Analisis: Gelombang jangkitan COVID-19 XBB - Apa nasihat pakar perubatan?
Dengan bertambahnya kes jangkitan berulang COVID-19, perlukah kita bimbang dengan lonjakan terbaru yang dilihat sekarang? Ini lebih-lebih lagi menjelang musim cuti akhir tahun, dengan meningkatnya perjalanan keluar negara setelah sempadan dibuka semula.
Ini lebih-lebih lagi menjelang musim cuti akhir tahun, dengan meningkatnya perjalanan keluar negara setelah sempadan dibuka semula.
Dr Norhisham Main, Ketua Jabatan bagi Jagaan Sokongan & Paliatif, Hospital Besar Ng Teng Fong menjelaskan bahawa gelombang sedemikian memang telah dijangkakan.
"Kita tahu bahawa virus ini akan berubah, semacam evolusinya yang semula jadi. Di mana ia ada mutasi. Kita tahu, lama-kelamaan, sesudah kita ada imuniti, ia akan berkurangan. Biarpun kita ada vaksinasi atau kita telah dijangkiti secara semulajadi. Dos penggalak ini membantu kita. Jadi vaksin bivalen ini penting, kerana ia membantu kita, membantu, kirakan menangani varian-varian terbaru akibat Omicron."
Program vaksinasi bivalen dipercepatkan sejak Jumaat lalu, dan sambutan orang ramai dilihat sebagai menggalakkan.
Bagi segelintir yang ragu-ragu sama ada perlu mengambil dos penggalak yang ditawarkan, beliau berkongsi pandangan berikut.
"Mungkin ada orang takut, ini vaksin baru lagi, adakah kesan sampingan yang lebih, mungkin ada isu-isu keselamatan. Pada masa sekarang, maklumat itu menunjukkan tidak ada. Ada pula berkata, apa gunanya, kita akan terkena. Yang penting kita tidak mahu jatuh sakit. Jadi, kalau boleh kita cuba tingkatkan imuniti kita dengan mendapatkan vaksin penggalak ini. Terutama sekali, mereka yang kita katakan risikonya tinggi, iaitu mereka yang sakit buah pinggang, barah, dan sebagainya."
TERUSKAN AMALAN KEBERSIHAN SEMASA PANDEMIK
Langkah pencegahan sedemikian kata Dr Norhisham dapat membantu, agar Pemerintah tidak perlu melaksanakan semula pelbagai sekatan COVID-19 yang telah ditarik balik secara berperingkat sejak setahun lalu.
Ini memandangkan purata jumlah jangkitan COVID-19 boleh mencecah sehingga 15,000 kes sehari, dan dijangka sampai ke kemuncaknya pada pertengahan November.
"Kita patut terus mencuci tangan dengan sebaik-baiknya dan juga gunakan cecair nyah kuman. Mungkin ada orang memang rasa rimas memakai pelitup, kerana mengganggu pernafasan kita. Tetapi kalau kita rasa macam tidak sihat, bagus kalau digunakan. Kalau kita pergi ke masjid kita bawa sejadah sendiri, itu penting, kerana dari segi kebersihan peribadi untuk diri kita. Banyak langkah yang telah dilonggarkan tapi ada tabiat-tabiat yg patut kita teruskan kerana baik untuk diri kita dan baik untuk orang di sekeliling kita."
Begitu juga dengan contohnya amalan 'Salam Mufti', yang mungkin ramai yang telah mula tinggalkan. Dr Norhisham galakkan agar ia diteruskan, terutama di majlis-majlis perkahwinan yang kini mula kembali sesak dengan para jemputan.
"Jangan kita jadi orang yang membantu penularan virus ini. Kita tidak perlu diberitahu Pemerintah tentang ini. Ia adalah tanggungjawab sendiri, dan tanggungjawab sosial yang mana kita mengambil berat diri kita dan rakan-rakan kita, keluarga kita. Kita tidak mahu angka meningkat lebih, nanti kembali kepada keadaan di mana ada langkah-langkah lebih berat, nanti ada orang yg tidak senang hati. Jadi kita kalau boleh tidak hendak kembali kepada keadaan itu."
BUAT PERSIAPAN TELITI RANCANG CUTI HUJUNG TAHUN
Jika gelombang terbaru COVID-19 tidak dapat segera dikawal, ia juga berpotensi menjejas pelbagai rancangan untuk bercuti di luar negara pada hujung tahun ini.
Dr Norhisham yang juga telah merancang untuk ke luar negara bersama keluarga, turut berkongsi panduan yang perlu diambil kira, sebelum berangkat.
"Kita periksa dengan negara yang kita hendak pergi, adakah kes sudah meningkat? Kalau meningkat, adakah sudah ada langkah-langkah baru? Duduk dalam hotel tidak boleh keluar. Kita juga patut melihat dari segi apa yang dinamakan vaksinasi perjalanan, di mana kita mendapatkan vaksinasi mengikut negara yang kita hendak pergi.
"Kalau boleh kita dapatkan suntikan penggalak, saya amat syorkankan. Jangan sampai di sana kita jatuh sakit nanti tidak boleh balik Singapura, masalah juga? Kita pun mesti melihat, kalau hendak melancong, adakah kita ingin dapatkan insurans perjalanan, kerana dengan insurans, kalau ada terkena pun, mungkin membantu kita dari segi kos pembiayaan untuk rawatan di negara lain."
Yang jelas, pelbagai usaha yang dilakukan Pemerintah bagi mengekang penularan COVID-19, harus ada kerjasama dan pelibatan setiap penduduk.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.