Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ANALISIS: Konflik Israel-Palestin perlu dilihat tidak hanya dengan kacamata agama

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kes penahanan terbaru di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) melibatkan seorang guru sekolah kebangsaan menimbulkan keprihatinan ramai.

Mohamed Khairul Riduan didapati menjadi radikal dengan sendiri dan bersedia ke Gaza untuk bergabung dengan Hamas. Mujur tindakan pencegahan dapat segera diambil.

Bagaimanakah individu sedemikian boleh berubah menjadi radikal, serta apa implikasinya?

Pakar dalam kajian radikalisasi dan pengganasan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS), Dr Noor Huda Ismail, berkongsi pandangan beliau. 

"Radikalisasi adalah sebuah proses psikologi jadi seharusnya kita tidak terlalu terperanjat kalau melihat orang yang  diradikalisasi itu dari kalangan bahkan seorang guru, kerana ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja, kalau mereka mengalami masalah peribadi, ada permasalahan identiti yang dicari, ada permasalahan ingin mencari jawapan," kata Dr Huda.

Tambah Dr Huda, apalagi dalam konteks hari ini di mana orang ramai  begitu terdedah kepada pelbagai sumber maklumat dari luar, terutama pengaruh media sosial.

Menurut laporan terbaru RSIS, ancaman radikal dengan sendiri merupakan ancaman pengganasan utama kepada keselamatan Singapura.
 
"Jadi media sosial menjadi 'enabler', faktor yang membuat orang itu boleh bertemu idea dan melihat keadaan di luar negara kita, tempat kita tinggal, dengan mudah. Jadi kalau tidak punya kemampuan untuk mengesahkan, mana informasi yang benar, mana yang boleh dipercayai dari sumber-sumber yang sah, sumber-sumber yang dipercayai, akan mudah orang itu terpengaruh. Apalagi narasi-narasi di media sosial itu, kelompok kekerasan, itu selalunya menekankan pada aspek emosi."

"Walaupun dalam kes Mohamed Khairul, dia tidak berniat untuk melakukan pengganasan di Singapura."

"Namun rancangannya perlu dicegah, kerana bahaya yang menyusul di kemudian hari. Ini berdasarkan trend-trend dari pelbagai konflik sedia ada," tambahnya.

HATI-HATI AMBIL KONTEKS LUAR NEGARA

"Yang pertama, itu adalah ketika orang datang terlibat dalam konflik, konflik yang didatangi itu tidak akan cepat selesai, tetapi justeru akan menjadi lebih lama, lebih luas, dan kedua konflik itu akan jadi internasional dan yang lebih ditakutkan lagi apabila konflik itu dibawa ke tempat wilayah-wilayah aman. Dalam konteks Singapura, ini yang dikhuatirkan," tambahnya.

Sengketa Israel-Palestin sudah berlanjutan sekian lama tanpa satu huraian saksama, dan sangat dekat di hati penganut Islam.

"Dalam konteks Palestin, mungkin kekerasan tentera Israel. Palestin apalagi itu ada Baitulmakdis, tempat ketiga paling suci dalam Islam setelah Makkah dan Madinah. Oleh itu membaca isu Palestin ini tidak hanya satu narasi sahaja. Ini adalah permasalahan bersifat penempatan, yang bersifat penempatan, bagaimana orang tanpa kewarganegaraan, orang yang tidak mempunyai negara."

CARA MASYARAKAT MELAYU/ISLAM DAPAT TANGANI ISU ISRAEL-PALESTIN

Oleh itu, bagaimanakah sebaiknya masyarakat Melayu/Islam Singapura mengambil iktibar dari perkembangan yang berlaku di sekelilingnya.

"Kita tahu Islam itu agama yang Rahmatan Lil Alamin, ia harus memberi rahmat, keselamatan kepada orang-orang di sekeliling. Dan untuk merespons peristiwa ini, umat Islam harus lebih berhati-hati, dalam mengkontekskan konflik yang berada di luar negara,  terutama misalnya di wilayah Palestin, di Iraq, di Syria, di Filipina Selatan," kata Dr Huda.

"Itu harus dibaca, tidak hanya dengan kacamata agama. Betul agama berperanan, itu adalah perpaduan umat Islam, tetapi ada banyak cara lain, salah satunya melalui organisasi yang sah, dan saya kira di Singapura banyak organisasi yang mendorong ke situ."

"Dan ini pesan buat umat Islam, mari kita jaga persatuan bersama-sama, kerana Singapura negara yang berbilang budaya, berbilang kaum, dan sebuah negara kecil yang tidak mampu untuk masyarakatnya saling curiga satu sama dengan yang lain," tambahnya.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan