Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ANALISIS: Trend remaja dipengaruhi fahaman radikal online perlu dilihat menerusi konteks lebih luas

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Penahanan seorang pelajar di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang diumumkan minggu lalu, menjadikan kesemuanya sembilan remaja yang dikesan menjadi radikal sejak 2015.

Walaupun satu jumlah yang kecil jika dibandingkan dengan kebanyakan negara lain, trend tersebut tetap menjadi satu keprihatinan.

Ini memandangkan betapa terdedahnya remaja hari ini kepada pengaruh radikal dari alam siber, khususnya media sosial.

Dalam kes penahanan ISA yang terbaru Muhammad Irfan Danyal contohnya, Felo Penyelidikan Bersekutu RSIS, Ustaz Muhammad Saiful Alam Shah berkongsi, banyak konsep-konsep agama yang dijadikannya alasan untuk merancang tindakan ganas, telah terpesong.

"Beberapa konsep yang nampaknya ada kekeliruan di sini, contohnya, konsep khilafah, syariah ataupun perundangan Islam, konsep syahid, bai'ah, perang dan harta pampasan perang. Jadi, bahayanya apabila konsep-konsep seperti ini dibaca, tanpa disertakan pemahaman dari sudut sejarah Islam. Dia tidak boleh difahami dengan sekadar menonton video propaganda atau bacaan artikel-artikel propaganda ISIS sahaja. Jadi pembacaan fiqh juga memerlukan bimbingan daripada pakar fiqh agar pemahaman itu tidak tersasar dan apa yang lebih penting adalah agar makasid syariah itu terpelihara" jelas Ustaz Saiful.

GOLONGAN REMAJA PALING CELIK IT, NAMUN KURANG 'FILTER'

Hasil interaksi beliau dengan para remaja, Ustaz Saiful akur golongan remaja hari ini bukan sahaja celik teknologi, mereka juga yang paling banyak meluangkan waktu di alam siber.

Bahayanya timbul, apabila mereka mencari bahan-bahan atau terlibat dalam perbincangan agama dalam talian, tanpa tapisan.

"Trend sekarang adalah huraian yang cepat. Mana yang cepat. Mereka tidak mahu melalui semua yang susah, berapa lama nak kena belajar, nak kena kaji, nak kena dengar ulama ni kata apa, pakar ini kata apa. Lambat. Saya perlukan huraian pantas. Solusi yang sokong saya, yang seiring dengan apa yang aku mahukan. Itulah yang selalu membawa kepada berita-berita seperti mana yang kita bincangkan hari ini."

COVID-19 BERPOTENSI MEMICU LEBIH RAMAI KES REMAJA YANG MENJADI RADIKAL

Seperti apa yang berlaku dalam kes Muhammad Irfan Danyal, ia menjurus kepada trend yang membimbangkan, ibarat bom jangka atau 'time bomb'.

Demikian keprihatinan yang diluahkan oleh Felo Penyelidikan Bersekutu RSIS Ustaz Muhammad Saiful Alam Shah.

"Kalau kita lihat COVID-19 sampai di Singapura pada suku pertama tahun 2020. Kalau kita lihat kepada laporan MHA, di situ Irfan mula berjinak-jinak mengikuti ceramah-ceramah di dalam talian oleh penceramah-penceramah muslim tertentu. Sehingga tahun lepas, Ogos, yang mana dia mula nak buat apa yang dia plan di Coney Island, dia nak berangkat ke Nigeria. Jadi kalau kita lihat dari sudut tempoh masa COVID itu sendiri sehinggalah tahun lepas, 2022, ada kemungkinan besar banyak masa dihabiskan dengan menonton video-video propaganda ISIS semasa COVID-19 berada di kemuncaknya. Jadi saya tidak lihat ini sebagai satu insiden sendiri, dan kita perlu merasa bimbang kerana banyak aktiviti yang berlaku di luar sana, dalam masa tempoh masa COVID-19 itu tadi."

REMAJA YANG SEDANG MENCARI JATI DIRI LEBIH MUDAH TERDEDAH KEPADA FAHAMAN RADIKAL

Oleh itu, kes remaja yang menjadi radikal perlu dilihat dari sudut yang lebih luas, terutama sekali, bagaimana untuk memenuhi keperluan sosial dan psikologi mereka.

Kerana jika kekosongan ini tidak dapat diisi, bakal ada pihak-pihak yang mengambil kesempatan, ibarat menangguk di air yang keruh.

"Kita serba maklum, manusia ni fitrahnya hidup bermasyarakat dan dengan demikian, secara tak langsung, ia mencerminkan identiti. Setiap remaja, setiap belia akan melalui fasa ini, pencarian identiti. Ini merupakan fasa yang mereka perlu, mereka cuba untuk mencari jati diri mereka. Jadi soalan-soalan, saya bagi contoh, siapa aku? Aku seorang Muslim, jadi apa tanda aku seorang muslim? Jadi inilah soalan-soalan, contoh-contoh persoalan yang dijadikan umpan oleh ISIS untuk mempengaruhi individu yang pertama, individu yang mungkin cetek pengetahuan agama dan sejarah agamanya. Kedua, bagi mereka yang peka, tapi kurang faham mengenai pergolakan geo-politik serantau."


Menurut Ustaz Saiful, contohnya telah pun ada di kalangan remaja Islam di belahan lain dunia.

Kaitan antara isu remaja yang mencari identiti dan akhirnya terjerumus kepada fahaman radikal, adalah lebih ketara bagi kaum Islam minoriti di dunia barat.

"Perkara yang sama ini telah berlaku banyak kali, kerap kali di negara-negara Eropah yang mempunyai jumlah masyarakat Islam yang tinggi. Di UK contohnya, di Perancis contohnya.
Apa yang kita nampak pada Irfan hari ini, telah berlaku di negara-negara tersebut, kerana faktor yang sama juga. Langkah seterusnya ialah untuk mencernakan identiti secara kolektif. Ada rasa kekitaan, atau kerbersamaan. Makanya kalau kita lihat juga kepada laporan, Irfan boleh menjalin hubungan dengan radikal dalam talian. Jadi sentimen dia itu diiktiraf oleh hubungan tersebut.

APAKAH IKTIBAR YANG BOLEH DIAMBIL BAGI MENGELAK RASA JENUH?

Bagi masyarakat Melayu/Islam Singapura, berita penahanan Muhd Irfan Danyal di bawah ISA tentu mengecewakan. Ini memandangkan banyak usaha telah dilakukan bersama untuk menangkis fahaman radikal.

Namun begitu, terdapat iktibar yang masih boleh diambil sebagai sebuah masyarakat, kata Ustaz Saiful, terutama dalam penafsiran konsep-konsep agama yang sekian lama menjadi pegangan.

"Secara ikhlas, secara jujur saya mengatakan, kita telah banyak melakukan inisiatif-inisiatif untuk mengekang, kita telah banyak melakukan semampunya. Bermula dari pemerintah, kepada pusat pendidikan, kepada badan agama, kepada masjid, semua kita telah melakukan. Tapi setiap kali berlaku perkara seperti ini, ia juga satu peluang, satu kesempatan untuk kita mempergiat usaha-usaha kita untuk menjaga antara satu sama lain. Saya lihat ada positifnya, walaupun sesuatu yang malang, ada penangkapan. Tapi kalau dilihat dari sudut hikmah dan kebijaksanaannya, ia mengundang kita, untuk melihat kembali pemahaman kita tentang Islam, dan sejarah Islam dan sejarah keilmuan Islam itu sendiri."
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan