Skip to main content

Singapura

analisisBERITA: Benarkah perniagaan warisan di Kampong Gelam hadapi masa depan suram?

Anggaran Waktu Membaca:

Penutupan Warong Nasi Pariaman pada penghujung Januari 2026 mencetuskan keprihatinan meluas mengenai nasib perniagaan warisan di kawasan Kampong Gelam.

Isu tersebut mendapat sorotan tajam - baik liputan media massa, perbincangan di wadah-wadah media sosial, sehingga ke perbahasan Parlimen.


Antara kebimbangan termasuklah - Adakah wajah daerah warisan itu akan terus berubah hingga hilang ciri-ciri khasnya?

Serta, bagaimana untuk mengimbangi keperluan mengekalkan perniagaan warisan dengan hakikat trend pasaran, contohnya harga sewa yang melonjak.

Pengerusi Perikatan Kampong Gelam (KGA) Zaki Ma'arof, badan yang giat menyemarakkan ciri-ciri budaya dan tradisi kawasan itu, berkongsi keprihatinan beliau.

"Peniaga warisan ni sebenarnya apa yang tersisa di Kampong Gelam tu sangat sedikit. Itu menjadikan satu kekhuatiran buat kita. Apa yang terjadi pada Pariaman kita masih belum putus asa, jadi di pihak KGA, kita terus mengajak keluarga dari Pariaman, kita cuba membantu."

Ini lebih-lebih lagi memandangkan, setelah hampir 80 tahun bertahan di Kandahar Street, Warong Nasi Pariaman cukup ikonik bagi Kampong Gelam, tambah Encik Zaki.

"Yang penting, perniagaannya tetap berkibarlah, jangan sampai Warong Pariaman itu berhenti untuk berniaga.Kalau terjadi ini boleh juga menyebabkan lain-lain perniagaan mengikuti jejak Pariaman."

MENGAPA PENTING UNTUK KEKALKAN PERNIAGAAN WARISAN

Related article image
Warong Nasi Pariaman, sebuah restoran yang menjual makanan Melayu di daerah Kampong Glam, mula ditubuhkan pada 1948. (Gambar: Instagram/pariamanmasakanpadang)

Namun, buka-tutup restoran dan perniagaan makanan bukan sesuatu yang asing bagi sektor F&B di Singapura.

Lantas, mengapakah penutupan Warong Nasi Pariaman menjadi tajuk hangat perbualan sehingga ke peringkat nasional? Berikut jawapan Encik Zaki.

"Kampong Gelam itu sudah diwartakan menjadi satu kawasan konservasi dan tempat Melayu/Islam, apalagi dengan megahnya terdiri Masjid Sultan yang sudah 200 tahun, dan ada Istana Kampong Gelam. Jadi kita perlu menjaga identiti Kampong Gelam sebagai kawasan masyarakat Melayu/Islam."

Lebih-lebih lagi memandangkan kawasan tersebut kini semakin menarik minat ramai pelancong, tambah Encik Zaki.

"Lembaga Pelancongan Singapura (STB) memasarkan Kampong Gelam di merata dunia, tempat warisan, tempat konservasi tetapi bila pelancong datang mereka melihat - Ini bukannya tempat konservasi? Ini tempat jual semua jenis perniagaan ada di situ. Jadi kalau boleh kita cuba hendak elakkan."

Perlu diakui, terdapat pelbagai faktor yang menentukan sama ada sesebuah perniagaan itu mampu kekal bertahan.

Dengan matlamat mahu mencari untung - beban kos niaga, termasuk gaji pekerja dan harga sewa, tentu menjadi antara faktor penghambat.

Namun semasa perbahasan di Parlimen, Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Negara Dr Syed Harun menegaskan, harga sewa di daerah Kampong Gelam untuk dua tahun kebelakangan ini masih terkawal.

"Apa yang diumumkan oleh AP Encik Syed Harun, itu sebenarnya adalah data yang mereka dapat dari URA dan sejujurnya lebih terperinci. Namun, kawasan Kampong Gelam itu adalah berbeza-beza dari segi lokasi - seperti Bali Lane dan Haji Lane, begitu juga Bussorah Street dan Baghdad Street. Ini adalah tempat yang dicari-cari oleh peniaga."

Kongsi Encik Zaki, dengan Kampong Gelam kini semakin popular, hartanah di kawasan tersebut juga sering bertukar tangan.

"Ini belum lagi faktor di mana pemilik bangunan dari orang-orang asing yang sekarang sudah memiliki bangunan-bangunan tersebut. Itu juga mereka beli dengan harga yang mahal, dan cara yang terbaik dan tercepat mengaup balik pelaburan adalah menetapkan harga sewa yang tinggi."

AGENSI-AGENSI PEMERINTAH AKTIF PERTAHANKAN CIRI KHAS KAWASAN WARISAN

Related article image
Masjid Sultan dan Arab Street. (Gambar: AFP/ROSLAN RAHMAN)

Encik Syed Harun turut berkongsi di Parlimen bahawa agensi-agensi pemerintah secara aktif memantau trend pasaran di kawasan warisan, supaya tidak terlalu menjejas perniagaan tradisional.

Dari pengalaman Perikatan Kampong Gelam sendiri, memang terdapat pelbagai usaha ke arah tersebut.

"URA bekerjasama dengan KGA itu dengan sangat tekun untuk bagaimana kita melancarkan beberapa program, melancarkan beberapa projek untuk mempertahankan warisan dan budaya di Kampong Gelam ini."

Lantas, pihak KGA ingin meningkatkan usaha bagi menarik serta mengekalkan perniagaan warisan di Kampong Gelam.

"Kita akan meminta penempatan baharu. Kita panggilnya 'Place Making'. Penempatan baharu yang nantinya kita akan menempatkan atau membuka era baru untuk sesiapa yang pernah menjual atau memiliki perniagaan yang menjual produk-produk warisan. Jadi, mudah-mudahan dengan usaha seperti demikian, kita dapat mempertahankannya."

Satu lagi usaha yang boleh difikirkan bersama tambah Encik Zaki, adalah memanfaatkan keberadaan Taman Warisan Melayu yang cukup ikonik.

Contohnya, dengan menyediakan ruang F&B yang khusus menyediakan hidangan tradisi Melayu.

"Kalau mereka adakan, baik untuk peniaga kita, apalagi untuk pelancong. Dia boleh datang ke sana, jadi pusat sehenti, dia boleh melihat khazanah Melayu kita, dia boleh lihat juga makanan-makanan yang selama ini atau kuih-kuih atau bagaimana persembahannya."

Parlimen turut dimaklumkan dalam satu jawapan bertulis, bahawa terdapat 26 bangunan di Kampong Gelam yang berdiri di atas tanah wakaf, dan diuruskan oleh Warees, iaitu entiti milik MUIS.

Lalu timbul persoalan, bagaimana aset masyarakat ini dapat digembeling bagi membantu perniagaan warisan.

"MUIS, Warees, keluarga-keluarga keturunan Arab, juga MTFA, badan-badan seperti ini sangat membantu dan menjadi contoh yang baik. Sebabnya mereka banyak memberikan sewa kepada peniaga-peniaga yang selama ini masih bertahan - salah satu sebab adalah harga sewa yang mereka berikan itu sangat baik, tidak seperti harga di pasaran", dedah Encik Zaki.

MEMPERTAHANKAN CIRI KHAS KG GELAM TANGGUNGJAWAB SEMUA

Related article image
Kawasan perniagaan di hadapan Masjid Sultan (Gambar: BERITAmediacorp/Taufiq Zalizan)

Di sebalik kelam dek penutupan perniagaan warisan bernama Warong Nasi Pariaman, masih ada sinar positif.

Encik Zaki berkata, ia membangkitkan kembali keprihatinan mengenai wajah Kampong Gelam seterusnya.

Beliau berharap ini dapat menjadi pemangkin bagi menghimpunkan kekuatan & sumber masyarakat, agar Kampong Gelam kekal sebagai kawasan warisan kebanggaan masyarakat Melayu/Islam.

"Mudah-mudahan kita semua, bukan hanya KGA, TWM, DPPMS, malah semua badan-badan Melayu/Islam di Singapura, kita bergabung mencari satu huraian, mencari satu jalan keluar yang baik. Jadi kita mesti buktikan dari usaha sedaya upaya kita."

Tidak lupa juga masyarakat Melayu/Islam Singapura, kerana masing-masing punya peranan, gesa Encik Zaki.

"Masyarakat dari setiap lapisan, kita cuba bersama-sama, kerana inilah satu yang sudah diwariskan, yang pemerintah sudah berikan kepada kita, warisan untuk kita memperkaryakan, untuk menjaga dengan baik. Kita perlu menjaga hak identiti Kampong Gelam sebagai tempat Melayu/Muslim. Itu yang sepatutnya akan kita teruskan perjuangan di situ."

Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita