Anaknya mengalami Sindrom Asperger, tapi dituduh ‘gila’, ‘dajjal’. Apa itu Sindrom Asperger?
“Saya hanya ada dua kawan…tapi kadangkala mereka tidak mahu berkawan dengan saya. Saya tidak tahu mengapa,” kata Aryan sambil menundukkan kepalanya. Walaupun Aryan tidak mengungkapkan lebih banyak, gerak-gerinya sudah cukup meluahkan isi hatinya.
BERITAMediacorp: Bayangkan betapa pilu dan pedihnya hati seorang ibu bernama Cik Zuraida Kamis, apabila anaknya dipanggil ‘gila’, ‘tidak betul’ malah ‘dajjal’ oleh masyarakat. Tanpa sebarang usul periksa terlebih dahulu, masyarakat umum nampaknya cepat menilai dan menghukum.
Hal sedemikian lazimnya berlaku kepada anaknya, Aryan, dan kanak-kanak senasib dengannya yang mengalami Sindrom Asperger. Pada zahirnya, mereka yang mengalami sindrom tersebut kelihatan biasa seperti kanak-kanak lain kerana tiada tandanya dari aspek fizikal.
Tetapi mereka sebenarnya tergolong sebagai ‘anak istimewa’ seperti juga mereka yang mengalami autisme.
Namun berbanding kanak-kanak dengan Sindrom Down atau autisme lazim, simptom kanak-kanak yang mengalami Sindrom Asperger tidak begitu ketara, lantaran itu mereka selalu disalah faham oleh masyarakat.

APA ITU SEBENARNYA SINDROM ASPERGER?
Sindrom Asperger adalah gangguan neurobiologi di hujung spektrum Autisme.
Menurut Dr Lam Chee Meng, Ketua Perunding Autisme dan ahli psikologi, seseorang yang mengalami Sindrom Asperger menghadapi dua jenis cabaran.
Antaranya adalah, kesukaran berinteraksi dan berkomunikasi, serta ada masalah deria dan fleksibiliti. Misalnya kata Dr Lam, mereka yang mengalaminya “tidak tahu cara bagaimana untuk bergaul dengan betul”.
Menurut Cik Zuraida, ketika Aryan berusia beberapa tahun, beliau mendapati bahawa anaknya Aryan berkelakuan sangat berbeza berbanding abangnya. Sebagai contoh, dia suka menyusun mainan mengikut caranya sendiri. Misalnya jika ada sesiapa yang terpijak atau tertendang mainannya itu, dia akan naik berang. Selain itu, dia boleh melakukan sesuatu berulang-ulang buat masa yang lama.

“Setiap hari Aryan dihantar ke sekolah tadika, dia tidak akan berhenti menangis dan mahu mencari kunci untuk pulang ke rumah. Dia juga tidak duduk diam semasa dalam kelas,” cerita Cik Zuraida kepada BERITAMediacorp.
Beliau akhirnya merujukkan Aryan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (KKH) untuk menjalani beberapa ujian. Hasil ujian mengesahkan bahawa dia sebenarnya mengalami Sindrom Asperger.
SIFAT ‘TERLALU JUJUR’ PENGHIDAP SINDROM ASPERGER
Salah satu sifat seseorang yang mengalami Sindrom Asperger ialah kejujurannya yang tidak beralas dan sukar diterima oleh masyarakat. Golongan yang mengalami sindrom ini benar-benar tidak sedar bahawa sikap yang terlalu jujur boleh menyinggung perasaan orang lain.
Menurut Cik Zuraida, semasa salah satu sambutan hari jadinya, Aryan pernah mempersoalkan kehadiran seorang kanak-kanak lain dan dengan jujur memberitahu bahawa dia tidak diundang oleh Aryan sendiri. (Kanak-kanak itu diundang oleh ibu Aryan sebenarnya). Sikapnya yang terlalu jujur itu mengakibatkan orang lain bertanggapan bahawa Aryan ‘kurang ajar’, walhal dia langsung tidak berniat sedemikian. Sekadar menyatakan fakta tanpa niat buruk.
Selain itu, Cik Zuraida mendedahkan bahawa Aryan juga mempunyai kelemahan memahami perasaan orang-orang di sekelilingnya. Beliau memberi contoh bahawa Aryan pernah ketawa terbahak-bahak ketika mereka sekeluarga menziarahi abang iparnya yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Pada masa itu, semua orang dalam kesedihan, kecuali Aryan. Aryan hanya sedar akan kesilapannya setelah ditegur oleh ayahnya.
Aryan kini berusia 10 tahun. Semasa BERITAMediacorp bertanyakan kepada Aryan sendiri mengenai rakan-rakannya di sekolah, jawapan yang diberikannya boleh meruntun hati anda.

Itulah antara stigma masyarakat terhadap Aryan, selain dipinggirkan oleh orang sekelilingnya. Ibu manalah yang tidak terasa hati jika anaknya disalah sangka. Sepanjang wawancara dengan BERITAMediacorp, Cik Zuraida beberapa kali cuba menahan sebak.
KELEBIHAN ANAK-ANAK SINDROM ASPERGER
Di sebalik kelemahan tersebut, sebenarnya ada juga kelebihan istimewa pada diri mereka yang mengalami Sindrom Asperger.
"Pacaindera mereka terlalu sensitif sehinggakan mereka berkelakuan ‘pelik’ pada pandangan masyarakat,” kongsi Dr Lam kepada BERITAMediacorp. “Contohnya, mereka boleh mendengar bunyi hawa dingin atau kipas dengan jelas sekali, meskipun orang biasa tidak begitu boleh mendengarnya.”

“Sebagai contoh, baru-baru ini kami sekeluarga pergi bercuti ke Jepun. Kami menggunakan alat GPS untuk berjalan-jalan tetapi kami sesat apabila kita mahu pulang ke rumah. Yang lucu sekali, Aryan yang berusia 10 tahun pula yang mengarahkan tempat penginapan kami, dan ternyata dia betul,” beritahu Cik Zuraida kepada BERITAMediacorp sambil tertawa.
ASPERGER TIDAK SETERUK AUTISME, TAPI…
Namun demikian, Cik Zuraida tidak bersembunyi untuk menceritakan tekanan dalaman yang dialaminya.

Aryan bersama ibu bapanya dan abangnya. (Gambar: Cik Zuraida Kamis)
Dr Lam menegaskan bahawa kesan Sindrom Asperger tidak begitu ketara berbanding autisme, meskipun demikian, penting untuk ia dikenal pasti seawal mungkin, supaya ibu bapa dapat lebih memahami anak mereka dan memberi pertolongan yang sewajarnya seperti, menjalani sesi terapi.
Bagi Cik Zuraida, beliau memperkasakan diri dengan membaca buku panduan, melungsuri wadah online dan menghadiri sesi ceramah demi memahami autisme dan Sindrom Asperger. Beliau juga bersyukur kerana mempunyai ahli keluarga yang memberi sokongan padu kepadanya.

Ditanya mengapa beliau berani ke depan dan mendedahkan cerita tentang anaknya itu kepada media? Cik Zuraidah berkata, niatnya hanya satu- meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai anak-anak yang mengalami Sindrom Asperger.
Meskipun beliau harus mengongsi beberapa perkara yang agak peribadi, beliau sanggup berbuat demikian kerana amat berharap dengan mengongsi kisahnya ini, masyarakat akan bersikap lebih memahami dan kelak tidak lagi sewenang-wenangnya menilai seseorang seperti Aryan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.