Analisis: Adakah denda cara berkesan tangani gangguan kereta api?
Pengendali pengangkutan awam SMRT berdepan denda sebanyak S$3 juta berikutan insiden besar yang berlaku di Laluan Timur-Barat pada tahun lalu.

Kereta api MRT yang rosak ditunda pada 26 September 2024. (Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)
Namun menurut pakar yang ditemui Mediacorp, dalam konteks Singapura, adalah lebih penting untuk meneliti semula hubungan antara pengendali pengangkutan dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Sebagai contoh, satu persoalan yang perlu ditimbulkan adalah siapa yang sepatutnya bertanggungjawab dalam membuat keputusan berkaitan keseimbangan antara kebolehpercayaan dan keberkesanan kos, kata seorang pemerhati.
Komen-komen tersebut dibuat menyusuli laporan yang dikeluarkan LTA dan Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan (TSIB) pada Selasa (3 Jun) yang memperincikan faktor-faktor penyumbang kepada gangguan selama enam hari pada September 2024.
Antara faktornya termasuk jadual penyenggaraan bagi kereta api terlibat yang dilanjutkan menjangkaui selang masa yang ditetapkan.
“Saya rasa yang lebih penting bukanlah dendanya, tetapi apa yang akan dilakukan oleh SMRT dan juga LTA untuk melaksanakan penambahbaikan dalam proses menilai keputusan penyenggaraan serta memantau kebolehpercayaan,” kata Profesor Madya Walter Theseira dari Sekolah Perniagaan Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS).
Kata beliau, tambang pengangkutan dan dana awam digunakan untuk menjalankan operasi kereta api di Singapura, maka “ia bukan sesuatu yang salah” untuk mencari kaedah penyelenggaraan yang lebih menjimatkan.
“Tetapi mungkin perlu ada lebih pengawasan dan kerjasama antara pengendali dan LTA dalam membuat keputusan-keputusan ini,” katanya.
Pihak berkuasa pada Selasa menyatakan bahawa sejak insiden September lalu, mereka telah mempertingkat pengawasan terhadap aspek-aspek seperti prosedur dalaman pengendali dalam melaraskan jadual penyelenggaraan.
Prof Madya Theseira turut menambah bahawa beliau tidak berpendapat bahawa pengurusan pengendali terdorong untuk mengelak daripada dikenakan denda semata-mata.
Dalam menentukan jumlah denda, LTA mengambil kira kos yang ditanggung SMRT bagi kerja pembaikan serta penyediaan perkhidmatan bas penghubung percuma, bas biasa, dan kereta api ulang-alik. Jumlah tersebut mencecah lebih S$10 juta.
Dianggarkan 500,000 daripada 2.8 juta perjalanan kereta api harian terjejas setiap hari sepanjang tempoh gangguan. Perkhidmatan yang terjejas melibatkan sembilan stesen dari Boon Lay ke Queenstown.
Profesor Madya Raymond Ong, penyelidik infrastruktur pengangkutan dari Universiti Nasional Singapura (NUS), berkata denda S$3 juta adalah wajar berdasarkan jumlah stesen yang terjejas.
Beliau turut merujuk kepada denda lebih besar yang pernah dikenakan bagi insiden pada 2015 yang melumpuhkan keseluruhan Laluan Utara-Selatan dan Timur-Barat selama beberapa jam.
Usaha yang dilakukan untuk memulihkan perkhidmatan dengan cepat dan selamat sambil mengurangkan gangguan kepada penumpang merupakan faktor mitigasi yang penting, katanya.
Menurut Prof Madya Ong, denda adalah “alat yang logik dan mudah digunakan”, namun menegaskan adalah lebih penting bagi pengendali dan pengawal selia untuk belajar daripada sesuatu insiden dan menambah baik sistem penyenggaraannya.
Sementara itu, pakar kejuruteraan elektrik Teo Chor Kok berkata denda itu sepatutnya lebih tinggi memandangkan terdapat beberapa kegagalan, walaupun beliau mengakui hukuman dalam bentuk kewangan jarang membawa kepada perubahan yang berkesan.
Sambil menyatakan bahawa selang masa pembaikan menyeluruh yang ditetapkan bagi kereta api adalah 500,000 km, beliau mempersoalkan keputusan SMRT untuk meningkatkan selang masa tersebut sebanyak dua kali sehingga mencecah 750,000 km, sebulan sebelum gangguan terjadi.
Pembaikan menyeluruh merujuk kepada pembongkaran dan pembinaan semula sepenuhnya untuk memulihkan kereta api kepada keadaan "seakan-akan baharu".
Menjelang gangguan tersebut, kereta api berkenaan telah merekodkan jarak perjalanan sejauh 690,000 km sejak pembaikan menyeluruh terakhirnya pada 2018.
“Kita boleh benarkan (satu) ralat kejuruteraan sekitar 10 peratus, tetapi 690,000 km adalah satu kegagalan pengurusan (yang ketara),” kata Encik Teo.
Tahap kerosakan pada landasan – 46 keretakan pada landasan sepanjang 2.55 km – menunjukkan bahawa pengendali tidak menghentikan kereta api walaupun ada sesuatu yang tidak kena, tambahnya.
TSIB dalam laporannya menyatakan bahawa hal tersebut berlaku kerana kakitangan menyangka amaran suhu tinggi adalah tidak benar, disebabkan ralat sistem yang gagal mengesan kereta api mana yang mengalami masalah.
Mediacorp turut bertanya kepada pakar sama ada Singapura boleh mempertimbangkan pendekatan yang diambil Hong Kong, di mana pengendali kereta api diminta memberikan konsesi tambang sebanyak 50 peratus kepada penumpang selama sehari selepas tiga gangguan perkhidmatan berlaku tahun ini. Jumlah itu dikenakan disamping denda HK$19.2 juta (S$3.2 juta).
Prof Madya Theseira menjelaskan bahawa denda S$3 juta yang dikenakan terhadap SMRT boleh digunakan untuk menyediakan konsesi secara menyeluruh, namun dalam kes Singapura, LTA telah mengumumkan bahawa dana itu akan digunakan untuk membantu penumpang yang memerlukan.
Beliau turut menambah bahawa di Singapura, hasil kutipan tambang semata-mata tidak mencukupi untuk menampung kos operasi dan penyenggaraan bagi pengendali pengangkutan awam.
“Jika kita mengurangkan hasil tambang mereka secara langsung, ini hanya akan menyebabkan keperluan untuk pembiayaan awam yang lebih besar bagi memastikan operasi kekal mampan,” katanya.
Inilah sebabnya, menurut Prof Madya Theseira, cadangan untuk menurunkan atau membekukan tambang tidak memberi kesan “menghukum” kepada pihak pengendali.
“Akhirnya, subsidi awam tetap diperlukan. Jadi, yang dihukum sebenarnya adalah pembayar cukai.”
REJIM PEMBAIKAN MENYELURUH
Profesor Madya Theseira berkata penemuan mengenai punca gangguan menunjukkan kegagalan memahami sepenuhnya risiko apabila rejim penyelenggaraan dan pembaikan menyeluruh bagi kotak gandar kereta api diubah.
Salah satu kotak tersebut gagal berfungsi dan tercabut dari kereta api sebelum terjatuh ke atas landasan.
LTA memberi kelonggaran kepada pengendali untuk membuat pelarasan berdasarkan pengalaman operasi dan analisis kejuruteraan, kerana keadaan operasi berbeza, dan cadangan pengeluar mungkin tidak semestinya bersesuaian, katanya.
Profesor Madya Ong menyatakan bahawa insiden tersebut berlaku ketika SMRT sedang menjalankan pembaikan menyeluruh bagi kereta api generasi pertamanya.
“Ia sesuatu yang malang … kerana proses pembaikan sedang berlangsung, dan keretaa api lain juga sedang menunggu giliran.”
Presiden SMRT Trains, Lam Sheau Kai, berkata pada Selasa bahawa rejim pembaikan menyeluruh syarikat berkenaan berfungsi dengan baik sepanjang 38 tahun yang lalu.
“Apa yang mungkin mengejutkan kami kali ini ialah gabungan beberapa faktor – kelewatan penghantaran kereta api baharu akibat COVID-19, usaha kami untuk mengimbangi dan melaraskan jadual pembaikan, serta kelewatan menerima alat ganti kritikal.”
Beliau menambah bagi kejadian "luar jangkaan seperti pandemik COVID-19", ia adalah penting bagi SMRT dan LTA secara bersama-sama untuk “menilai semula secara kolektif”.
LTA sebelum ini menyatakan bahawa pada masa hadapan, semua pengendali landasan perlu memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya ingin melanjutkan selang masa bagi pembaikan menyeluruh.
Profesor Madya Theseira berkata LTA mungkin berada dalam kedudukan lebih baik untuk mempersoal dan memantau keputusan SMRT berkaitan jadual penyelenggaraan, walaupun beliau mengakui hubungan itu kompleks – kerana pengendali perlu mengekalkan kebolehpercayaan dan pada masa yang sama menjimatkan kos.
Menurutnya, walaupun pengendali dijangka mengurus kos dengan cekap, mungkin LTA mempunyai kepakaran dan tanggungjawab yang lebih untuk membuat keputusan bersama SMRT.
“Kita perlu lihat sama ada terdapat komunikasi terbuka antara pengendali dan LTA berkenaan kekangan operasi akibat kekurangan bekalan semasa pandemik dan keperluan untuk terus mengendalikan kereta api KHI generasi pertama,” katanya.
Jika SMRT memendekkan selang masa pembaikan menyeluruh bagi kotak gandar yang rosak itu, insiden berkenaan mungkin dapat dielakkan – tetapi langkah itu akan melibatkan kos, bukan hanya dari segi kewangan, kata Prof Madya Theseira.
Jumlah kereta api yang tersedia akan menjadi lebih rendah ekoran penyelenggaraan yang dijalankan. Ini bermakna kapasiti kereta api semasa waktu puncak juga akan berkurangan.
“Keputusan yang boleh mengelakkan insiden ini juga akan membawa kesannya yang tersendiri, yang turut menjejaskan orang ramai,” katanya.
“Akhirnya, seseorang perlu membuat keputusan sedemikian – persoalannya adalah siapa yang patut membuat keputusan sebagaimana, dan mengapa.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.