Skip to main content

Singapura

analisisBERITA: 25 tahun selepas serangan 9/11 - Adakah dunia kini lebih selamat?

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Sep 2026 10:39PM Dikemas Kini : 06 Oct 2026 01:51PM
NEWS ANALYSIS: 25 years after the 9/11 attacks - Is the world safer now?
  • The Sep 11, 2001 terrorist attacks by Al-Qaeda changed the global security landscape and triggered a large-scale campaign against terrorism.
  • Although key terrorist leaders have been eliminated, their ideology is still spreading, now through technology and social media that make it easier to radicalise individuals.
  • Singapore remains at risk because of the perception of its links with Western countries, and cases of self-radicalisation are increasing, including among young people.
  • The Singapore Government has implemented a comprehensive approach such as the ISA, RRG and SG Secure to strengthen security and cohesion in its multiracial society.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Pada 11 September 2001, serangan pengganas ke atas Amerika Syarikat menggemparkan dunia.

19 anggota kumpulan pengganas Al-Qaeda melancarkan empat siri serangan nekad terancang dalam tempoh kurang dua jam, di mana mereka merampas empat pesawat yang kemudian merempuh Menara Kembar Pusat Perdagangan Sedunia (WTC) dan Pentagon.

Akibatnya, 2,977 nyawa melayang, termasuk semua pengganas terbabit.

Ini mencetuskan Washington untuk melancarkan kempen "Perang terhadap Pengganasan" yang menyasarkan gerakan-gerakan militan Islam seperti Al-Qaeda, Taliban dan ISIS.

Walaupun serangan-serangan balas Amerika berjaya melenyapkan ketua-ketua pengganas utama, Ketua Penganalisis Pertahanan bersama Janes - sebuah agensi penyelidik pertahanan dan keselamatan, Encik Ridzwan Rahmat, berkata ancamannya masih lagi tersisa.

"Mereka memang telah dihapuskan secara sistematik dan berterusan - seperti Osama bin Laden dihapuskan pada 2011, Abu Bakar Al-Baghdadi pada 2019 dan seterusnya. Tetapi memenggal kepala sesebuah organisasi itu tidak semestinya membunuh ideologi tersebut. Terutama sekali apabila ideologi itu sudah mempunyai pengikut yang tegar," katanya.

WAJAH PENGGANASAN KINI BERUBAH

Kepesatan teknologi masa kini bermakna penyebaran diayah pengganas semakin bercabang di luar pangkalan latihan kumpulan-kumpulan ekstremis.

"Sebuah hierarki pengganas yang berpusat kini telah berpecah kepada rangkaian yang lebih longgar, lebih sukar dikesan, manakala generasi pengganas baharu kini diradikalisasi bukan lagi di kem latihan tetapi di skrin telefon, di dalam bilik tidur mereka atau melalui komputer riba,"ujar Encik Ridzwan.

Serangan yang berlaku 25 tahun lalu itu mengubah dengan ketara protokol keselamatan di lapangan-lapangan terbang seluruh dunia.

Jentera keselamatan negara kini lebih canggih dan tangkas dengan pemantauan serta perisikan di alam maya semakin teliti.

Sungguhpun demikian, kata Encik Ridzwan, ancaman pengganasan jenis baharu yang wujud secara online sukar dikenal pasti apalagi untuk dibendung.

Ini kerana sifat media sosial yang tidak pernah 'tidur' dan sentiasa deras dengan maklumat.

"Hasilnya kini, kita melihat radikalisasi buatan sendiri atau 'self-made' dalam kalangan individu yang tidak pernah menjejakkan kaki ke mana-mana medan perang, malah tidak pernah bertemu seorang perekrut pun secara peribadi."

"Satu lagi titik buta atau 'blind spot' yang saya rasa semakin membesar iaitu serangan berskala kecil yang tidak memerlukan rangkaian ataupun pembiayaan kewangan besar mahupun perancangan yang bertahun-tahun. Jadi seorang pelaku misalannya yang bertindak sendiri tanpa arahan langsung daripada mana-mana organisasi," katanya lanjut.

Maka itu, Encik Ridzwan berkata cabarannya hari ini bukan lagi mengesan konspirasi tetapi niat seseorang individu sebelum ia bertukar menjadi satu tindakan pengganas.

KES RADIKAL SENDIRI MEMBIAK

Ternyata, kes menjadi radikal secara sendiri semakin berleluasa, termasuk di Singapura.

Laporan terkini oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) menggariskan kes radikalisasi secara sendiri sebagai terus menjadi pendorong utama ancaman pengganasan domestik, dengan usia mereka yang menjadi radikal juga semakin muda.

Di peringkat antarabangsa, Singapura kekal menjadi sasaran pengganas disebabkan tanggapan hubungan mesranya dengan negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Israel.

Pendek kata, Singapura tidak kebal daripada sebarang ancaman pengganasan.
Lantaran itu, pemerintah mengambil pendekatan menyeluruh - merentasi undang undang, masyarakat serta agama sekali gus - untuk memastikan kedua-dua benteng keselamatan negara dan sosial tidak mudah tergugat.

"Jadi seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membolehkan tahanan pencegahan sebelum ia berlaku. Satu lagi ialah Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG). Jadi ia lebih menyeluruh - yang bekerjasama dengan para ulama untuk membetulkan pemahaman agama yang disalahgunakan oleh golongan pengganas. Gerakan SG Secure pula yang telah melatih rakyat biasa untuk lebih peka dan bertindak semasa krisis," terang Encik Ridzwan.

Semua pendekatan itu, jelas beliau, memastikan Singapura menjaga perpaduan masyarakat majmuk agar isu-isu kaum dan agama tidak dieksploitasi sehingga menyebabkan garis pemisah antara rakyat.

ADAKAH DUNIA KINI LEBIH SELAMAT?

Kesimpulannya, dunia mungkin lebih selamat daripada serangan berskala besar dengan adanya teknologi-teknologi canggih untuk memintas komplot pengganas sebelum ia sempat berlaku.

Namun hakikat bahawa teknologi serupa turut dimanfaatkan kumpulan-kumpulan ekstremis bererti, ancaman-ancaman masih terus berlegar.

"Saya rasa kita tidak seharusnya berpeluk tubuh. Hanya kerana sudah 25 tahun yang lalu, tidak bermakna bahawa ancaman itu telah pudar. Saya rasa ancaman itu sebaliknya berkembang atau mempunyai satu evolusi yang lebih sukar dikesan," Encik Ridzwan beri peringatan.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita