Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Analisis: Penting buat pemeriksaan barah payudara namun ramai wanita Melayu tidak peduli

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Barah payudara adalah pembunuh nombor satu bagi penyakit barah dalam kalangan wanita Singapura.

Bagaimanapun perangkaan menunjukkan, sekitar 17 peratus sahaja wanita Melayu mendapatkan pemeriksaan, berbanding lebih 40 peratus bagi wanita Cina dan India.

Apa yang menghalang pengesanan awal?

Pengarah Pusat Jagaan Barah Serenity, Cik Syafia Sharun berkata pengalaman Ain Society mendapati ada banyak sebab yang menyumbang ke arah itu dan ia cukup membimbangkan.

SIKAP TERHADAP PENYAKIT

Ramai yang menganggap pemeriksaan kesihatan "tidak penting" dan hanya berjumpa dengan doktor apabila sudah mempunyai tanda-tanda menghidap barah payudara.

"Kami pernah temui pesakit yang walaupun sudah ada tanda-tanda awal, mereka ambil ringan, tolak tepi dan mereka menganggap ini sebagai mungkin biji angin sahaja yang akan hilang," jelas Cik Syafia kepada BERITA mediacorp.

Tambahnya lagi, terdapat segelintir wanita atau pesakit yang bimbang sekiranya mereka lakukan pemeriksaan, mereka akan tahu menghidap penyakit itu. Ada juga yang bimbang akan rawatan susulan, lantas menunda pemeriksaan.

KOS RAWATAN

Selain itu, soal kos kewangan juga merupakan antara hambatan untuk menjalani pemeriksaan barah.

"Ada yang bimbang, keperluan seperti menjalani pemeriksaan dan rawatan susulan boleh menjadi beban untuk keluarga." ujarnya.

Malah, ada juga yang sebenarnya enggan mendapatkan pemeriksaan kerana faktor malu atau aurat, yang disebabkan percakapan orang.

"Mereka mendengar orang kata, kalau nanti pergi pemeriksaan mamogram, kita tidak tahu sama ada yang akan memeriksa kita itu adakah pekerjanya lelaki, ataupun macam mana sebagai seorang wanita Muslim, ini menjadi keprihatinan sekiranya yang akan memeriksa kita adalah pegawai, jururawat atau doktor lelaki," jelasnya.

KERJAYA DAN MASA DEPAN

Selain masalah sikap, satu lagi hambatan dalam kalangan wanita Melayu berhubung penyakit barah ialah kesan terhadap kerjaya mereka.

"Mereka bimbangkan apa akan terjadi kepada pekerjaan mereka contohnya, kerjaya mereka contohnya, kalau mereka tidak keluar bekerja, bagaimana mereka akan terus mendapatkan pendapatan untuk keluarga," katanya.

"Yang juga yang menjadi kebimbangan ialah sekiranya mereka sebagai ibu, sebagai isteri, mereka menjalani rawatan maka nanti siapa yang akan menjaga mereka setelah mereka menjalani rawatan kerana memerlukan masa untuk pemulihan," tambahnya Cik Syafia lagi.

FAKTOR BUDAYA

Cik Syafia turut menekankan membimbangkan yang sangat berkait rapat dengan pegangan masyarakat Melayu/Islam yang sudah lama wujud dan perlu diubah segera.

"Masih ada lagi di antara mereka yang menganggap bahawa penyakit itu sesuatu ketentuan maka tidak perlu untuk menjalani pemeriksaan dan tidak perlu untuk mengambil langkah-langkah awal untuk mendapat tahu sama ada mereka mempunyai penyakit atau tidak. Tanggapan mereka ialah kalau dah ketentuan, kalau sudah ada penyakit, maka kita sebagai manusia terima sahaja, reda sahaja," ujarnya kepada BERITA mediacorp.

Menurut Cik Syafia, ini menjadi salah satu sebab utama yang menghindari mereka untuk melakukan pemeriksaan awal."

TEKANAN EMOSI

Di samping itu, Cik Syafia turut menyentuh bagaimana proses pemeriksaan boleh mendatangkan pelbagai tekanan emosi yang menyebabkan seseorang wanita itu mengabaikannya.

"Menjalani pemeriksaan itu sendiri boleh mendatangkan tekanan kerana kita tidak pasti apa yang kita akan ketahui daripada pemeriksaan tersebut jadi dari segi emosi, individu yang ingin pemeriksaan ini akan mula fikirkan perkara-perkara, cabaran-cabaran yang mereka akan lalui sekiranya didapati mereka ada penyakit," katanya.

HARAPAN MASA DEPAN

Jelas, berdasarkan pemerhatian Pusat Jagaan Barah Serenity, anggapan wanita Melayu terhadap pemeriksaan penyakit barah payudara merupakan suatu masalah kompleks.

Mentelah lagi menurut Cik Syafia, topik penyakit barah juga "bukan suatu topik yang dibincangkan secara terbuka" dalam keluarga-keluarga Melayu.

"Sekiranya trend ini berterusan ia akan sangat menjejas dalam jangka masa panjang. Sangat menjejas wanita di kalangan masyarakat kita dan bukan hanya kita sebagai wanita yang akan terjejas tetapi orang-orang sekeliling juga akan terjejas kerana sekiranya penyakit barah itu tidak dikesan pada peringkat awal," tekannya lagi.

Setiap tahun, lebih 2,000 wanita dikesan menghidap barah payudara.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/hy

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa