Skip to main content

Singapura

analisisBERITA: Cabaran bagi graduan baharu untuk raih pekerjaan satu fenomena global

Anggaran Waktu Membaca:
Dalam satu tinjauan terbaru melibatkan lima universiti tempatan, jumlah graduan baharu yang berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian, semakin merosot.

Malah, kadar pengangguran bagi golongan siswasah baharu sebegini meningkat seganda berbanding 2022.

Satu tinjauan yang melibatkan sekitar 12,5000 siswazah baharu universiti-unversiti tempatan tahun lalu menunjukkan, jumlah yang mendapat kerja dalam enam bulan pertama semakin berkurangan.
Suasana di kawasan pusat bandar Singapura. (Gambar fail: Ngau Kai Yan)

Iaitu sekitar 87 peratus pada 2024, berbanding hampir 94 peratus dua tahun lalu.

Malah, jumlah mereka yang menganggur bagi tempoh yang sama, naik seganda, daripada 6.2 peratus kepada hampir 13 peratus.

Sejauh mana trend ini disebabkan oleh faktor-faktor ekonomi, atau sebenarnya mungkin ada alasan-alasan lain disebaliknya?

Menurut Cik Sharifa Nafisa, Ketua Pegawai Eksekutif sebuah firma audit serta cukup berpengalaman dalam pengambilan bakat, trend sedemikian berlaku di peringkat global.

"Sebenarnya, isu ini bukan sahaja dihadapi oleh siswazah Singapura, ia merupakan isu sedunia yang juga dapat diperhatikan di negara-negara barat, seperti Amerika Syarikat. Menurut kajian yang dilakukan oleh syarikat S&P Global, jumlah peluang pekerjaan sekarang kurang jika dibandingkan dengan tahun sebelum penularan COVID-19. Selain itu, seperti yang kita lihat kebelakangan ini, terdapat perubahan struktur dan operasi yang dilakukan oleh syarikat-syarikat besar dalam bidang teknologi dan perbankan, yang menyebabkan kurangnya keperluan pekerja dalam syarikat-syarikat ini. Operasi syarikat-syarikat ini kini beralih kepada pengunaan kecerdasan buatan atau AI, di mana jumlah pekerja baharu yang diperlukan berkurangan."

SIKAP, MINDA & PILIHAN GAYA HIDUP TURUT PENGARUHI PELUANG KERJA

(Gambar hiasan: iStock)

Tambah Cik Nafisa, menerusi pelbagai interaksi beliau bersama para mahasiwa serta generasi muda yang baharu ingin membina kerjaya - sikap, minda dan pilihan gaya hidup turut menjadi penentu cepat atau lambat seseorang graduan mula bekerja.

"Selain faktor-faktor industri, perspektif siswazah baru sekarang lain daripada siswazah 20 atau 10 tahun yang lepas. Siswazah kini lebih meminati pekerjaan gig atau separuh masa berbanding dengan pekerjaan sepenuh masa. Ini kerana, mereka cenderung untuk mendapat keseimbangan hidup dan kerja. Pekerjaan separuh masa membolehkan siswazah kini memperoleh pengalaman dan kemahiran yang lebih luas, kerana mereka dapat bekerja dengan pelbagai syarikat berlainan dalam jangka masa yang pendek. Mereka ingin jadi pempengaruh. Ada yang ingin menjadi barista Starbuck. Minat mereka lain, berbanding generasi yang sebelumnya. Cara mereka berfikir pun agak lain."

TEKNOLOGI BOLEH JADI PENDORONG ATAU PENGHAMBAT BAGI MERAIH PELUANG KERJA

Perdana Menteri Britain Keir Starmer berikrar akan menjadikan negaranya sebagai “kuasa besar” dalam bidang kecerdasan buatan (AI). (Gambar hiasan: iStock)

Pengaruh cukup meluas teknologi turut mencipta peluang-peluang baharu kepada generasi celik teknologi.

Selain pelbagai peluang kerjaya yang baharu, pekerjaan juga tidak lagi terikat dengan satu-satu tempat.

Namun ia juga ada sisi 'senjata makan tuan', kerana para majikan juga membuat penyesuaian mengenai jenis pekerjaan yang ingin ditawarkan.

"Dalam salah satu persidangan yang saya hadiri, seorang pemimpin berkongsi yang ramai siswazah lebih berminat kepada peluang pekerjaan yang membolehkan mereka bekerja dari rumah, mungkin salah kesan dari penularan COVID-19. Jadi pemimpin itu berkata, jika majikan boleh menawarkan peluang pekerjaan itu kepada pekerja untuk berkerja dari rumah sepenuh masa, mereka lebih rela menawarkan peluang itu kepada pekerja dari negara lain dengan kos yang lebih rendah. Ini juga merupakan pengamatan saya semasa berinteraksi dengan syarikat-syarikat yang memerlukan pekerja."

SG MAMPU TERUS SEDIAKAN PELUANG KERJAYA YANG PERLU DIREBUT
 

Pensyarah sambilan di SIT ini berkongsi keyakinan, Singapura mampu untuk terus menyediakan pelbagai peluang kepada generasi masa depan.

Lantas, para lulusan universiti tempatan digesa untuk terus bersikap proaktif bagi mengejar impian masing-masing.

"Siswazah baru boleh meningkatkan peluang mereka dalam mendapat pekerjaan dengan menghadiri persidangan atau acara yang dihadiri syarikat-syarikat dalam bidang pekerjaan mereka, untuk berkenalan dengan mereka. Dalam bahasa Inggeris dikatan sebagai “to build your network”. Mereka juga boleh mendapat pengalaman kerja melalui kerja amali atau pekerjaan kontrak, supaya syarikat-syarikat ini yakin dengan kebolehan mereka dan menawarkan pekerjaan sepenuh masa kepada mereka. Siswazah baharu juga boleh mengambil kursus-kursus untuk mempertingkatkan kebolehan mereka seperti kursus AI, Analisis Data, Pengurusan Projek, Kemahiran Insaniah dan lain-lain."

Merumuskan perbincangan, Cik Nafisa menegaskan bahawa Pemerintah sentiasa mengambil pelbagai langkah bagi memacu ekonomi dan menciptakan pekerjaan, termasuk melalui Belanjawan negara.

Oleh itu, peluang akan sentiasa terbuka kepada mereka yang berusaha dan terus mencuba.

"Secara keseluruhannya ini dapat membantu siswazah kita menjadi calon yang sesuai dan layak ditawarkan peluang pekerjaan yang baik. Peluang pekerjaan memang ada, tidak kurang, cuma siswazah harus menyesuaikan diri dengan sifat ingin belajar, sifat ingin tahu, pandai membuat penyesuaian. Pada saya, tidak kira jenis industri, asalkan kita mempunyai niat untuk belajar, kita pasti mendapat kejayaan."
 
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita