Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ANALISIS: Adakah melakukan ibadah korban di luar negara satu norma baru?

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Pemantauan Jawatankuasa SalamSG Korban sejak beberapa tahun kebelakangan ini mendapati jumlah anggota masyarakat Islam di Singapura yang melakukan ibadah korban di luar negara kian meningkat.

Jawatankuasa yang melibatkan masjid-masjid setempat itu juga mendapati para sohibul korban tempatan juga memilih agar daging korban di luar negara, dibawa masuk ke Singapura untuk diagihkan kepada para penerima di sini.

Itulah yang menjadi antara faktor mengapa SalamSG Korban memilih untuk melaksanakan model korban di luar negara sebelum menerbangkan daging-daging korban dibekukan ke Singapura.

Pengerusi SalamSG Korban Ustaz Khairul Anwar Mohamed Aznan berkongsi demikian bersama BERITAmediacorp pada Isnin (22 Mei).

MASJID SEDANG LASANAKAN PROSES PEMIKIRAN & PEMBELAJARAN SEMULA

Beliau menambah bahawa masjid-masjid tempatan juga sedang melaksanakan proses pemikiran dan pembelajaran semula

Ini demi meningkatkan lagi fungsi utama serta opersi pihak masjid agar dapat menawarkan khidmat lebih baik kepada masyarakat Islam di Singapura.

Ustaz Khairul menjelaskan proses itu turut melibatkan penggunaan ruang selain khidmat seperti solat Hari Raya dan ibadah korban boleh dipertingkatkan lagi.

"Jadi ekoran daripada usaha semakan ini, pihak masjid mendapati bahawa model korban luar negara yang ditawarkan kini model yang lebih baik dan sesuai buat masa kini.

"Sejak pandemik juga masjid-masjid telahpun melaksanakan ibadah korban di luar negara dan kita dapati hal ini tidak sedikit pun mengurangkan nilai ibadah korban tersebut di mana haiwan korban yang dikorbankan di luar negara diterbangkan semula ke Singapura dan dagingnya masih dapat dikongsikan bersama dengan keluarga dan golongan yang berkeperluan," ujarnya.

BANYAK PILIHAN LAIN DITAWARKAN

Ustaz Khairul menambah masih ada lagi banyak wadah dalam pasaran yang boleh dimanfaatkan para sohibul korban.

Beliau merujuk kepada syarikat-syarikat swasta serta badan-badan bertauliah yang menawarkan ibadah korban fizikal di Singapura mahupun ibadah korban lain yang juga dijalankan di luar negara.

Lantaran itu, Ustaz Khairul mengajak masyarakat Islam setempat agar sama-sama memanfaatkan tujuan sebenar ibadah korban itu.

Beliau berkata: "Ibadah korban ini adalah ibadah yang mana agama kita mengingatkan bahawa ia bukan berkenaan di mana kita lakukan korban tersebut tetapi satunya untuk menunjukkan rasa kesyukuran kita kepada Allah dan kemudian untuk melakukan kebaikan supaya hasil daripada korban tersebut dapat dinikmati oleh orang-orang yang memerlukan. 

"Jadi tidak kisah di mana kita lakukan korban, keberkatannya tetap sama."

ADAKAH INI SATU NORMA BARU?

Keputusan SalamSg Korban itu bagaimanapun menimbulkan juga satu persoalan.

Adakah ibadah korban di Singapura tidak akan sama lagi seperti dahulu yang mana penyembelihan haiwan korban dilakukan secara fizikal di merata masjid di sini?

Mentelah lagi, teradapat segenap masyarakat Islam yang mengharapkan ibadah korban secara fizikal di Singapura dapat diadakan semula sedang negara kini berada dalam fasa endemik.

"Pasukan SalamSG Korban akan terus melakukan tinjauan untuk menambah baik operasi ibadah korban dan bagaimana ibadah korban itu akan terus dilaksanakan. Apa yang boleh kita katakan di sini adalah walaupun operasi korban ini agak berbeza daripada tahun-tahun sebelum COVID-19 namun kami merasakan ia tidak mengurangkan semangat dan juga nilai-nilai yang ditonjolkan pada setiap kali masuknya musim korban.

"Para jemaah tetap boleh datang ke masjid untuk membuat tempahan. Para sukarelawan terus menyumbang masa dan tenaga untuk membungkus dan menghantar daging-daging korban yang diterbangkan kepada para penerima. Semangat kebersamaan, ihsan dan memberi ini berterusan di masjid-masjid kita," kata Ustaz Khairul.

52 masjid setempat sudahpun membuka pendaftaran bagi ibadah korban kendalian SalamSG Korban sehingga bulan depan, tertakluk kepada bekalan kambing.
Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan