Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

analisisBERITA: Apa prospek kerjaya siswazah SCIS & sejauh mana laluan kerjaya mereka akan lebih luas?

Kurikulum yang ditawarkan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) akan melahirkan siswazah yang punya ciri-ciri berbeza daripada lulusan universiti-universiti Islam lain.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kurikulum yang ditawarkan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) akan melahirkan siswazah yang punya ciri-ciri berbeza daripada lulusan universiti-universiti Islam lain.

Dengan berlatarbelakangkan ilmu sains kemasyarakatan, laluan kerjaya buat siswazah kolej itu kelak akan lebih luas lagi.

Demikian menurut mantan Anggota Parlimen Dilantik yang juga pemimpin mapan kesatuan sekerja, Abdul Samad Abdul Wahab.

Beliau juga percaya, penerima ijazah SCIS nanti adalah golongan siswazah yang lebih berdaya saing.

GABUNGAN UNIK PENDIDIKAN SCIS

Menerusi SCIS, para pelajar madrasah setempat kini ada satu lagi saluran untuk melanjutkan pengajian Islam mereka. Selain ke luar negara bagi mendalami ilmu ukhrawi, mereka boleh memilih untuk menuntut SCIS.

Apabila ia mula beroperasi pada 2028, SCIS akan menerima kohort pertama seramai 60 mahasiswa.

Kurikulum pendidikan yang ditawarkan nanti suatu kesinambungan daripada kurikulum di peringkat madrasah.

Menariknya di SCIS, mahasiswa dari madrasah itu tidak sahaja membina ilmu agama mereka semata-mata, tetapi juga akan dilengkapi dengan kemahiran-kemahiran lain.

Khususnya, penggunaan teknologi dan pendedahan kepada bidang sains kemasyarakatan.
Menurut Encik Abdul Samad, seorang Naib Presiden NTUC, gabungan kemahiran sedemikian akan membuka lebih banyak laluan kerjaya kepada lulusan kolej Islam itu apabila mereka selesai pengajian.

"Kalau ilmu teknologi yang merupakan salah satu kandungan dalam pengajian SCIS ini, ia memberikan banyak juga bidang menggunakan penciptaan kandungan dan sebagainya. Menggunakan media sosial - macam mana mereka menyebarkan ajaran-ajaran agama, " kata Encik Abdul Samad.

Beliau menambah harus menjadi kesedaran juga bahawa para lulusan itu tidak hanya "tertakluk kepada sektor pendidikan".

"Kita lihat banyak juga kaunselor yang diperlukan. Kaunselor sama ada dalam bab keluarga dan sebagainya. Kaunselor kesihatan mental, dari segi bab dalam penjara dan ini melebarkan lagilah (laluan kerjaya). Apabila mereka keluar, banyaklah peluang pekerjaan yang nanti ada, tidak terikat kepada MUIS ataupun madrasah mahupun yang serupa dengannya."

CIRI-CIRI KHAS GRADUAN SCIS

Encik Abdul Samad juga menarik perhatian kepada ciri menonjol lulusan SCIS, yang berpotensi menjadikan mereka berdaya saing dengan rakan-rakan sealiran, baik dalam Pengajian Islam mahupun Sains Kemasyarakatan - dua pengkhususan yang ditawarkan kolej tersebut.

"Kelebihan yang ada dari segi mereka bakal siswazah SCIS ini, mereka ada sesuatu yang kita namakan ilmu agama yang dapat kita sarungkan dengan kehidupan seharian. Dengan macam mana Islam merupakan satu agama yang syumul yang dapat mengikuti zaman," ujar beliau.

Sememangnya, itulah matlamat SCIS - untuk melahirkan cendekiawan agama yang dapat mengemudi masyarakat menghadapi cabaran-cabaran semasa dalam dunia moden.

MENANGANI ISU JANGKAAN TENTANG GAJI

Bagaimanapun, Encik Abdul Samad percaya penubuhan kolej itu hanyalah titik permulaan.

Sebuah "ekosistem yang lengkap" bagi SCIS, katanya, perlu juga meneliti peluang pekerjaan dan jangkaan tentang gaji mereka pada masa depan.

Apakah "nasib" mereka setelah tamat program ijazah sarjana muda itu empat tahun kemudian?

"Kalau mereka buat ini dengan melebarkan lagi ruang peluang pekerjaan, harus fikirkan juga berapakah gaji yang berpatutan. Ini harus difikir dari sekarang. Jangan tunggu sampai SCIS dah tubuh, mahasiswa dah keluar, gaji masih lagi jadi satu soalan," hujah Encik Abdul Samad.

Beliau menekankan mahasiswa SCIS perlu diberi ruang, dan mereka sendiri mesti bersikap terbuka, untuk meneroka sektor-sektor lain melangkaui bidang pendidikan - sebagai asatizah sahaja.

"Bila kita nak mencari ilmu, meningkatkan kemahiran, dia punya tujuan akhir adalah pekerjaan. Mata pencarian. Bukan setakat ilmu yang dicari, apakah ilmu yang dicari itu memberi kita peluang pekerjaan yang ada dan ini juga sama penting.

"Kita harus jangan ada ekosistem yang separuh jalan. Ada tubuh pelajaran, tubuh SCIS, ada kandungannya. Penghujungnya? Adakah ia memberi peluang pekerjaan? Sebab kalau peluang pekerjaan dari segi yang ukhrawi ataupun pendidikan itu sempit tau sebab rangkaian yang ada sekarang dah makin melebar dan makin ramai," tekannya.

PERI PERLUNYA TANGANI MASALAH 'TEMBOK STIGMA'

Maka, Encik Abdul Samad berharap MUIS dengan kerjasama pemerintah dapat mendampingi pihak-pihak berkepentingan untuk mendedahkan bakal siswazah SCIS kepada pengalaman kerja yang lebih rencam.

Satu lagi "masalah" yang perlu ditangani adalah memecahkan tembok stigma apabila masyarakat membeza-bezakan siswazah berdasarkan institusi pengajian mereka.

"Para ibu bapa pun harus berperanan. "Oh anak saya lulusan Al-Azhar, anak awak SCIS sahaja." Ini semua masalah dalaman yang kita harus fikirkan. "Anak dia sarjana pergi luar negeri, pergi Al-Azhar. Pengajian lulusan Usuluddin sebagainya, pergi Madinah. Anak awak apa?" "Anak saya lulusan SCIS." "Oh SCIS." Ini masalah juga, kita harus kena mengatasi ini," Encik Abdul Samad meluahkan keprihatinan.

"Jadi kita haraplah ibu bapa, apabila masanya akan datang, janganlah membezakan kerana setiap siswa, mahasiswa yang pulang itu ada kelebihan masing masing. Tak kira dia universiti mana pun," pinta beliau.

Natijahnya, prospek kerjaya dan penerimaan masyarakat terhadap pengiktirafan ijazah SCIS boleh mempengaruhi laluan pengajian seterusnya yang ingin diambil seseorang pelajar madrasah.

Jika mereka akhirnya ke SCIS, Encik Samad berharap ia benar-benar atas tekad mereka dan bukannya sekadar suatu alternatif kepada cita-cita sebenar.
Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan