Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

analisisBERITA: Dapatkah usaha SG tangani diskriminasi pupuk budaya lebih harmoni di tempat kerja?

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 07 Aug 2023 11:02PM Dikemas Kini : 23 Aug 2023 10:10AM
SINGAPURA: Kesemua 22 saranan yang dibentangkan Jawatankuasa Tiga Pihak bagi Keadilan di Tempat Kerja, diterima pemerintah Jumaat lalu (4 Ogos).

Ia turut mempamerkan kesungguhan Singapura bagi meningkatkan usaha menangani diskriminasi di tempat kerja.

Apakah isyarat yang ingin diberi menerusi pendekatan terbaharu ini? Dapatkah ia nantinya memupuk budaya yang lebih harmoni di tempat kerja?

Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Dr Syed Harun Taha Alhabsyi, yang juga pakar psikiatri, berkongsi pandangan beliau dalam ANALISIS.

"Diskriminasi, saya rasa ia tidak boleh dipandang remeh masalah ini, dan ini diakur oleh pemerintah, sebab itu terdapat undang-undang tersebut. Walaupun ia persepsi dan mungkin tidak ada kenyataan di situ, ia mesti ditangani secara serius, kerana ia boleh menjejas semangat, keyakinan di tempat kerja, dan sekali gus ia boleh menjejas produktiviti organisasi tersebut."

AMALAN DISKRIMINASI PALING LUMRAH, DIKENAL PASTI

Lima amalan diskriminasi yang lumrah berlaku berkaitan pekerjaan dikenal pasti.

Para pemohon pekerjaan serta golongan pekerja akan dilindungi dari sudut umur, kerakyatan, jantina, kaum dan agama.

Yang terakhir, iaitu dari sudut ketidakupayaan atau masalah mental, turut dialu-alukan Dr Harun.

"Saya rasa ia penting, ia melambangkan bahawa masyarakat kita lebih menerima, bukan sahaja dari penyakit mental, tapi pada unsur-unsur yang lain juga. Kita lagi matang dari segi interaksi kita sebagai satu masyarakat, dan kita lihat kepada mereka yang mungkin ada kekurangan dan sebagainya dan menerima mereka."

USAHA ATASI DISKRIMINASI DIPERTINGKAT MESKI BANYAK KEMAJUAN DICAPAI

Menurut data Kementerian Tenaga Manusia (MOM), kes diskriminasi berkaitan pekerjaan jauh merosot berbanding lima tahun lalu.
Jika pada 2018, 42.7 peratus pemohon kerja mengadu menjadi mangsa diskriminasi, kadar tersebut telah merosot kepada 25.8 peratus pada 2021, dan 23.8 peratus tahun lalu.

Aduan tentang diskriminasi di tempat kerja juga telah merosot dengan banyak. 24.1 peratus pekerja melaporkan insiden sedemikian pada 2018. Namun ia merosot ke bawah 9 peratus pada 2021 dan 2022.

Bagi kes kesihatan mental khususnya, ia merupakan punca diskriminasi di tempat kerja yang tertinggi tahun lalu, dan di tangga kedua sebelumnya pada 2021. Dua lagi amalan diskriminasi paling kerap adalah umur dan kaum.

Menurut Dr Harun, ini kemungkinan pengaruh dari dua faktor. Pertama, lebih ramai pekerja yang bersedia tampil ke hadapan dengan masalah mereka. Kedua, kekeliruan tentang punca di sebalik sakit mental.

"Isu kesihatan mental itu boleh berpunca dari berbagai masalah dan tidak semestinya akibat pekerjaan. Tetapi apabila kita lihat kepada punca-punca seperti punca biologi, atau punca psikologi, ataupun punca dari rumah sebagai contoh.

"Ia juga boleh menjejas daya tahan seseorang itu sehingga mengakibatkan kurangnya dayanya untuk melunaskan pekerjaan dan tanggungjawab tersebut. Jadi ia berbilang faktor.

"Mungkin susah untuk kita lihat kepada satu-satunya sebab tertentu dan kita perlu melihat secara keseluruhan apabila seseorang itu mempunyai penyakit mental."

Contohnya, kes Uvaraja Gopal, pegawai polis yang membunuh diri baru-baru ini selepas mendiang mengaku menghadapi pelbagai tekanan di tempat kerja.

Ini walaupun setelah pihak SPF menghulurkan pelbagai bantuan, termasuk memberi mendiang cuti sakit yang panjang.

MAJIKAN KINI LEBIH PEKA BANTU PEKERJA YANG ALAMI MASALAH KESIHATAN MENTAL
Dr Syed Harun turut berkongsi bahawa menurut pengamatan beliau, para majikan kini lebih peka terhadap tekanan mental yang dihadapi golongan pekerja, terutama pasca-pandemik.

Oleh itu, beliau anjurkan agar pekerja yang yang menunjukkan gejala, perlu bersikap lebih proaktif.

"Memang secara lumrahnya mereka yang menghidap penyakit mental, ada antara mereka yang berasa malu, walaupun mungkin berdepan dengan kawan-kawan yang rapat ataupun keluarga sendiri. Jadi ia satu isu yang sensitif.

"Saya syorkan untuk mereka adakan perbincangan dengan majikan mereka. Ada antara majikan mempunyai kaunselor dalaman, atau parakaunselor, di mana terdapat kemudahan untuk para pekerja yang mungkin menghidap penyakit mental atau kesusahan hidup pada masa itu, untuk mendapatkan pertolongan.

"Gunakan kemudahan itu, kerana sekali-sekala, memang kita semua boleh menggunakan pertolongan masing-masing."

MAJIKAN BOLEH DIKENAKAN TINDAKAN TAMBAHAN

Undang-undang yang disaran bagi mengekang diskriminasi di tempat kerja bermakna, lebih banyak tindakan boleh diambil ke atas para majikan yang mengamalkan diskriminasi.

Namun, yang lebih dianjurkan menurut Dr Harun, adalah budaya di tempat kerja yang harmoni dan sikap saling memahami dan menghormati di setiap peringkat.

"Majikan perlu memastikan bahawa budaya pekerjaan itu seimbang, untuk memupuk kepercayaan antara pekerja dan majikan - satu budaya yang mungkin beramanah dan adil kepada semua pekerja-pekerja mereka dan ia boleh memupuk satu keadaan yang membawa kepada keselamatan pekerjaan, keselesaan bekerja secara harian.

"Ini antara budaya-budaya yang penting supaya untuk menghakis diskriminasi di tempat kerja."

Undang-Undang Keadilan di Tempat Kerja dijangka diperkenal pada Julai tahun depan.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan