ANALISIS: Fikir panjang, mendalam sebelum putus kekal lama bekerja di sektor ekonomi gig
Pekerja sektor ekonomi gig seperti penghantar makanan atau pemandu kereta sewa privet dinasihatkan agar berfikir secara jangka panjang sebelum memutuskan untuk kekal lama dalam industri tersebut.

(Gambar: AirAsia)
BERITAmediacorp: Pekerja sektor ekonomi gig seperti penghantar makanan atau pemandu kereta sewa privet dinasihatkan agar berfikir secara jangka panjang sebelum memutuskan untuk kekal lama dalam industri tersebut.
Lebih-lebih lagi dengan unjuran ekonomi sejagat tahun ini yang lembab selain membawa kesan sosial sampingan.
Pandangan itu dikongsikan Zamil Penyelidik Institut Pengajian Dasar (IPS) Universiti Nasional Singapura (NUS) Dr Mohd Shamsuri Juhari kepada BERITAmediacorp pada Isnin (16 Jan).
Ia menyusuli perkongsian para pemimpin politik Melayu/Islam pemerintah tentang usaha menggalakkan lebih ramai pekerja platform mendapatkan pekerjaan lebih stabil.
Mulai hujung 2024, pekerja platform di bawah umur 30 tahun dikehendaki menyumbang kepada Akaun Biasa dan Khas Tabung Simpanan Pekerja (CPF).
Saranan itu adalah salah satu daripada 12 cadangan yang dkemukakan Jawatankuasa Penasihat bagi Pekerja Platform.
Usaha itu bertujuan untuk meningkatkan perlindungan pekerja platform.
Kewajiban pencaruman ke CPF bagaimanapun tidak bererti pekerjaan platform adalah mampan untuk jangka panjang, kongsi Dr Shamsuri.
Beliau menggalakkan pekerja platform supaya berfikir jangka panjang sekiranya ingin terus menjadi pekerja platform secara tetap.
"Memang gaji mereka cukup, boleh dikatakan lebih daripada cukup untuk keperluan seharian jadi mereka gembira juga. Apa yang kurang adalah simpanan untuk masa depan.
"Kalaulah satu hari nanti mereka jatuh sakit atau mereka yang masih bujang ingin berumah tangga di mana mereka harus membeli rumah sendiri. Itu saya rasa adalah masalah bagi kumpulan sedemikian," ujar beliau.
Tambahan lagi, terdapat kebimbangan yang semakin meningkat tentang gaji pekerja platform yang dibawa pulang akibat kewajiban CPF yang baru itu, menurut Dr Shamsuri.
Walaupun adanya pencaruman CPF dari syarikat-syarikat platform sebanyak 17 peratus, pekerja dikehendaki membuat caruman sendiri sebanyak 20 peratus daripada gaji mereka.
Menurut tinjauan Kementerian Tenaga Manusia (MOM), median pendapatan bulanan pekerja platform adalah sekitar S$1,000 hingga S$2,000, di bawah persentil ke-20 terbawah pekerja warga Singapura sepenuh masa pada 2021.
CABARAN MILIK RUMAH BERPOTENSI BAWA KESAN KE ATAS MASYARAKAT
Lantaran itu dengan tiada simpanan CPF sekarang serta gaji yang tidak menentu, persoalannya ialah sama ada pekerja platform benar-benar mampu memiliki rumah sendiri.
Di bawah Projek DIAN@Jalan Besar kelolaan M³ misalnya 60 peratus penyewa flat sewa di kawasan itu merupakan pekerja platform.
Dr Shamsuri berkata: "Kajian memang menunjukkan sebuah keluarga yang tinggal di perumahan seperti ini, di mana sekitaran dan suasananya tidak begitu stabil, tidak begitu selamat, tidak begitu ideal, ini akan menjadi sebagai halangan untuk keluarga itu membina keluarga sebaik mungkin.
"Bukan saya hendak katakan setiap keluarga yang tinggal dalam keadaan begitu tidak akan berjaya tetapi keadaan yang lebih sempurna saya rasa akan lebih memberi peluang untuk membina suatu keluarga yang berjaya."
Lebih membimbangkan lagi, kata Dr Shamsuri ialah jumlah anggota masyarakat Melayu/Islam lebih tinggi yang bekerja sebagai pekerja platform berbanding kaum lain.
Secara tidak langsung, trend tersebut berpotensi menghambat kemajuan masyarakat Melayu/Islam sendiri.
"Disebabkan lebih ramai daripada masyarakat Melayu yang bekerja sebagai pekerja platform jadi kesan keseluruhannya akan lebih dihadapi masyarakat Melayu.
"Ini akan menyebabkan masyarakat Melayu lebih terganggu dari segi kemajuannya sebagai suatu masyarakat," jelas beliau.
JANGAN LABEL MEREKA 'KAIS PAGI MAKAN PAGI'
Namun begitu, Dr Shamsuri menekankan ini tidak bermakna mereka yang memilih untuk menjadi pekerja platform harus dilabel mempunyai pemikiran "kais pagi makan pagi".
Ini kerana profil pekerja platform amat pelbagai sekali dan Dr Shamsuri menambah ada juga yang terpaksa memilih haluan sebegitu.
"Antara mereka adalah yang hilang pekerjaan. Jadi semasa mencari pekerjaan tetap, ini adalah satu-satunya cara untuk mereka mencari mata pencarian buat sementara. Ada juga mereka yang berada di satu situasi, mengikut kajian saya, di mana mereka harus mencari mata pencarian melalui pekerjaan yang lebih fleksibel.
"Sebabnya mereka harus menjaga anak kecil sebab tidak ada orang lain atau mereka menjaga ahli keluarga mereka yang berpenyakit kronik. Jadi mereka beritahu juga saya yang bukannya pilihan yang mereka suka tapi itu adalah pilihan yang sesuai," kata Dr Shamsuri.
Jelas, usaha para pemimpin politik Melayu/Islam Singapura untuk menggalakkan pekerja platform bertukar kerjaya tidak harus bertepuk sebelah tangan.
Selain usaha berterusan seperti Projek DIAN yang bertujuan memperkasakan penyewa flat untuk mampu memiliki flat sendiri, golongan pekerja paltform sendiri perlu lebih peka kepada inisiatif-inisiatif sedia ada agar dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.