Skip to main content

Singapura

ANALISIS: Sejauh mana cuaca ekstrem jejas kehidupan masyarakat?

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Suhu panas di Singapura mencecah 37 darjah Celsius bulan lalu - suatu rekod tertinggi sejak 40 tahun lalu.

Baru-baru ini pula, pihak berkuasa cuaca dan iklim memberi amaran, fenomena El Nino akan kembali berlaku pada separuh kedua tahun ini.

El Nino akan menyebabkan cuaca lebih kering dan panas ke Asia Tenggara sebagaimana yang berlaku lapan tahun lalu.

Maka timbul persoalan: Sejauh manakah masalah cuaca ekstrem ini akan menjejas kehidupan masyarakat. Apa perkara-perkara yang perlu diberi perhatian?

Dalam Analisis minggu ini, kami dapatkan rumusan pakar dalam isu ini.

MASALAH YANG DIALAMI ADALAH KETIDAKTENTUAN

Setiap kali kita bercakap tentang cuaca, apa yang dibicarakan adalah sama ada cuaca panas atau sejuk.

Jadi apabila pakar-pakar katakan cuaca panas akan berlarutan, yang selalu dikhuatirkan adalah suhu tinggi yang akan terus-menerus membuat kita berpeluh.

Tapi kesannya sebenarnya lebih daripada itu.

"Walaupun ramalan cuaca boleh katakan kita mungkin akan ada suhu sangat tinggi, sebenarnya dalam satu hari, kita boleh alami suhu yang sangat tinggi, lepas itu hujan lebat," terang Pensyarah Pengajian Asia Tenggara NUS Dr Serina Rahman.

"Jadi yang kami akan mengalami sebenarnya adalah ketidaktentuan."

Dalam erti kata lain, ia akan menjejas kegiatan seharian kita.

"Kita hendak pergi kerja yang paling asas kita tidak tahu, keluar panas, balik hujan, tiba-tiba malam sejuk. Ini yang membuktikan bahawa cuaca kami sudah tidak tentu," jelas beliau lagi.

KESAN TERHADAP SEKTOR PERTANIAN

Gabungan cuaca panas, cuaca tidak menentu dan kesan El Nino di darat dan lautan, tambah Dr Serina, akan menjejas sektor pertanian serta hasil tangkapan nelayan.

Ini secara langsung boleh juga menjejas bekalan makanan ke Singapura.

"Jadi kalau kami di Malaysia kurang dapat ikan, kita punya hasil ladang kebun semua kurang, memang itu akan menjejas import eksport kami kepada Singapura. Memang ada kesan kepada Singapura," ulasnya.

Jalan keluar untuk perkara ini juga tidak semudah mencari sumber dari negara-negara lain.

"Kita tak boleh cakap, Malaysia tak hantar tak apa... kita ambil dari Indonesia. Sebab benda ini, kalau menjejas Malaysia, juga akan menjejas Indonesia, juga akan menjejas Filipina, sebab kita semua kawasan yang sama dan cuaca ini tidak ada sempadan kan?" soal Dr Serina.

APA YANG BOLEH KITA LAKUKAN?

Mujur, Singapura sudah bersiap dengan pelbagai langkah bagi menjamin bekalan makanannya, termasuk menerusi ladang bertingkat dan ikan ternakan.

Namun ini juga memerlukan rakyat Singapura bersikap realistik.

"Mungkin orang akan cakap, hasil laut yang dapat rasanya lain, tak sesedap yang dapat di air ikan liar yang dah memang bebas nak bandingkan itu dengan ikan bela memang jauh. Tapi sekurang-kurangnya dapat ikan," kata Dr Serina.

Maka warga Singapura mungkin perlu kurangkan jangkaan kepada misalnya, merasai ikan yang paling-paling sedap, sebab akan sukar untuk dapat dan biasakan diri kepada ikan yang dibela.

JEREBU BAKAL MENYERBU?

Berhubung cuaca berjerebu, Pusat Kaji Cuaca Khusus ASEAN (ASMC) sudahpun menyatakan, risiko berlaku jerebu kini lebih tinggi, dan ia menjangkakan, asap rentas sempadan akan menjejas bahagian selatan Asia Tenggara antara sekarang hingga Oktober.

Pusat tersebut kini menasihatkan negara rantau ini supaya mengambil langkah waspada demi mencegah kejadian kebakaran hutan belukar dan jerebu ekoran cuaca kering.

Bagi Dr Serina, dalam soal jerebu, selain berpunca dari faktor cuaca, ada faktor manusia yang perlu diberi perhatian.

"Ini ironi yang besar. Orang Singapura dan Malaysia suka tuduh orang Indonesia jadi punca jerebu yang datang kan? Tapi kalau kita tengok siapa sebenarnya yang menebang pokok dan membakar hutan ini, kebanyakan syarikat yang pemiliknya orang Singapura dan Malaysia," tegur Dr Serina.

"Lepas itu mereka akan cakap orang kampung yang buat. Biasanya orang kampung tak nak tebang pokok dan bakar hutan sebab dia yang kena duduk dalam keadaan berasap."

Lantaran itu Dr Serina menekankan betapa usaha memerangi perubahan iklim ini memerlukan kerjasama berbilang pihak.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita