analisisBERITA: Banjir meluas di Asia - apa langkah wajar diambil jika sudah rancang bercuti ke negara terjejas?
SINGAPURA: Sebahagian wilayah Indonesia, Thailand dan Malaysia ditimpa kemusnahan apabila ribut di Selat Melaka mencetuskan hujan lebat dan banjir meluas.
Cuaca ekstrem turut membadai Vietnam dan Filipina di Asia Tenggara, selain Sri Lanka dan India di Asia Selatan.
Memadangkan banjir meluas yang berlaku serentak dengan musim cuti sekolah hujung tahun, apakah langkah yang wajar diambil jika anda sudah merancang untuk melancong ke daerah terjejas?
Turut menjadi persoalan, berapa lamakah cuaca ekstrem ini dijangka berlarutan?
BANJIR MELUAS DI ASIA
Banjir dahsyat pada penghujung 2025 meninggalkan kesan cukup besar - menyebabkan lebih 1,400 penduduk terkorban setakat ini, seluruh masyarakat kehilangan tempat tinggal dan gangguan ekonomi berskala besar.
Menurut Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), hujan lebat yang dipacu oleh ribut tropika yang melanda Asia Tenggara dan Asia Selatan baru-baru ini, akan menjadi kelaziman dalam dunia yang semakin memanas.
Walaupun banjir lazimnya berlaku semasa musim tengkujuh, seorang pakar kemampanan dan perubahan iklim menjelaskan bahawa fenomena cuaca ekstrem kebelakangan ini berpunca akibat gabungan beberapa faktor.
"Dari sudut fenomena klimatologi, berlakunya La Nina dan apa yang dikatakan sebagai fasa negatif Dipol Lautan Hindi (IOD), yang menyebabkan monsun ini lebih kuat dan berterusan. Sistem taufan luar biasa akan menguatkan lagi hujan. Semua ini sebenarnya gejala pemanasan global yang boleh menyebabkan udara menampung lebih banyak kelembapan. Maka itu, kita akan mengalami lebih banyak hujan ekstrem."
Penasihat Perubahan Iklim, Pusat Kajian Tadbir Urus dan Politik (Cent-GPS) di Kuala Lumpur, Dr Renard Siew, turut menambah bahawa...
"Faktor manusia pula akan memburukkan kesannya. Misalnya, penebangan hutan, penggunaan tanah yang tidak terkawal dan juga urbanisasi tanpa saliran yang cukup berkemungkinan menjadikan kawasan tanah rendah lebih mudah dinaikki air."
Sebagai contoh, penebangan hutan disyaki menyumbang kepada skala bencana yang melanda pulau Sumatra di Indonesia, yang mencatatkan jumlah korban tertinggi dalam kalangan negara-negara yang terjejas.
Dengan hujan terus diramal di Indonesia dan Sri Lanka, manakala ibu kota Bangkok di Thailand pula sedang bersiap sedia menghadapi banjir, berapa lama lagi keadaan cuaca ekstrem ini dijangka berlarutan dan apa kesannya?
Menurut Dr Siew, suhu dunia kini semakin hampir ke paras tambahan 1.5 darjah Celcius yang menjadi kebimbangan para saintis.
"Ini bermakna akan berlakunya lebih banyak kejadian cuaca ekstrem. Bukan sahaja banjir, tetapi juga kemarau buruk berpanjangan, dan semua ini akan menyebabkan gangguan kepada ekonomi, mata pencarian, kehilangan nyawa dan ia terutamanya, saya fikir, akan teruk di Asia Tenggara."
"Risiko gelombang banjir susulan, limpahan sungai dan tanah runtuh kekal nyata. Ini terutamanya apabila masih wujud sistem cuaca aktif seperti La Nina dan Dipol Lautan Hindi yang negatif, yang mungkin berterusan sehingga Januari 2026. Kita tidak boleh menganggap bahawa semuanya sudah selesai," kata beliau.
APA LANGKAH WAJAR JIKA INGIN KE NEGARA TERJEJAS?
Dr Siew menjangkakan bahawa gangguan perjalanan akan kerap berlaku seperti pembatalan penerbangan dan penutupan daya tarikan pelancongan yang terletak berdekatan pantai atau tebing sungai akibat cuaca buruk.
"Penyedia pelancongan seperti pengendali hotel akan semakin menambah syarat pembatalan ataupun protokol kecemasan sedia ada. Secara umum, tempat paling berisiko adalah kawasan yang mempunyai delta besar dan berdekatan pesisir pantai. Contohnya, sesetengah bahagian di selatan Thailand, Vietnam dan Malaysia Utara. Lembah sungai memang cepat mengembang dan kawasan pergunungan berbukit yang mempunyai sejarah tanah runtuh juga harus diperhatikan."
Namun Dr Siew akur, cuaca ekstrem boleh berlaku di mana-mana sahaja.
Maka itu, beliau menyarankan para pelancong supaya lebih maklum tentang keadaan semasa dan mudah menyesuaikan perancangan percutian mereka.
Lebih penting lagi, mereka wajar mendapatkan insurans perjalanan.
"Pelancong yang ada rancangan ke tempat-tempat ini tidak semestinya membatalkan rancangan mereka tetapi perlu merancang semula dengan bijak."
"Pertama sekali, selalu semak amaran cuaca dan nasihat perjalanan daripada negara destinasi sekurang-kurangnya dua atau tiga hari, atau 48 hingga 72 jam, terlebih dahulu. Kalau boleh, dapatkan insurans perjalanan yang jelas memberikan perlindungan daripada bencana alam, pemindahan dan perubatan," nasihat Dr Siew.
Para pelancong juga digalak merancangkan laluan alternatif sekiranya lokasi pelancongan yang dikunjungi terjejas akibat cuaca buruk.
Yang paling penting, tegas beliau, adalah untuk mengikut arahan pihak berkuasa dan penyelamat sekiranya berlaku bencana alam.
ADAKAH CUACA EKSTREM BERLARUTAN AKAN UBAH INDUSTRI PELANCONGAN?
"Kita boleh menjangkakan kemungkinan kosnya lebih tinggi. Insurans untuk perniagaan pelancongan, hotel, pengendali ataupun pelancong, apabila mereka beli insurans, premium yang perlu dibayar akan meningkat. Dari segi perubahan model perniagaan untuk pengendali, ia juga akan berubah. Mereka perlu melabur dalam infrastruktur yang lebih berdaya tahan dan yang tahan iklim."
Bila diminta mengulas lebih lanjut, Dr Siew merujuk kepada perlu adanya sistem amaran awal dan latihan kecemasan yang dipercayai, yang mungkin akan menyumbang kepada peningkatan kos pelancongan.
Dengan ancaman perubahan iklim terus meningkat, ada juga kemungkinan bahawa akses ke destinasi pelancongan di kawasan berisiko tinggi akan lebih mahal dan terhad pada masa hadapan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.