Skip to main content

Singapura

analisisBERITA: Apakah implikasi kafe/restoran HBB terhadap perniagaan F&B konvensional?

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sejak kebelakangan ini, semakin muncul peniaga dari rumah (HBB) yang mengendalikan perniagaan makanan berkonsepkan kafe atau restoran dari rumah.

Jika anda cari di media sosial, anda pasti menemui puluhan atau ratusan khidmat sebegini, seperti Pebbles Coffee, Tofu Tofu, Coffee Near Me, Haus 166 dan Sudu by Ilya. Kesemua peniaga ini bertempat sama ada di flat HDB atau rumah privet.

Ini berlaku di tengah-tengah landskap kos sewa yang tinggi dalam ekonomi pasca-COVID-19.

Sebilangan pemilik F&B tempatan bagaimanapun bimbang tentang apa yang mereka sifatkan sebagai "persaingan tidak adil".

Maka timbul persoalan mengenai sejauh manakah kafe dari rumah HBB mengancam perniagaan kafe dan restoran konvensional? Bolehkah kedua-duanya sama-sama wujud dan berkembang dalam landskap keusahawanan yang dinamik sekarang?

APAKAH IMPLIKASI 'KAFE HBB' ATAU 'RESTORAN HBB'?

Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) Nadiah Hassan menjelaskan bahawa HBB seperti perniagaan kafe dari rumah sebenarnya tidak akan menggantikan kafe atau restoran tradisional.

"Perniagaan berasaskan dari rumah memang adalah pasaran tukikan. Ia selalunya tertumpu kepada komuniti tertentu atau jenis makanan tertentu. Yang kita harus ketengahkan adalah jangkauannya sentiasa berbeza," kata Cik Nadiah.

Beliau memberi contoh bahawa kafe atau restoran konvensional boleh menampung kumpulan pelanggan yang besar, misalnya, untuk meraikan sambutan. Kafe atau restoran HBB tidak mampu berbuat demikian.

"Perniagaan dari rumah khusus untuk kumpulan individu yang mungkin mahukan unsur-unsur keunikan produk, mungkin kemudahan, seperti membeli kopi atau makanan yang boleh dibawa pulang," katanya.

Cik Nadiah menarik perhatian bahawa tingkah laku pengguna semakin lama semakin berubah, terutama sekali semasa pandemik COVID-19.

Beliau memerhatikan bahawa semakin ramai orang, terutamanya golongan muda, kini semakin terbuka untuk mencuba produk yang ditawarkan HBB.

APAKAH PERBEZAAN CABARAN ANTARA HBB DENGAN F&B KONVENSIONAL?

Kos sewa yang tinggi bagi premis niaga dan kekurangan tenaga manusia merupakan cabaran utama yang membelenggu sektor F&B tempatan.

Oleh kerana itu, perniagaan dari rumah merupakan permulaan yang baik untuk mereka yang ingin meneroka dunia perniagaan, kata Cik Nadiah.

Beliau percaya ia boleh dianggap sebagai satu 'tapak ujian' untuk mereka menilai sejauh mana produk mereka diterima para pelanggan.

Ini selain membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan kos dan perbelanjaan yang diperlukan dalam mengendalikan perniagaan.

Walaupun kafe dari rumah berjaya memikat pelanggan, Cik Nadiah berkata kedua-dua jenis perniagaan itu sebenarnya berdepan dengan cabaran berbeza.

"F&B tradisional tidak perlu risau tentang sekatan zon atau perumahan. Mereka tidak perlu risau tentang sama ada jiran di sebelah mereka akan membuat aduan.

"Zon kediaman dan peraturan perumahan bukan sesuatu yang akan menjadi masalah kerana restoran tradisional beroperasi di kawasan komersil.

"Restoran fizikal dapat menerima manfaat daripada kehadiran asli pelanggan secara langsung dan lokasi strategik mereka pilih - di pusat beli-belah dan kawasan makanan yang popular," jelas beliau.

Cik Nadiah berkata HBB sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada media sosial, selain promosi dari mulut ke mulut sebagai strategi pemasaran mereka.

PERLUKAH DIWUJUDKAN SKIM PELESENAN F&B BERBEZA-BEZA?

Bagi mengatasi perbezaan antara kedua-dua jenis perniagaan itu, Cik Nadiah mencadangkan bahawa mungkin boleh diperkenalkan skim pelesenan yang berperingkat-peringkat mengikut jenis operasi dan saiz perniagaan untuk kedua-duanya.

"Jadi lesen berperingkat boleh membantu kerana kalau dasar itu terlalu berat, tetapi anda sebagai perniagaan dari rumah juga kadang-kadang susah untuk dipadankan.

"Jadi kita perlu menreoka pelesenan berperingkat yang lebih baik untuk perniagaan dari rumah dan perniagaan tradisional. Saya rasa ini amat penting dan juga untuk melihat kepada masalah seperti cabaran kos yang tinggi," kata beliau.

Walaupun apa pun, sama ada HBB mahupun perniagaan tradisional, keselamatan makanan adalah keutamaan.

Menurut Agensi Makanan Singapura (SFA), perniagaan makanan dari rumah tidak memerlukan lesennya untuk beroperasi. Namun, peniaga masih perlu mematuhi keperluan tertentu yang memastikan makanan dan minuman yang dijual selamat dimakan.

Cik Nadiah menekankan pentingnya para peniaga F&B sentiasa melengkapkan diri dengan pengetahuan tentang kebersihan dan keselamatan makanan.

Di samping itu, penting juga untuk mewujudkan ekosistem yang menyokong HBB dan perniagaan F&B konvensional bagi menggalak semangat keusahawanan dan mengekalkan budaya makanan Singapura.

Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita