Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

analisisBERITA: Adakah trend peningkatan kesalahan berkaitan vape akan terus naik?

Anggaran Waktu Membaca:
analisisBERITA: Adakah trend peningkatan kesalahan berkaitan vape akan terus naik?

Gambar hiasan vape.

SINGAPURA: Sekitar 8,000 kesalahan berkaitan vape dilaporkan pada 2023, iaitu satu lonjakan besar sebanyak 43 peratus berbanding tahun sebelumnya. Ini walaupun Singapura sudahpun mengharamkan vape sejak 2018.

Data yang dikeluarkan Penguasa Sains Singapura (HSA) sebelum ini menunjukkan, antara 2019 hingga 2023, terdapat 813 pesalah berulang di bawah usia 18 tahun bagi kesalahan pembelian, penggunaan atau pemilikan vape.

Baru dua hari lalu, pemerintah mendedahkan, 7,900 kesalahan pembelian, penggunaan dan pemilikan vape ditangani tahun lalu - kenaikan mendadak berbanding 5,000 kes pada 2022.

APA DAN SIAPAKAH YANG SUMBANG KEPADA PERKEMBANGAN MEMBIMBANGKAN INI?

"Golongan muda terutama sekali mereka yang berusia antara 12 hingga 18 tahun, mereka di dalam tahap pembangunan yang dipanggil "identity formation stage" atau "fasa pembentukan identiti". Mereka masih mencari identiti mereka dan pengaruh daripada orang luar atau sekeliling amat kuat kerana mereka belum ada identiti mereka sendiri. Mereka vape akibat pengaruh rakan-rakan," Pakar Psikologi Klinikal dan Pengasas ImPossible Psychological Services, Haikal Jamil.

Encik Haikal, yang juga seorang Ahli Terapi Ketagihan, berkata walaupun masalah ketagihan, baik dari segi dadah, merokok atau vape, tidak mengenal tahap kemampuan seseorang itu, mereka daripada status sosioekonomi yang lebih rendah dari segi pelajaran atau kemampuan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghadapi ketagihan. Ini, kata beliau, memandangkan mereka yang berstatus ekonomi yang rendah lebih terdedah kepada tahap tekanan yang lebih tinggi.

"Dari segi kewangan juga, penggunaan alat vape ini lebih murah dalam jangka masa yang panjang. Walaupun alat vape lebih mahal apabila dibeli pada mulanya, cecair vape yang harus ditambahkan lebih murah jika dibandingkan dengan perbelanjaan membeli rokok. Kos yang rendah ini boleh menjadi sesuatu faktor yang penting bagi para pelajar yang mempunyai kuasa pembelian yang agak rendah berbanding orang yang bekerja," katanya lagi.

ADAKAH TREND MEMBIMBANGKAN INI AKAN TERUS MELONJAK?

Perangkaan terkini pemerintah itu menimbulkan persoalan. Dengan trend peningkatan kesalahan berkaitan vape naik tinggi, Encik Haikal berpendapat bahawa Singapura akan terus menyaksikan isu vape menjadi krisis lebih besar pada tahun-tahun mendatang.

"Jika langkah-langkah ini tidak terkawal, jika kita tidak mengambil pendekatan untuk membantu mereka yang menghadapi masalah daripada segi emosi dan tekanan serta ingin diterima oleh orang lain, saya menjangkakan bahawa masalah akan meningkat kerana masalah tabiat vape atau ketagihan vape bukan satu masalah yang secara praktikal. Ini adalah satu masalah dari segi emosi.

Mereka melakukan tabiat ini kerana ingin mengisi keperluan-keperluan emosi mereka atau mereka mungkin ingin disukai orang-orang. Mereka mahu diterima. Maka itu, walaupun kita mengetatkan undang-undang itu, puncanya masih ada," katanya.

Dalam ucapannya di Parlimen pada Selasa (2 April), Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan Rahayu Mahzam berkata, sekolah-sekolah tempatan sedang mengambil pendekatan aktif untuk mencegah para pelajar daripada terjerumus ke kancah vape.

Antara lain pemerintah juga sedang meneroka kemungkinan menyasarkan langkah untuk mencegah penjualan produk-produk vape secara online.

Namun sejauh ini walaupun sudah ada pelbagai kempen antivape, langkah-langkah lain mungkin perlu diambil bagi menangani masalah tersebut. Encik Haikal percaya, ibu bapa juga perlu memainkan peranan lebih proaktif.

"Peraturan-peraturan yang ketat di sekolah mengenai vaping adalah satu permulaan yang baik dalam menangani masalah penggunaannya. Bagi sebahagian besar daripada murid-murid ini, inisiatifnya juga perlu melibatkan ahli keluarga atau teman-teman kerana tanpa inisiatif yang holistik, pendekatan yang diambil untuk menangani masalah ini tidak akan cukup.

"Pihak keluarga juga memainkan peranan penting kerana anak muda yang merasakan hubungan yang lebih kuat dengan ahli keluarga mereka, mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mengalami masalah ketagihan. Bagi pihak sekolah, saya menyarankan agar memberikan ruang-ruang yang sesuai untuk murid mereka melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang sihat untuk mengatasi tekanan," tambahnya.

Yang pasti, Kementerian Kesihatan akur pihak berkuasa perlu mencari pendekatan terbaik dan mengerahkan sumber-sumber secara berkesan bagi menangani isu vape ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan