Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ANALISIS: Tarik pekerja bina kemahiran dalam industri pertukangan demi kemampanan sektor itu

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Dalam ucaptamanya di Rapat Hari Buruh hari ini (1 Mei), Timbalan Perdana Menteri (DPM) Lawrence Wong mengumumkan lebih banyak sokongan akan disediakan buat para pekerja untuk memperkasakan diri dalam kerjaya dan latihan mereka.

Ini lebih-lebih lagi bagi lulusan politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE), dengan tumpuan khusus bagi mereka dalam pekerjaan vokasional dan teknikal.

Langkah itu disambut baik pakar dan pemimpin gerakan buruh demi kemampanan sektor tersebut.

Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) juga berusaha membentuk satu rangka kerja yang memadankan kenaikan gaji dengan kemahiran.

Antara yang sedang diusahakan adalah bagi meningkatkan prospek kerja serta gaji para pekerja dalam industri pertukangan mahir seperti perkhidmatan tukang paip dan juru elektrik.

Jika tidak ditangani, Singapura akan menyaksikan kekurangan kepakaran tempatan yang kritikal dalam sektor tersebut.

Namun antara cabarannya adalah bagaimana untuk mendorong lebih ramai rakyat Singapura untuk menganggapnya sebagai laluan kerjaya dengan nilai tinggi.

MAJIKAN DIHARAP DAPAT TINGKATKAN PROSPEK KERJA & GAJI

Zamil Penyelidik, Institut Pengajian Dasar (IPS) Dr Mohamad Shamsuri Juhari berkata terdapat kaitan di antara tanggapan terhadap status dan nilai pekerjaan sedemikian.

"Pada pendapat saya ini semua boleh dikaitkan pada dua aspek. Aspek status dan aspek pendapatan. Boleh kalau kita bandingkan pekerjaan dan kemahiran seperti ini yang adanya di negara asing, kita dapati yang dari segi permintaan dan ini dikaitkan dengan pendapatan mereka lebih tinggi daripada apa yang kita boleh berikan di Singapura," kata beliau.

Naib Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Abdul Samad Abdul Wahab pula berpendapat golongan muda tidak tertarik untuk melakukan pekerjaan sedemikian.

"Untuk anak-anak muda Singapura sekarang,melakukan pekerjaan seperti membuka paip dan menutup paip, buka skru, tutup skru, sambung kabel, saya perhatikan tidak ramai ke hadapan. Mungkin pada mereka ini kerja untuk pakcik-pakcik. Sekarang, (mereka ingin) kerja yang pakai tali leher, tempat sejuk. Kalau kita tidak mencari jalan sekarang untuk menyelesaikan penghujung nanti masalah akan lebih besar," ujar Encik Samad.

Namun dalam masa yang sama, para majikan juga diharap dapat meningkatkan prospek kerja serta gaji para pekerja dalam industri pertukangan berdasarkan kepakaran dan pengalaman mereka.

"Saya rasa apa yang masalah kita harus tepikan adalah tumpuan kepada apa kelulusan. Kita harus menuju kepada tumpuan apakah kemahiran yang diperlukan. Sijil itu yang memastikan kemahiran dia, kecekapan. Dia ada kecekapan pada tahap berbeza. Contohnya tukang paip, mungkin kita bezakan dari paip atau jumlah air. Untuk sektor elektrikal pula, kita ada yang boleh buat setakat 2000 voltan sahaja, ada yang boleh buat lebih. Jadi ini kita harus lihat dan bayar mereka mengikut apakah kemahiran yang mereka ada sejajar dengan kebolehan mereka."

Meskipun para lulusan ITE dan politeknik digesa merebut peluang dalam sektor teknologi di tengah-tengah ekonomi digital yang pesat berkembang, peralihan tumpuan kepada "kemahiran pertukangan" tidak seharusnya dilihat sebagai mengambil langkah ke belakang.

"Kita harus memberikan gambaran, mungkin di ITE, malah mungkin dari sekolah menengah untuk memberi galakan kepada rakyat Singapura bahawa pekerjaan ini juga pekerjaan yang mempunyai maruah yang tinggi, pulangan yang tinggi, akhirnya setiap pekerja, berapakah pulangan gaji, kita jangan gambarkan yang lain. Berapa pulangan gaji, itulah yang lebih penting," kata Encik Samad lagi.

BERI BIMBINGAN KERJAYA LEBIH BAIK DI ITE

Dr Shamsuri berkongsi bahawa hasil kajiannya mendapati para penuntut di politeknik dan di universiti biasanya mendapat bimbingan kerjaya yang baik.

"Apabila mereka (para pelajar ITE) memilih untuk melanjutkan pelajaran ke kursus NITEC Lanjutan, pilihan mereka berlainan daripada apa yang mereka belajar di peringkat NITEC. Sebabnya mereka masih tidak tahu apa yang mereka mahu, jadi yang pilihan mereka adalah mengikut (kursus) apa yang kawan ambil atau keinginan ibu bapa mereka. Jadi kesimpulannya yang kekurangan dari sini saya lihat adalah dari segi perancangan kerjaya.

"Yang lebih penting pada masa ini adalah untuk mendekati pelajar-pelajar semasa mereka belum tinggalkan sekolah terutama pelajar di ITE. Mereka harus diberi nasihat dan juga pendedahan tentang pelbagai bidang yang boleh mereka masuk dan ini akan memberi mereka pengetahuan, minat dan pilihan yang lebih tepat," tambah beliau.

Ini diiringi juga dengan sokongan pihak kesatuan bagi para pekerja untuk menjalani peralihan kerjaya dan timba kemahiran relevan.

"Pihak kesatuan itu mahupun gerakan buruh akan mendekati mereka untuk berkongsi apakah cabaran yang mereka hadapi. Dalam masa yang sama berikan mereka idea-idea baru untuk meningkatkan kemahiran kerana dengan kemahiran ini memberi mereka keluasan daripada apa bidang yang sedang mereka ceburi sekarang Kemahiran yang mereka pelajari sekarang akan bermanfaat di masa hadapan," nasihat Encik Samad

Pemerintah juga akan bekerja rapat dengan gerakan buruh bagi mengurangkan kos dan hambatan bagi para pekerja ikuti latihan.
Sumber : BERITA Mediacorp/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan