Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ANALISIS: Dengan COVID-19 kini di fasa endemik, bolehkah jemaah haji 2023 tarik nafas lega?

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: 8 Jun nanti, kumpulan pertama jemaah haji Singapura akan mula berangkat ke Arab Saudi.

Ini adalah musim haji yang pertama sejak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan bahawa COVID-19 bukan lagi satu darurat kesihatan global.

Adakah ini bermakna, para jemaah haji tidak lagi perlu terlalu bimbang tentang penularan COVID-19?

Ini walaupun lebih dua juta umat Islam dari pelbagai pelusuk dunia bakal berkumpul di tanah suci untuk ibadah haji kali ini.

Dr Ammar Angullia, Pengarah ST&T International yang menawarkan perlindungan insurans kepada semua jemaah haji Singapura, telah sempat berkongsi pandangan beliau bersama BERITAmediacorp.

"Kita sudah dalam fasa endemik, kebanyakan negara, dan juga termasuk Singapura. Tetapi COVID-19 itu tetap ada. Dan pada tahun ini, musim haji ini, lebih dari 60 peratus dari jemaah kita berusia lebih lanjut, lebih dari 60 tahun ke atas. Kebanyakan mereka ada keadaan kesihatan yang kronik, seperti kencing manis, darah tinggi. Nasihat kami, amalkan tanggungjawab peribadi untuk menjaga diri sendiri, itu satu, jikalau jemaah berada di Arab Saudi. Gunakan pelitup muka, basuhkan tangan, jikalau jemaah sakit jangan keluar bilik hotel, jumpa doktor. Inilah antara amalan yang kita ingin terapkan untuk jemaah-jemaah kita."

BUKAN VIRUS COVID-19 SAHAJA YANG PERLU DIWASPADI

Tambah Dr Ammar, selain COVID-19, para jemaah haji juga dinasihatkan agar berwaspada terhadap penularan penyakit-penyakit lain yang mudah berjangkit semasa keadaan sesak.

"Covid memang topik hangat, walaupun sudah masuk fasa endemik. Covid adalah satu virus, ada virus-virus yg lain, termasuk virus influenza, dan juga MERS CoV. Dari situ saya ingin mengambil peluang ini untuk mengingatkan jemaah yang saya hormati dan sayangi, supaya ambil vaksin anda. Vaksinasi dari segi meningococcal, vaksinasi dari segi influenza, dan juga untuk jemaah yang berusia 65 tahun ke atas, mengambil vaksin pneumococcal juga."

UNTUK MUSIM HAJI 2023, MUIS KIRIM PASUKAN PERUBATANNYA YANG TERBESAR SEJAK 2019

Para jemaah juga boleh menarik nafas lega kerana pihak MUIS dan Persatuan Ejen-ejen Pelancongan Islam Singapura (AMTAS), sudah membuat persiapan lengkap bagi menjaga kesejahteraan para jemaah.

Untuk musim haji 2023, MUIS mengirimkan pasukan perubatan yang terbesar sejak 2019, iaitu seramai 19 pegawai termasuk para doktor.

Semua jemaah juga diberikan perlindungan insurans menyeluruh secara automatik yang diselenggarakan syarikat ST&T.

"Kita bekerjasama dengan MUIS & agensi pelancongan yang akan bersama jemaah-jemaah haji pada musim ini. Jikalau jemaah tersebut ada kesulitan perubatan, di mana mereka perlu membuat ujuan darah, atau mengambil x-ray di dada, mereka boleh pergi ke rumah sakit atau hospital serta pusat perubatan di mana ST&T lakukan kerjasama. Mereka tidak perlu bayar wang pendahuluan untuk mendapatkan rawatan mereka. Jadi, dengan tidak perlu bayaran tunai dan juga lindungan penyakit sedia ada, Insya Allah dapat kurangkan beban semua jemaah haji tahun ini, musim 2023. Dan bukan sahaja kita memberi perlindungan perubatan, kita juga memberi pelindungan kesulitan perjalanan, penerbangan atau 'travel inconvenience'."

Demikian perincian yang dikongsi Dr Ammar kepada BERITAmediacorp.

SEJAK TAHUN LALU, PAKEJ INSURANS ST&T UNTUK JEMAAH TURUT BERI PERLINDUNGAN KHAS BAGI COVID-19

Sudah lebih sedekad ST&T International menyediakan perlindungan insurans kepada para jemaah haji Singapura.

Sejak tahun lalu, mereka turut menyediakan perlindungan insurans tambahan khusus untuk COVID-19, kata Dr Ammar.

"Kita juga ada perlindungan COVID-19 yang tersendiri. Jika jemaah mendapat kesulitan dari segi jangkitan COVID-19 dan perlu mendapat rawatan di hospital, kita bekerjasama melibatkan pelbagai pihak, dengan agensi pelancongan atau GSA dan juga kumpulan perubatan dari MUIS. Jadi anda dapat lihat, di fasa yang berbeza, IsyaAllah ada orang yang menjaga sebagai pasukan berbilang pihak."

SEKTOR PERUBATAN SAUDI SIAP SEDIA TERIMA KETIBAAN JEMAAH HAJI

Bagaimana kira-kira persediaan serta kelengkapan perubatan di Arab Saudi dalam menangani lebih dua juta jemaah haji nanti?

Dr Ammar berkongsi pengalaman berpuluh tahun berurusan dengan institusi-institusi perubatan di tanah suci.

"Mereka juga bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan di Arab Saudi, dan Alhamdulillah apa yang saya lihat semasa bekerjasama erat dengan rakan kongsi hospital kami, adalah mereka sangat teruja dan juga mereka bekerja tungkus-lumus, untuk memastikan bahawa mereka dapat memberi yang terbaik dari segi khidmat dan rawatan perubatan mereka untuk jemaah-jemaah SG dan juga jemaah lain dari seluruh dunia. Ini termasuk dari segi tahap profesionalisme mereka, dari segi peralatan yang canggih."

Sebagai rumusan, Dr Ammar menzahirkan keyakinan, jika semua persiapan berjalan lancar dan para jemaah mengekalkan tahap kewaspadaan yang tinggi, semua urusan bagi rukun Islam yang ke lima ini akan berjalan dengan licin dan selamat.

"Kita ingin jemaah kita menunaikan haji dalam keadaan sihat, kerana jikalau mereka tidak berjaga-jaga, nauzubillah dapat kesulitan perubatan yang meruncing, mereka tidak dapat pergi ke ke masjid untuk menunaikan ibadah mereka. Mereka juga tidak dapat mengunjungi tempat-tempat ziarah di Arab Saudi. Jadi kita ingin pastikan supaya jemaah sentiasa berada dalam keadaan yang baik supaya mereka dapat beribadah dengan tenang."
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan