Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

analisisBERITA: Apa yang harus anda lakukan jika dibuang kerja?

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Jumlah pemberhentian pekerja di Singapura melonjak lebih seganda kepada 14,320 pada 2023, berbanding 6,440 pada tahun sebelumnya.

Dalam laporan awal pasaran buruh yang dikeluarkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Rabu (31 Jan), antara sebab utama kenaikan ini adalah penyusunan semula perniagaan demi mengurangkan kos operasi.

Meskipun tidak mencecah kemuncak seramai 26,110 pekerja pada 2020 ekoran pandemik COVID-19, perangkaan terbaharu ini menimbulkan keprihatinan - sejauh manakah trend ini akan berterusan ke 2024?

Oleh itu, apa yang perlu anda lakukan jika dibuang kerja serta apakah hak-hak anda dalam keadaan sebegitu?

Apa lagi yang boleh anda lakukan supaya tidak terlalu terjejas sekiranya dibuang kerja?

PENTING SERTAI KESATUAN SEKERJA SELAKU SOKONGAN BARISAN PERTAMA

Menurut Naib Presiden NTUC Abdul Samad Abdul Wahab, ia penting bagi para pekerja setempat untuk menyediakan payung sebelum hujan agar lebih terlindung.

Iaitu, dengan menyertai kesatuan sekerja di tempat kerja masing-masing.

Ini kerana kesatuan sekerja merupakan barisan sokongan pertama sekiranya seseorang itu dibuang kerja.

"Kalau tempat kerja itu ada kesatuan, majikan harus beritahu kesatuan dan pekerja itu cari wakil kesatuan supaya wakil kesatuan dapat membimbing mereka tentang apakah langkah-langkah yang harus diambil dan juga wakil kesatuan itu akan mendapatkan pampasan," kongsi Encik Abdul Samad kepada BERITA Mediacorp.
Naib Presiden NTUC, Abdul Samad Abdul Wahab. (Gambar: NTUC)
Namun, sekiranya ada yang tidak pasti sama ada tempat kerja mereka mempunyai kesatuan sekerja atau tidak, Encik Abdul Samad menasihatkan golongan ini agar mendaftar sebagai ahli NTUC.

"Katakanlah, syarikat A tiada kesatuan tetapi kita ini ahli NTUC, makanya kita boleh merujuk kepada NTUC untuk memohon bantuan," tambah Encik Abdul Samad.

KESATUAN SEKERJA ADA KUASA BERUNDING LEBIH BESAR DALAM SOAL PAMPASAN

Pemberian wang pampasan, hakikatnya satu faktor cukup penting dalam soal pemberhentian pekerja.

"Kalau kita lihat dari segi undang-undang, pampasan ini ada, cuma tidak diletakkan nilai. Sebabnya, untuk memberi kelonggaran kepada kesatuan untuk duduk bersama dengan majikan dan tentukan berapakah pampasan yang harus diberikan," kata Encik Abdul Samad.

Lazimnya, pampasan yang diberikan adalah gaji sebanyak antara dua minggu hingga sebulan gaji bagi setiap tahun individu itu bertugas.

Namun, bagi para pekerja di bawah kesatuan, mereka akan melihat kepada keadaan kewangan syarikat tersebut, misalnya sama ada ia akan ditutup, dan melakukan rundingan sewajarnya.

"Kalau dapat lebih, kita akan minta lebih sebab ini kita harapkan boleh membantu individu itu antara waktu mereka hilang pekerjaan hingga ingin cari pekerjaan baharu. Mungkin wang pampasan itu akan memberi sedikit keringanan," kongsi Encik Abdul Samad lagi.

Pekerja yang tidak diwakili kesatuan pula mungkin lebih sukar mendapatkan pampasan yang adil kerana kurangnya kuasa untuk pihak syarikat.

Malah pekerja yang menganggotai kesatuan sekalipun mungkin kurang arif tentang hak-hak mereka dalam soal pampasan diberhentikan kerja.

SYARIKAT PERLU BERI NOTIS AWAL AGAR PEKERJA, KESATUAN DAPAT BUAT PERSIAPAN

Pun begitu, Encik Abdul Samad menggesa syarikat-syarikat untuk bersikap telus dan terbuka dengan kakitangan berhubung rancangan mereka.

Ini kerana dalam pengalaman Encik Abdul Samad, antara masalah yang dihadapi pekerja apabila dibuang kerja adalah rasa terkejut kerana tidak diberitahu lebih awal.

"Saya rasa ini boleh ditangani sekiranya majikan berlaku lebih terbuka kepada para pekerja mereka sama ada perniagaan tidak membawa keuntungan dan mereka harus diberhentikan," cadang Encik Abdul Samad.

Tambahan lagi, syarikat-syarikat juga harus memberikan notis terlebih dahulu kepada pihak kementerian dan kesatuan sekiranya ingin membuang pekerja supaya pihak-pihak yang terjejas boleh membuat persiapan sewajarnya.

Encik Abdul Samad menekankan: "Apabila syarikat berkenaan hendak membuat penilaian untuk membuang pekerja, mereka harus memberitahu kementerian terlebih dahulu - apakah rancangan mereka dan berapa ramai pekerja yang akan mereka lepaskan. Ini supaya kementerian boleh bekerjasama dengan kesatuan dan juga pihak-pihak lain untuk mencari mana-mana pekerjaan yang ada dan apakah langkah-langkah yang harus diambil."
KONSEP 'RETRENCH' DIRI SEBELUM KENA 'RETRENCH'

Malah, Encik Samad ada satu lagi nasihat penting - iaitu para pekerja hendaklah tidak terlalu terikat kepada satu syarikat sahaja dan sebaliknya terus menimba kemahiran baharu agar menjadi lebih berharga.

"Jangan tunggu sampai syarikat buang kita, kita cari pekerjaan yang ada. Selepas dua, tiga tahun bekerja, cari kemahiran baharu yang boleh meningkatkan nilai dan taraf kita sebagai seorang pekerja.

"Jadi tidak kira apa, kalau tidak kena 'retrench' pun tak apa, biarlah kita 'retrench' diri kita. Jadi syarikat itu lebih tahu, aku akan kehilangan seorang pekerja yang bagus," kata Encik Abdul Samad.

"Kalau kita sentiasa dengan kemahiran yang sama, tak apalah kerja lebih kurang, apabila syarikat tutup, kita akan hilang pekerjaan, lagi-lagi mencabar kalau orang itu berusia 40, 50 tahun dan ke atas."

Namun begitu, hanya sebilangan sektor sahaja yang dijangka terjejas dengan penyusunan semula, termasuk perkhidmatan IT dan pengilangan elektronik.
Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan