analisisBERITA: Apabila adab menjadi undang-undang - mengapa peraturan di tempat awam perlu diperjelas?
- From Sep 23, the Land Transport Authority is enforcing behaviour rules on buses and at bus interchanges in Singapore, in line with existing rules for trains.
- Offences such as playing audio loudly, putting feet on seats, and eating and drinking can result in notices and fines, to make journeys more comfortable and safer.
- Assoc Prof Razwana Begum said laws help to clarify social norms again when technology and the use of public spaces change.
- She stressed that fines, public education and consistent enforcement must go hand in hand so that compliance ultimately happens voluntarily.
- Mulai 23 September, LTA menguatkuasakan peraturan tingkah laku di bas dan pusat pertukaran bas Singapura, sejajar dengan peraturan sedia ada bagi kereta api.
- Kesalahan seperti audio kuat, kaki di tempat duduk, makan dan minum boleh dikenakan notis serta denda, demi perjalanan lebih selesa dan selamat.
- Prof Madya Razwana Begum berkata undang-undang membantu menjelaskan semula norma sosial apabila teknologi dan penggunaan ruang awam berubah.
- Beliau menekankan denda, pendidikan awam dan penguatkuasaan konsisten perlu berjalan bersama supaya pematuhan akhirnya berlaku secara sukarela.
SINGAPURA: Bermula Rabu (23 Sep), undang-undang berhubung tingkah laku penumpang di dalam bas dan di pusat pertukaran bas sudah mula berkuat kuasa.
Ini bermakna, individu yang menunjukkan kelakuan yang dianggap mengganggu atau menjejas keselesaan para penumpang lain boleh menerima Pemberitahuan Pentadbiran Mengenai Kesalahan (NOO) dan didenda.
Antara kesalahan di bawah undang-undang tersebut termasuk memainkan bunyi audio dengan kuat, meletakkan kaki di atas tempat duduk serta makan dan minum di dalam bas.
Menurut LTA, undang-undang baharu ini bertujuan memupuk sikap lebih bertimbang rasa di kalangan para penumpang agar semua dapat menikmati perjalanan yang lebih selesa dan selamat.
Bagi golongan umum, sikap bertimbang rasa terutama sekali di tempat awam mungkin satu norma yang lazimnya dipatuhi.
Lantas timbul persoalan, mengapa norma atau adab bermasyarakat sebegitu kadangkala gagal membendung kelakuan sesetengah pihak tidak bertimbang rasa sehingga peraturan perlu ditetapkan?
Kami utarakan soalan ini kepada Profesor Madya Razwana Begum, yang mengetuai Program Sarjana Keselamatan Global dan Strategi dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
Ini jawapan beliau:
"Ada individu-individu yang mungkin rasa cara mereka mendengar muzik ataupun cara berbual di telefon bimbit itu lain daripada apa yang diterima orang ramai. Salah satu perbezaannya adalah apabila norma sosial kita berlainan dengan penerimaan masyarakat."
Oleh itu, tambah Prof Razwana, undang-undang diperlukan untuk mengawal perangai seseorang yang mungkin tidak diterima umum.
MENGAPA SEKARANG?
Menurut LTA, undang-undang tersebut sejajar dengan undang-undang sedia ada bagi tingkah laku penumpang di atas kereta api.
Bagi Prof Razwana, penguatkuasaan yang diperluas kepada bas dan pusat pertukaran bas ini boleh dianggap sebagai peringatan kepada para penumpang.
Beliau malah menegaskan bahawa ia bukanlah tanda bahawa masyarakat kita semakin tidak beradab.
"Sebaliknya, mungkin kita perlukan undang- undang seperti ini untuk menjelaskan atau menerangkan semula apakah norma sosial seiring dengan cara kehidupan kita dan penggunaan teknologi yang sudah berubah."
ANTARA MENIKMATI SEMPADAN PERIBADI DAN MENGHORMATI RUANG AWAM
Sememangnya, jika diperhatikan hari ini, para pengguna pengangkutan awam rata-ratanya lebih cenderung memberi tumpuan kepada peranti teknologi peribadi seperti telefon bimbit.
Ini, menurut Prof Razwana, menandakan satu peralihan dari segi cara kita menggunakan ruang awam.
"Telefon bimbit, menonton video - kita jadikan semua ini sebagai sebahagian daripada kehidupan kita. Kita melakukannya di semua tempat bukan sahaja di tempat awam. Sepanjang perjalanan, mungkin dalam 30 atau 40 minit, seseorang boleh bekerja, menonton drama, bermain permainan atau membuat panggilan," jelas beliau.
Pun begitu, Prof Razwana menekankan, perlu ada kesedaran antara menikmati sempadan peribadi dan menghormati ruang awam.
"Apabila apa yang kita lakukan dengan telefon bimbit, atau kita mendengar muzik dengan kuat (misalnya), ini boleh mengganggu seseorang di ruang awam. Itu akan menjadi satu perkara awam."
"Disebabkan ia tempat awam, kita perlu adakan undang-undang yang menunjukkan atau menjelaskan apa yang sepatutnya berlaku di ruang awam dan apa yang boleh berlaku di dalam ruang peribadi."
HUKUMAN DENDA: PEMANGKIN PERUBAHAN TINGKAH LAKU ATAU SEKADAR PERATURAN YANG DITAKUTI?
Di bawah undang-undang tersebut, para penumpang boleh didenda sehingga $500.
Malah, bagi kesalahan-kesalahan lebih serius seperti mencipta halangan atau bahaya kepada penumpang lain misalnya, denda yang dikenakan boleh mencecah sehingga $5,000.
Secara umum, jelas Prof Razwana, hukuman denda merupakan antara cara pencegahan perilaku yang salah.
Namun, beliau turut menegaskan bahawa ia tidak boleh dianggap berkesan sepenuhnya.
"Kalau kita nak cegah ataupun nak ubah tingkah laku itu, bukan sahaja daripada tahap hukuman sahaja. Apa yang penting adalah perspektif seseorang itu tentang kemungkinan tingkah laku yang salah mewujudkan tindakan yang akan diambil."
Oleh itu, penguatkuasaan turut memainkan peranan penting untuk menjayakan usaha mencegah perilaku yang tidak diingini.
Ini agar orang ramai sedar akan kesan nyata kelakuan mereka di sisi undang-undang.
Tambah Prof Razwana: "Apabila ada undang-undang seperti ini dan orang awam tahu akan undang-undang ini, ada kemungkinan seseorang akan menegur pelaku."
UNDANG-UNDANG BERKESAN JIKA ORANG RAMAI FAHAM APA, MENGAPA DAN BAGAIMANA IA DIKUATKUASAKAN
Tegas Prof Razwana sekali lagi, meskipun undang-undang boleh bantu mendorong perubahan, masyarakat juga perlu berusaha meningkatkan kesedaran dan pemahaman mereka.
Beliau berharap, dalam jangka panjang, masyarakat mematuhi atau berkelakuan baik secara sukarela.
"Matlamat kita jangka panjang, sepatutnya pematuhan secara sukarela. Seseorang itu merendahkan suara ataupun tidak meletak kaki di tempat duduk, bukan kerana ada pengawal yang akan ambil tindakan tetapi kerana mereka faham bahawa ruang itu dikongsi dengan orang lain."
Oleh itu, keberkesanan peraturan tingkah laku ini, menurut Prof Razwana, bergantung kepada tiga perkara.
Pertama, masyarakat perlu jelas mengenai peraturan dan hukuman yang dikuatkuasakan.
Kedua, masyarakat juga perlu fahami tujuan di sebalik penguatkuasaan undang-undang tersebut.
Akhir sekali, mereka perlu lihat penguatkuasaan yang dijalankan secara konsisten dan nyata.
Maka, pendidikan awam juga cukup penting.
"Denda boleh menetapkan sempadan. Tetapi kalau kita nak mengubah tingkah laku seseorang itu supaya berkekalan, iaitu perubahan tingkah laku secara tetap dan sosialisasi secara normal, ini akan berlaku apabila seseorang itu terima ini adalah masyarakat saya," jelas Prof Razwana.
Ini bermakna seseorang itu berkelakuan seperti yang biasa diterima atau dilihat di kalangan masyarakat.
RUANG YANG DIKONGSI, TANGGUNGJAWAB BERSAMA
Dalam merumuskan pandangan beliau, Prof Razwana meninggalkan sebutir nasihat:
"Saya rasa ruang yang dikongsi bersama memang membawa tanggungjawab bersamalah. Kita tidak boleh fikirkan apa yang kita perlu sahaja. Kita juga kena perlu fikirkan apa yang masyarakat perlukan."
Pada akhirnya, menurut beliau, kejayaan sebenar itu tercapai apabila masyarakat menerima jangkaan tingkah laku dan menjadikannya sebahagian daripada kelaziman dan tanggungjawab hidup bermasyarakat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.