Skip to main content

Singapura

analisisBERITA: AI gugat kemahiran & tangga kerjaya bawahan - sejauh mana pekerja muda bersedia?

Laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menggariskan, di antara negara-negara ASEAN, Singapura mencatat bilangan ketara jumlah kakitangan dalam pekerjaan yang mempunyai pendedahan tertinggi kepada kecerdasan buatan (AI).

Anggaran Waktu Membaca:
analisisBERITA: AI gugat kemahiran & tangga kerjaya bawahan - sejauh mana pekerja muda bersedia?

Para pengunjung di sebuah reruai kecerdasan buatan (AI) semasa pameran keselamatan di Beijing, China pada 7 Jun 2023. (Gambar fail: Reuters/Florence Lo)

Diterbitkan : 16 Oct 2026 12:19AM
NEWS ANALYSIS: AI threatens lower-level skills and career ladders - how prepared are young workers?
  • An ILO report showed that Singapore has recorded considerable job exposure to AI in ASEAN, at more than 40 per cent of all jobs.
  • MOM found that AI has not triggered large-scale job losses, although 6.2 per cent of companies using AI reduced their workforce and 8.5 per cent limited hiring.
  • Lawrence Wong and Abdul Samad Abdul Wahab warned that AI could affect young workers, early training pathways and skills gaps.
  • Abdul Samad urged workers to upgrade their skills and employers not to take the easy way out by laying off staff, while the Government supports the transition through EWTP and NAIIP.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menggariskan, di antara negara-negara ASEAN, Singapura mencatat bilangan ketara jumlah kakitangan dalam pekerjaan yang mempunyai pendedahan tertinggi kepada kecerdasan buatan (AI).

Ia membentuk lebih 40 peratus daripada keseluruhan pekerjaan.

Sungguhpun AI mampu mengubah pekerjaan, ia belum menyebabkan kehilangan pekerjaan secara besar-besaran.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mendapati dalam kalangan syarikat di Singapura yang mendakapi AI, hanya 6.2 peratus melaporkan penguncupan pada tenaga pekerjanya.

Manakala lagi 8.5 peratus pula mengurangkan aktiviti pengambilan pekerja.

Namun hakikatnya, AI masih berpotensi menggugat jaminan pekerjaan. Mentelah lagi, gangguan teknologi kini tidak mengenal usia.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong menyuarakan bahawa pemerintah bimbang tangga kerjaya peringkat bawahan mungkin terhapus kerana digantikan oleh kecerdasan buatan (AI).

Ini akan membuatkan pekerja muda, khususnya yang baru melangkah ke alam pekerjaan, kurang mendapat laluan latihan secukupnya untuk kemudiannya mampu menggalas peranan lebih bermakna.

"AI ini akan menjejas pekerja tidak kira umur. Kalau dulu kita ingat dengan teknologi, (yang terjejas) adalah pekerja matang, bukan? Sekarang tidak sedemikian.

"Pekerja muda pun kita lihat akan terjejas dengan adanya AI," Naib Presiden NTUC Abdul Samad Abdul Wahab mengungkapkan realitinya.

Pemimpin pergerakan buruh itu, malah, mengutarakan betapa jurang kemahiran terus wujud dalam kalangan golongan pekerja muda, terutamanya yang baru menamatkan pengajian tinggi.

Sedangkan, kata beliau, mereka "sepatutnya lebih ke hadapan dengan teknologi".

"Kalau mereka dah terjejas, ini menjadi tanda tanya - apakah yang harus dilakukan lebih lagi, bukan setakat (untuk) pekerja muda, malah pekerja yang matang juga."

Adalah lumrah bagi pekerjaan untuk berubah-ubah mengikut peredaran dan permintaan ekonomi semasa.

Maka, yang utama adalah kesediaan individu untuk menimba kemahiran baharu agar mampu melengkapi ilmu pengajian di dada.

"Anak-anak muda sekarang harus sedar apa yang kita pelajari dari institusi pengajian tinggi, walaupun dengan ilmu IT macam mana pun, ia tidak semestinya 'A' dengan 'A' serap masuk dalam pekerjaan.

"Dengan adanya asas itu, apakah kita berani untuk melangkah lebih daripada apa yang kita pelajari?", ujar Encik Abdul Samad lagi.

Tidak disangkalkan lagi, penggunaan AI boleh mengautomasikan atau memudahkan sekurang-kurangnya sebahagian tugasan.

Bagi mana-mana syarikat, kecekapan sebegitu amat berharga terutama dari segi kos.

Bagaimanapun, Encik Abdul Samad mengingatkan bahawa teknologi AI bukanlah alat yang "boleh buat semua".

Sebaliknya, ia sebagai "panduan untuk mendapatkan maklumat yang perlu" dengan tujuan meringankan atau melengkapi tugasan.

Lantaran itu, Encik Abdul Samad berkata di pihak pekerja, mereka harus memiliki kualiti yang dapat menambah nilai kepada organisasinya.

"Dulu orang kata, hendak cari 'orang' buat penyelidikan. Sekarang sudah tidak perlu. AI sahaja.

"Jadi kita harus ada satu kemahiran yang berbeza.

"Kalau syarikat, mereka harus hendak buat keuntungan. Ia dari awal (menyatakan) 'Saya hennak pekerja macam ini. Tapi pekerja ini tidak bersedia untuk mendapat gaji yang berpatutan. Dari awal hendak mula gaji tinggi. Mereka harus tanya apakah tukar gantinya sekiranya tidak dapat pekerja. Jadi saya (majikan) gunakan teknologi," ujar beliau.

Hari ini, penggunaan AI semakin berkembang merentasi pelbagai sektor pekerjaan.

Menurut laporan ILO, pekerjaan yang berdepan pendedahan tertinggi kepada AI termasuk penganalisis kewangan, pembangun multimedia dan broker kewangan.

Namun, dengan teknologi canggih tersedia untuk meningkatkan daya penghasilan sesebuah syarikat, Encik Abdul Samad berharap ia tidak dijadikan asbab majikan mengurangkan tenaga kakitangan.

"Setiap majikan bertanggungjawab ke atas pekerja yang telah mereka ambil untuk meningkatkan taraf pekerja kerana satu pekerja yang telah meningkat tarafnya, ia hanya akan memberi ganjaran buat syarikat itu. Jangan ambil jalan mudah - bila ada satu kemudahan, saya lepaskan pekerja," ungkapnya.

Bagi menyokong syarikat, perusahaan dan pekerja melalui peralihan AI, pemerintah sejauh ini sudah melancarkan beberapa inisiatif termasuk Pakej Transformasi Tenaga Kerja Perusahaan (EWTP) dan Program Impak AI Nasional (NAIIP).

Pada akhirnya, tekan Encik Abdul Samad, kelangsungan kerjaya seseorang itu terletak "dalam tangan" empunya badan sendiri untuk memanfaatkan pelbagai peluang yang disediakan bagi meningkatkan kemahiran diri.
Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita