Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ANALISIS: Apakah iktibar boleh dipelajari daripada Ramadan?

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Kembalinya bazar-bazar Hari Raya di merata negara, peluang dapat bertarawih di kolong blok dan kunjung mengunjung seperti dahulu.

Tidak dapat dinafikan sambutan ketibaan bulan Ramadan dan Syawal tahun ini lebih meriah selepas terjejas dek pandemik COVID-19, tiga tahun berturut-turut.

Namun begitu, pengalaman tahun ini juga membawa cabaran yang tersendiri termasuk dari sudut ekonomi, kesihatan serta sosial. 

BERITAmediacorp mendapatkan pandangan Zamil Kanan ISEAS-Institut Yusof Ishak Dr Norshahril Saat.

KEKELIRUAN PADA PERMULAAN RAMADAN

Dari sudut sosial, masyarakat berdepan dengan kekeliruan pada permulaan Ramadan berhubung solat tarawih anjuran kumpulan-kumpulan Qaryah tempatan.

Ini selepas MUIS pada awalnya tidak membenarkan sesi tarawih di kolong blok tetapi keputusan berkenaan kemudian ditarik balik semula.

"Kita ada institusi masjid dan secara idealnya tentu sekali kita mahukan masyarakat kita memenuhi ruang-ruang di masjid kerana ia lebih berkesan dari segi komunikasi, dari segi ukhuwahnya dari aspek Islamnya juga ada fungsi-fungsi tersendiri. 

"Tapi kalau kita faham bahawa dari segi bagaimana qaryah-qaryah ini memainkan peranan juga, mendekati masyarakat di akar umbi misalnya bagi golongan-golongan yang mungkin lebih mapan, yang tidak mempunyai keupayaan untuk jalan ke masjid dan sebagainya," jelas Dr Norshahril.

Beliau menambah satu iktibar yang boleh dipelajari daripada perkara berkenaan adalah komunikasi yang lebih berkesan oleh pihak berkuasa.

Ini selain mendapatkan kedua-dua pihak terlibat dalam perbincangan untuk mencari satu jalan tengah yang menguntungkan semua pihak.

ISTILAH BAZAR RAMADAN

Sejurus selepas itu pula, isu-isu sosial lain berhubung bazar Hari Raya di beberapa kawasan mula timbul.

Sebagai contoh, harga sewa paling tinggi di bazar Geylang Serai tahun ini dilaporkan $19,000.

Meskipun bukan yang paling tinggi dalam sejarah, beban kenaikan kos lazimnya dialihkan kepada para pelanggan.

Dr Norshahril berkata: "Saya fikir bahawa kita juga perlu lihat bahawa bazar itu dari segi istilahnya juga itu harus memenuhi kuasa pasaran. Ada mungkin perniagaan yang lebih maju ada yang mungkin tidak semaju yang lain. 

"Ini adalah kuasa pasaran dan sebenarnya tiada solusi ataupun tiada apa-apa yang boleh dilakukan. Itu terpulang kepada kuasa tersendiri."

Dr Norshahril sebaliknya menyarankan agar pada masa hadapan mungkin ada satu usaha maklum balas daripada masyarakat tentang konsep bazar yang diinginkan.

Dr Norshahril memberi contoh wajarkah sebuah bazar berskala besar diadakan atau sekadar menganjurkan satu bazar saja atau mengadakan lebih banyak bazar kecil di merata negara.

Selain itu, ada juga isu penjualan makanan tidak halal di Bazar Raya Utara.

"Mungkin isunya adalah istilah Ramadan kerana kita tahu Ramadan itu sangat dekat dengan orang Islam. Kalau di bazar-bazar yang biasa mungkin tiada sensitiviti. Sebenarnya ada pelbagai interpretasi tentang apakah itu bazar Ramadan sebenarnya.

"Ada yang menggunakan bazar Ramadan ini untuk memenuhi keperluan persiapan untuk Aidilfitri. Ada pula yang lihat bazar Ramdan ini sebagai satu mungkin wadah untuk mereka membeli makanan untuk berbuka puasa dan sebagainya. Ada pula yang suka kerana suasananya yang berikan semacam keceriaan dan sebagainya jadi ada pelbagai interpretasi. Jadi saya fikir dari sudut pihak penganjur mereka cuba sedaya-upaya untuk memenuhi keperluan-keperluan yang berbeza ini," kata Dr Norshahril.

CABARAN INFLASI DAN COVID-19

Menjelang Syawal pula, muncul dua cabaran besar yang berpotensi memalapkan sinaran Lebaran iaitu gelombang jangkitan COVID-19 dan harga bahan mentah yang naik sehingga 30 peratus.

Dr Norshahril menarik perhatian bahawa dua isu itu amatlah penting untuk ditangani kerana ia juga merupakan cabaran yang dihadapi masyarakat secara am dan di seluruh dunia.

"Kita sedang berada dalam situasi yang tidak menentu justeru mungkin kita harus fikirkan apakah matlamat utama, misi utama Hari Raya Aidilfitri.

"Kalau kita banyak sekali berbincang semasa di bulan Ramadan apakah aspek keagamaan, kerohanian tapi dari segi aspek prinsipnya, prinsip keadilannya, kesamarataannya, tidak membazir dan sebagainya, isu-isu ini perlu diterapkan," ujar beliau.

TARIKH 1 SYAWAL, PERLU TEMPAH SLOT

Dr Norshahril juga menegaskan peri pentingnya sifat persefahaman antara satu sama lain jika masyarakat Muslim ingin maju ke hadapan.

Ini menyusuli perbahasan dalam wadah online tentang bilakah jatuhnya 1 Syawal serta mempersoalkan pihak berkuasa mengapa perlu membuat tempahan slot bagi ruang solat di masjid.

Dr Norshahril memberi contoh bagaimana di negara-negara lain sikap saling memahami dan menghormati digunakan bagi menghuraikan sengketa sedemikian.

Beliau menambah di Indonesia sendiri tarikh Hari Raya kerap berbeza dalam kalangan masyarakat Muslim negara itu sendiri tetapi mereka belajar untuk menghormati keputusan masing-masing.

Di Arab Saudi pula, platform online masih digunakan bagi tempahan slot umrah jika ruang bagi ibadah itu diramalkan bakal sesak dengan jemaah.

Beliau berkata: "Kadang saya fikir isu-isu yang dibangkitkan di media sosial ini kadang-kadang ada golongan-golongan yang bertelagah dan sebagainya mereka perlu memahami pendirian masing-masing dan tidak seharusnya bersikap defensif. 

"Saya fikir kedua-dua golongan masyarakat dan juga pihak berkuasa atau pihak penganjur baik bazar Ramadan, baik ruang-ruang ibadah di masjid mereka berniat yang baik dan mereka ada dasar-dasar mereka yang tersendiri kadang-kadang dari segi komunikasi itu mungkin kurang efektif atau kurang berkesan."

Lantaran itu, jika Ramadan dan Syawal COVID tiga tahun sebelum ini mengajar kita tentang pentingnya ikatan sesama insan, Dr Norshahril percaya tahun ini pula membawa iktibar dari sudut komunikasi serta saling menghormati pandangan yang berbeza-beza.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan