Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Anak muda SG Ramadhan Rajab berbasikal ‘solo’ teroka 6 negara Asia

Anggaran Waktu Membaca:
Anak muda SG Ramadhan Rajab berbasikal ‘solo’ teroka 6 negara Asia

Anak muda SG Ramadhan Rajab berbasikal ‘solo’ teroka 6 negara Asia Tenggara. (Gambar: Ramadhan Rajab)

SINGAPURA: Berbekalkan S$8,000, rakyat Singapura berusia 27 tahun ini memulakan perjalanan solo kira-kira 4,800 kilometer (km) ke enam negara Asia hanya dengan berbasikal.

Bahkan, ini merupakan kali pertama dalam hidup Ramadhan Rajab, melakukan kerja ‘gila’ tersebut!

Enam negara yang diterokai dengan mengayuh basikal ‘gravel’ atau basikal kerikil itu ialah Malaysia, Thailand, Kemboja, Laos, Vietnam dan yang terakhir - di mana dia berada sekarang sewaktu rencana ini diterbitkan - China.

Jumaat, 28 Jun, merupakan hari ke-132 sejak Ramadhan memulakan perjalanan dari rumahnya di Tampines ke China.

Ramadhan memberitahu BERITA Mediacorp, dia sebelum ini langsung tidak pernah terfikir akan sampai ke China dengan mengayuh basikal.

“Tidak pernah dalam hidup saya ini terfikir untuk berbasikal ke China. Saya sendiri belum pernah betul-betul berbasikal ke seluruh Singapura. Namun saya percaya ia tidak mustahil dan idea gila untuk berbasikal ke China adalah sesuatu yang akan saya lakukan. Memandangkan semua negara itu boleh dilalui melalui perjalanan darat, mengapa tidak berbasikal sahaja,” katanya.

Di satu kawasan antara Jianshui dengan Shiping, Yunnan, China. (Gambar: Ramadhan Rajab)

IBU TIDAK PERCAYA, ADIK BERADIK PENYOKONG KUAT

Malah ibu Ramadhan sendiri, Hasnah Mohamed, pada mulanya agak sukar untuk menerima hakikat bahawa anak bongsunya itu akan berbasikal hingga ke China.

"Saya tidak rasa ibu saya percaya apabila saya beritahu yang saya hendak berbasikal ke China. Biasanya ibu saya tegah apa-apa kegiatan (lasak) yang saya lakukan dan saya faham memandangkan ia berisiko tinggi.

"Tetapi lama kelamaan, ibu mula menerimanya dan menyokong saya. Malah ibu tolong saya bungkus pek pertolongan cemas (first aid) untuk saya," cerita Ramadan.

Sementara itu, adik beradik Ramadhan - iaitu abang (32 tahun) dan kakak (36 tahun) - pula merupakan penyokong kuat sejak dari awal lagi."Mereka juga penggemar aktiviti lasak seperti saya atau mungkin lebih lasak lagi. Apa sahaja kegiatan lasak yang saya beritahu mereka saya nak lakukan, saya sudah tahu terlebih dahulu bahawa mereka akan sokong dan beri galakan."

Di Hai Van Pass, Vietnam. (Gambar: Ramadhan Rajab)

SPONTAN SAHAJA SELEPAS BEBERAPA KALI SESAT

Menurut Ramadhan, dia mendapat ilham melakukan pengembaraan beroda dua itu ketika asyik menggunakan Instagram dan ternampak video dikongsi seorang lelaki muda dari Jerman yang terbang ke Singapura dan kemudian berbasikal ke Vietnam sebelum meneruskan perjalanan ke benua-benua lain.

“Video-video beliau nampak seronok dan bebas dan saya terus tertarik. Saya sentiasa terbuka mencuba sesuatu yang baharu, yang berisiko dan seronok. Selagi saya masih muda dan bertenaga, saya mahu melakukan sebanyak mungkin aktiviti dan enggan menunggu sehingga saya sudah tua,” kata penggemar kegiatan lasak itu.Lantaran itu, Ramadhan membuat perancangan teliti untuk memulakan perjalanannya berbasikal secara solo dan mengongsikannya dengan orang ramai menerusi akaun Instagram @dhnrjb.

Sekalipun demikian, segala perancangan yang dibuat pada awalnya bertukar menjadi spontan hanya pada hari pertama.

“Saya sesat beberapa kali di ladang-ladang selepas cuba mengambil jalan pintas dan mengambil masa yang terlalu lama untuk cari jalan keluar dan akhirnya hanya dapat lakukan perjalanan 120km berbanding 160km yang saya rancang.

“Sejak itu, semuanya saya buat secara spontan sahaja. Laluan berbasikal saya rancang malam sebelumnya berdasarkan kekuatan tubuh saya (pada waktu itu) dan untuk tempat tinggal, saya ‘Google’ penginapan paling murah di kawasan di mana saya berada atau datang langsung ke tempat penginapan untuk bertanya,” kongsinya dengan BERITA Mediacorp.

Ke arah Chhaeb, Kemboja. (Gambar: Ramadhan Rajab)

PINTU BILIK DIGEGAR, DIBUKA POLIS

Setakat ini, pengalaman Ramadhan baik-baik belaka dan membuka matanya kepada keindahan budaya setempat dan alam sekitar serta sikap penduduk yang menerima baik kehadirannya.

Satu-satunya pengalaman mengganggu perasaan adalah pada malam pertama Ramadhan di China, apabila pintu biliknya digegarkan dan dibuka tanpa izin sewaktu dia sedang nyenyak tidur.

“Saya nampak dua pegawai polis tercegat di depan pintu dan mengarahkan saya supaya keluar. Saya betul-betul bingung dan terpinga-pinga,” ujarnya.

Memandangkan Ramadhan hanya tahu bahasa Mandarin asas dan pegawai berkenaan tidak tahu berbahasa Inggeris, mereka berdepan kesukaran memahami antara satu sama lain.

Pegawai tersebut berulang kali bertanya tiga soalan - dari mana, hendak ke mana dan dari mana Ramadhan masuk ke China.

“Mereka agak tegas terhadap saya, tiada penjelasan dan tiada kata-kata maaf lalu terus pergi selepas saya menjawab tiga soalan itu. Itulah satu-satunya pengalaman, sepanjang perjalanan saya ini, di mana saya rasa sangat tidak selamat dan takut."

SEHARI BELANJA S$20-S$40 SAHAJA

Dari segi persediaan sebelum memulakan perjalanan pada 17 Februari 2024 pula, Ramadhan berkata tidak banyak yang dilakukan.

Dia hanya perlu membeli basikal, beg untuk digantung pada basikal, kamera aksi, tukar tempat duduk yang lebih selesa dan persiapkan minda.

“Saya tidak mahu keluar duit untuk perkara-perkara yang tidak perlu. Saya lebih rela menggunakan wang untuk digunakan sepanjang perjalanan saya. Jadi kebanyakan barang yang saya bawa untuk perjalanan ini adalah barang-barang yang sudah saya miliki,” tambahnya, sambil menambah apa yang benar-benar diperlukan sebenarnya hanya basikal, pasport dan wang.

Di satu kawasan di Yunnan, China. (Gambar: Ramadhan Rajab)

Demi merealisasikan impian untuk berbasikal jauh ke negara orang, Ramadhan mendedahkan dia menabung S$8,000. Namun, tidak semuanya dihabiskan.

“Bergantung kepada sejauh mana duit saya boleh bertahan. Saya tidak berniat untuk menggunakan semuanya tetapi jumlah (S$8,000) itu adalah maksimum yang saya sanggup belanjakan untuk keseluruhan perjalanan ini,” ujarnya.

Di Jian shui. China. (Gambar: Ramadhan Rajab)

Ramadhan memberitahu BERITA Mediacorp, setakat ini purata perbelanjaan sehariannya adalah S$40.

“Jumlah purata ini termasuk makanan sehari sekali hingga dua kali, air minuman yang banyak dan snek untuk dimakan semasa berbasikal, penginapan, pengangkutan (kereta api, bas, tuktuk, sewa motosikal), pembelian bahagian ganti untuk basikal, yuran penyenggaraan basikal dan perbelanjaan lain. Ini sebahagian besarnya bukan perkara-perkara yang saya perlu keluar duit setiap hari,” kongsinya lagi.

Ramadhan menambah, dia sedaya upaya cuba mengawal perbelanjaannya dengan memilih tempat penginapan kos rendah dan makan di kedai makan warga tempatan.

“Biasanya apabila berbasikal di kawasan pedalaman atau perkampungan saya berbelanja kurang S$20 sehari termasuk makanan, minuman dan penginapan. Kos berbasikal seperti ini sangat fleksibel pada pandangan saya. Boleh lebih rendah atau lebih tinggi bergantung kepada pilihan masing-masing,” ujarnya.

Di antara sempadan Lao Cai, Vietnam dengan sempadan Hekou, China. (Gambar: Ramadhan Rajab)

DUIT BOLEH DICARI, MASA TIDAK BOLEH DIBELI

Dengan perjalanan Ramadhan yang berbulan lamanya ini, adakah dia mengambil cuti kerja yang panjang?

Ini katanya: “Sebelum ini saya kerja sepenuh masa dalam sektor runcit. Namun saya berhenti kerja untuk berbasikal ke seluruh Asia Tenggara.”

Ramadan percaya jika ada sesuatu yang ingin dicuba dan diterokai dalam hidup, seseorang harus lakukannya, jika perkara itu akan membuat mereka bahagia.

“Saya tidak katakan anda harus tinggalkan segala-galanya dalam hidup untuk mencapai impian anda. Tetapi cari cara yang sesuai untuk diri anda kerana setiap orang diberi kelebihan yang berbeza-beza. Lakukan sahaja tidak kira apa yang akan orang katakan.

“Untuk memulakan perjalanan yang panjang ini bermakna saya perlu menabung selama lapan bulan, kurangkan perbelanjaan bulanan dan berhenti kerja. Ia perjalanan berisiko tinggi, ada yang memberi amaran kepada saya tentang risikonya tetapi saya percaya kematian atau bahaya boleh berlaku di mana-mana sahaja, bila-bila masa sahaja,” katanya.

Ramadhan memberitahu BERITA Mediacorp, segala “kesulitan” yang diharunginya menjelang pengembaraan berbasikal itu sudah “mewujudkan detik-detik paling indah” dalam hidupnya.

“Saya sangat bersyukur kerana berpeluang melakukannya. Ambil risiko dan nikmati keseronokannya kerana duit boleh dicari bila-bila sahaja tetapi masa tidak boleh dibeli,” kongsi Ramadhan lagi.

Di Ha Giang, Vietnam. (Gambar: Ramadhan Rajab)

MAHU BERBASIKAL KE BENUA LAIN PULA

Perjalanannya belum berakhir lagi. Dia akan pulang ke Singapura dari Kunming, China menaiki pesawat pada 4 Julai.

Namun, semangat untuk terus mengembara sudah berkobar-kobar. Dia bakal melakukan bahagian kedua berbasikal ke negara-negara lain di Asia Tenggara sebelum hujung tahun ini.

“Saya secara spontan sudahpun merancang bagi bahagian kedua berbasikal di Asia Tenggara dari Singapura ke Indonesia, Borneo dan Filipina. Malah, baki wang daripada pengembaraan saya sekarang ini akan saya gunakan untuk bahagian kedua.

“Saya juga ada perancangan lebih besar untuk berbasikal ke benua-benua lain dan mahu berkongsi pengalaman saya dengan orang-orang lain yang mempunyai minat yang sama menerusi media sosial,” katanya.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan