIE Dr Mohd Aidil Subhan menjelaskan mengapa dasar tersebut penting untuk terus dipertahankan.

KEPIMPINAN MELALUI TELADAN

Mendiang Encik Lee bukan sekadar menggubal dasar, malah memberikan contoh terbaik dalam penguasaan bahasa.

Beliau menguasai tiga bahasa utama Singapura, termasuk fasih serta petah bertutur dalam Bahasa Melayu.

Menurut Dr Aidil, ini memberikan mendiang Encik Lee kelebihan dalam mendekati pelbagai lapisan serta peringkat masyarakat.

"Beliau fikirkan tentang pentingnya penggunaan bahasa itu sebagai satu cara untuk berinteraksi dan itu penting, dan lebih banyak bahasa yang kita tahu, maka lebih mudah untuk kita berinteraksi dengan lebih ramai orang, dan lebih mudah untuk kita juga mendapat ilmu. Kita tahu bahawa dari sejarah Encik Lee Kuan Yew ini, dia fasih berbahasa Inggeris dan Melayu. Tapi kemudian, beliau belajar semula Bahasa Cina untuk mendalaminya kerana itu adalah budaya beliau sendiri, dan dia tidak berhenti. Bila dia sudah peringkat umur tinggi pun, beliau tetap mempelajari bahasa dan mendalami bahasa dan ingin tahu bagaimanakah kita boleh melestarikan bahasa kita sendiri, dan saya rasa itu penting"
Perdana Menteri Lee Hsien Loong bersama para AP meraikan ulang tahun ke-90 mendiang Lee Kuan Yew di Parlimen pada 16 Sep 2013. (Gambar: MCI)
Dr Aidil berkongsi, Encik Lee Kuan Yew mula memperjuangkan konsep Dwibahasa jauh sebelum Singapura merdeka dan beliau menjadi Perdana Menteri.

"Sebenarnya, pembabitan mendiang Lee Kuan Yew dalam Dwibahasa ini bermula semenjak 1956, apabila beliau duduk dalam All Party Report yang mana pada ketika itu, laporan telah dikeluarkan agar setiap sekolah di Singapura mengajar selain daripada Bahasa Ibunda, mereka juga perlu untuk mengajar Bahasa Inggeris dan ini telah dilaksanakan sejak tahun 1956. Dan apabila Singapura diberi kuasa pemerintahan sendiri pada 1959, maka ini diteruskan sehingga sekarang. Jadi sebenarnya, dasar Dwibahasa yang dipelopori Encik Lee Kuan Yew itu telah berjalan selama 67 tahun."


KRITIKAN TERHADAP DASAR DWIBAHASA

Walaupun berjaya bertahan selama lebih enam dekad, dasar Dwibahasa tidak terlepas daripada pelbagai kritikan terutama mereka yang menghadapi kesukaran menguasai dua bahasa.

Apatah lagi, apabila kelulusan dalam mata pelajaran Bahasa Ibunda dikaitkan dengan peluang untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi tangga pendidikan.

"Saya ada pengalaman dalam mesyuarat dengan Encik Lee. Beliau sendiri sudah tahu bahawa semakin dominannya Bahasa Inggeris maka akan ada impak terhadap penggunaan Bahasa Ibunda itu sendiri. Dan saya ingat beliau lihat pada saya dan beliau menyatakan dengan jelas bahawa, "Ia terpulang kepada anda, anda yang menentukan”. Bentuknya bagaimana, penggunaannya bagaimana dan apakah yang perlu dilakukan" kata Dr Aidil.

KONSEP DWIBAHASA YANG 'BERAT SEBELAH'

Dengan Singapura semakin bertambah maju dan terdedah kepada pengaruh global, timbul keprihatinan, penggunaan Bahasa Inggeris yang dominan dalam kalangan rakyat.

Ini terutama sekali bagi generasi muda, sehingga boleh menyebabkan penghakisan Bahasa Ibunda.

Namun bukan dasar Dwibahasa yang harus dipersalahkan, kata Dr Aidil.

"Dalam konteks Dwibahasa ini, peranan yang dimainkan bukan hanya oleh pemerintah sebagai satu dasar tetapi juga kita sebagai satu masyarakat yang mana kita tentukan bahawa dalam setiap hari kita menggunakan Bahasa Inggeris, kita tidak lupa dengan nilai-nilai kita yang mana disampaikan dalam Bahasa Melayu. Seperti saya selalu katakan, dalam konteks ini, saya menyatakan bahawa kita perlu menjunjung Bahasa Melayu dan menggendong Bahasa Inggeris dalam kehidupan kita.

GENERASI MUDA MELAYU SG MASIH KUASAI BAHASA MELAYU

Khusus tentang kesan dasar Dwibahasa serta penguasaan bahasa Melayu yang dikatakan lemah dalam kalangan anak muda Melayu, berikut pengamatan Dr Aidil tentang golongan yang beliau gelar generasi 'TikTok dan podcast'.

"Kalau di sekolah-sekolah, saya dapati pelajar-pelajar buat blog, belajar buat TikTok dan mereka menggunakan Bahasa Melayu dengan baik, cuma pada tahap kebolehan mereka. Jadi kita perlu galakkan, saya rasa penting untuk kita raikan. Jadi kalau kita berTik-Tok, kita berblog, gunakanlah Bahasa Melayu supaya kita melihat bahawa Bahasa Melayu itu semakin mekar dalam kehidupan kita seharian. Dan sekarang kajian menunjukkan seorang individu atau kanak-kanak yang boleh berdwibahasa atau bertutur dalam tiga bahasa, kemahiran kognitifnya amat tinggi. Dia akan menjadi insan yang terbuka untuk menerima idea-idea yang baharu dan boleh bertutur kata dengan lebih baik."

(Gambar fail: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)
KEMAMPUAN DWIBAHASA MEMPUNYAI KELEBIHAN

Dianggarkan, hampir 300 juta penduduk di wilayah Nusantara bertutur dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Indonesia.

Ia merupakan Bahasa Kebangsaan untuk empat buah negara, iaitu Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura sendiri.

Oleh itu, sesiapa yang menguasainya, mempunyai satu kelebihan yang cukup bermanfaat.

"Kita hidup dalam rantau yang mana negara-negara jiran kita menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama mereka. Walaupun mereka juga menggunakan Bahasa Inggeris, tapi satu penting adalah identiti masyarakat Singapura dan masyarakat Melayu Singapura adalah, dia boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris yang baik dan juga Bahasa Melayu yang baik. Jangan lupa kedua-dua bahasa itulah. Dan inilah warisan Lee Kuan Yew sebenarnya" ulas Dr Aidil sebagai menggulung hujah beliau.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan