Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ANALISIS: Sambutan Tahun Baru Cina lebih meriah; warga emas masih ambil langkah berjaga-jaga COVID-19

Tahun Arnab kali ini merupakan tahun pertama  masyarakat Cina di Singapura kembali meraikan kedatangan tahun baru dengan penuh bersemangat.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Tahun Arnab kali ini merupakan tahun pertama  masyarakat Cina di Singapura kembali meraikan kedatangan tahun baru dengan penuh bersemangat.

Ini lebih-lebih lagi selepas dua tahun menyambutnya dalam suasana serba sederhana disebabkan sekatan COVID-19. 

Meskipun masyarakat Cina di Singapura sudah kembali meraikannya hampir sama seperti sebelum pandemik, Pengerusi Jawatankuasa Nasional Singapura bagi Kerjasama Ekonomi Pasifik, Dr Tan Khee Giap berpendapat ramai yang terus berwaspada dengan penularan COVID-19 dan masih mengambil langkah berjaga-jaga. 

"Masih ada perasaan takut khususnya bagi golongan warga emas yang berusia lebih 70 tahun ini. Jadi, sambutan Tahun Baru Cina ini masih berada pada skala yang terhad," jelas Dr Tan.

Namun, menurutnya lagi, meskipun sebilangan warga emas mengelakkan daripada mengambil bahagian dalam perayaan, sambutan tahun ini menyaksikan pemulihan budaya kunjung mengunjung secara besar-besaran.

ACARA MAKAN BERSAMA DI RESTORAN 

Tahun ini juga merupakan tahun pertama had pengunjung di restoran ditarik balik sejak COVID-19 melanda Singapura pada awal 2020.

Dr Tan berpendapat bahawa satu trend ketara tahun ini adalah bagaimana lebih banyak keluarga Cina memilih untuk mengadakan acara makan bersama atau 'reunion dinner' di restoran berbanding di rumah. 

"Selepas tiga tahun kita diserang COVID-19, kita tidak dapat pergi ke restoran untuk menyambut bersama-sama dan oleh itu, Tahun Baru Cina ini memberi peluang dan kesempatan bagi kami mengikat lagi pergaulan yang sudah begitu longgar," ujar Dr Tan. 

KESAN INFLASI DAN KENAIKAN CUKAI GST 

Di tengah-tengah kemeriahan sambutan, musim Tahun Baru Cina kali ini turut dicengkam kadar inflasi dan GST yang meningkat di Singapura, sekali gus menyebabkan harga lebih mahal bagi banyak jenis barangan dan perkhidmatan.

Namun, pakar ekonomi itu menekankan hal ini tidak menjejas budaya dan tradisi kerana hasrat untuk berjumpa lagi dan merapatkan ikatan sesama ahli keluarga tidak akan berubah.

Mentelah lagi kesan kenaikan harga dan cukai GST itu tidak seburuk yang dijangkakan sebelum ini.  

"Inflasi ini memang satu keadaan yang sementara dan apabila negara kita dapat mengatasinya, harga barangan akan menjadi lebih stabil jadi ini satu keadaan jangka pendek dan pada jangka panjangnya, saya berpendapat bahawa harga-harga di pasaran atau di restoran akan terus lebih stabil," kata Dr Tan. 

MAKNA TAHUN ARNAB 

Selain itu, Dr Tan turut menyentuh tentang makna tahun arnab bagi masyarakat Cina sempena sambutan kali ini. 

"Arnab adalah sejenis binatang yang lincah dan ini dicerminkan hasrat rakyat Singapura, khususnya orang Cina yang berharap agar tahun ini akan lebih makmur dan saksama," ujar Dr Tan. 

Di samping itu, ia juga mencerminkan harapan rakyat agar ekonomi dapat tumbuh dengan lebih stabil. 

Dr Tan turut berkongsi bahawa ekonomi Singapura sudah pulih ke paras 90 peratus sebelum pandemik dan sekitar setahun lagi diperlukan bagi keadaan ekonomi dan juga semangat perayaan untuk kembali seperti biasa. 

Sumber : BERITA Mediacorp/IA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan