Skip to main content

Singapura

analisisBERITA: Bagaimana sambut jemaah haji SG pulang, sedang kes COVID-19 meningkat

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Jumlah kes COVID-19 kini kembali meningkat di seluruh dunia, dengan timbulnya varian Omicron baharu NB.1.81. atau 'Nimbus'.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan, varian baharu itu membentuk lebih 10 peratus jangkitan di pelbagai pelosok dunia, termasuk Asia, Eropah dan Amerika Utara.

'Nimbus' juga dikatakan boleh mengelakkan antibodi-antibodi tertentu dan berpotensi merebak dengan lebih pantas, menurut data awal WHO.
Dengan 1.67 juta umat Islam dari seluruh dunia yang menunaikan haji di Arab Saudi tahun ini, ada kebimbangan tentang potensi penularannya.

900 jemaah dari Singapura merupakan antara yang menunaikan haji tahun ini dan kumpulan pertama dijangka pulang ke tanah air esok (13 Jun).

APA KEMUNGKINANNYA JEMAAH HAJI PULANG DENGAN COVID-19?

Pakar kesihatan di Hospital Besar Ng Teng Fong Dr Norhisham Main berkata masyarakat setempat tidak perlu terlalu bimbang buat masa ini.

Kemungkinan jemaah haji dijangkiti COVID-19 buat masa ini adalah "rendah hingga sederhana", menurut Konsultan Kanan dan Ketua Jabatan bagi Jagaan Sokongan dan Paliatif itu.
Seramai 175 jemaah haji daripada 5 GSA berangkat ke Tanah Suci hari ini dan mereka merupakan rombongan terakhir dari SG. (Gambar: Hidir Ezat)
"Kita tahu biarpun ada kes-kes yang meningkat iaitu kes yang melibatkan COVID-19, kita mesti ketahuilah di manakah tempat-tempat ini berlaku. Bagi jemaah yang tengah melakukan haji atau baru habis melakukan haji, mereka telah dikirakan sudah terdedah kepada mereka yang mungkin terkena penyakit COVID-19 di sana.

"Tapi dari segi kes-kes yang kita tahu di Saudi, kita tahu masih belum meningkat. Jadi dari segi risiko dijangkiti COVID-19 di sana mungkin belum ada pada masa sekarang," kongsi Dr Norhisham kepada BERITA Mediacorp.

APAKAH LANGKAH SETERUSNYA BAGI JEMAAH HAJI YANG AKAN PULANG?

Walaupun kes-kes COVID-19 bertambah, Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) memberitahu BERITA Mediacorp, protokol kesihatan bagi jemaah haji kekal tidak berubah, sebagaimana yang dikeluarkan pada awal bulan lalu.

Secara amnya, para jemaah dinasihatkan agar mengelakkan kontak dengan orang yang kurang sihat dan memakai pelitup muka di tempat yang sesak.

Bagi jemaah haji Singapura yang bakal mendarat di Lapangan Terbang Changi mulai esok, Dr Norhisham menasihatkan agar mereka memantau keadaan kesihatan mereka, walaupun mereka berasa sihat.

Ini kerana, dari waktu mereka terdedah kepada COVID-19 ke tempoh mereka mengalami simptom, proses itu boleh mengambil sehingga 14 hari.

Antara yang harus diperhatikan kata Dr Norhisham adalah adakah mereka berasa sihat pada waktu mereka bangun tidur?

"Kalau rasa badan dah macam tidak sihat, mungkin ada sakit kerongkong ataupun selesema ataupun demam atau mungkin rasa mual ataupun mungkin perut rasa tidak sedap dan sebagainya, mungkin mereka mesti menjaga diri agar mereka tidak menjangkiti orang lain pada permulaannya.

Sampailah mereka pasti sama ada mereka dijangkiti COVID-19 atau tidak," terang beliau.

BOLEHKAH SAMBUT, ZIARAH KELUARGA YANG BARU PULANG HAJI?

Ditanya sama ada umat Islam di sini tidak seharusnya menyambut atau menziarahi anggota keluarga mereka yang baru pulang dari haji, Dr Norhisham berkata, tiada keperluan mengambil langkah setegas itu buat masa ini.

Beliau menjelaskan, ini kerana COVID-19 kini dianggap dan dirawat sebagai penyakit demam selesema biasa ataupun endemik.

Pun begitu, pada hakikatnya, mencegah lebih baik daripada mengubati.

Mentelah lagi, bagi golongan tua, mereka lebih berisiko mengalami kesan teruk jika terkena jangkitan COVID-19.

Kumpulan jemaah haji yang berangkat dari Singapura pada 2024. (Gambar: MUIS)

"Kita tahu mereka yang mungkin ada penyakit kronik, kencing manis, penyakit buah pinggang ataupun mereka berumur lebih daripada 65 tahun.

"Ini akan meningkatkan risiko datangnya komplikasi dan kesulitan akibat penyakit COVID-19. Jadi mereka perlu berhati-hatilah untuk golongan ini," nasihat Dr Norhisham.

Justeru anggota keluarga tidak kira usia dinasihatkan memakai pelitup sebagai langkah berjaga-jaga semasa menyambut jemaah yang pulang dari haji.

KALAU TIDAK SIHAT, JANGAN ZIARAH - ADA MERS-CoV

Di samping itu, sekiranya diketahui jemaah berkenaan tidak sihat, Dr Norhisham menyarankan kepada orang ramai supaya jangan menziarah atau berjumpa dengan mereka agar tidak terjangkit.

Ini alasan beliau: "Pasal kita pun tahu selain daripada COVID-19, pun ada penyakit berjangkit lain yang mungkin dijangkiti.

"Umpamanya, MERS-CoV pun masih ada, kan? Jadi mereka mesti jangan fikir COVID-19 sahaja, tetapi penyakit-penyakit lain seperti MERS-CoV, influenza dan sebagainya.

"Yang ini penting, biarpun kadang-kadang simptom-simptomnya lebih kurang sama, tetapi mereka ingat mungkin terkena satu virus sahaja. Padahal mungkin terkena dua jenis virus ataupun satu lepas satu dijangkiti oleh seseorang itu."

BENTENG DIRI DENGAN VAKSINASI

Antara 1 Mac hingga 21 April 2025, Arab Saudi mencatatkan 9 jangkitan MERS-CoV. Dua daripada mereka meninggal dunia.

Virus Corona itu menjejas sistem pernafasan individu, serupa dengan COVID-19 dan disenaraikan oleh WHO sebagai patogen utama yang memprihatinkan dengan potensi mencetuskan pandemik.

Yang pasti Dr Norhisham menegaskan, sebagai satu langkah membenteng diri daripada COVID-19, orang ramai hendaklah mendapatkan vaksinasi terkini.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita