Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Anak muda reka mesin layan diri baru yang sewakan bekas makanan, sudu garpu guna semula

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sedar bawa setiap tingkah lakunya memberi kesan terhadap alam sekitar, Mohamad Iyan Danial membuat keputusan untuk menggunakan bekas makanan yang boleh diguna semula setiap kali dia membeli makanan. 

Namun, Iyan berdepan satu masalah: Mahasiswa jurusan komunikasi dan media baru di Universiti Nasional Singapura (NUS) itu kadangkala terlupa untuk membawa bekas bersamanya. 

Untuk membantu orang lain mengatasi masalah serupa, Iyan, 22 tahun, bersama tiga lagi anggota kumpulan Team ReuseOnly menyarankan idea yang menang tempat pertama dalam program mentor belia Pertukaran Kemampanan 2022, di mana orang ramai boleh menyewa barangan yang boleh diguna semula seperti bekas makanan melalui mesin layan diri. 

Setelah menggunakannya, barang-barang itu boleh dihantar kembali ke mesin tersebut untuk dibersihkan;  dengan bayaran yang sangat kecil, kata Encik Iyan kepada Mediacorp sebagai wakil anggota-anggota kumpulannya yang lain. 

Mereka terdiri daripada
Cik Ooi Zhi Yong, 23 tahun, seorang siswa kerja sosial dan ilmu alam NUS,
Cik Sherlyn Neo Qi Yuen, 23 tahun, siswa kejuruteraan bioperubatan NUS
dan Cheong Yuan Rong, 20 tahun, graduan perbankan dan kewangan dari Politeknik Singapura.

Anggota-anggota kumpulan Team ReuseOnly (dari kiri) Encik Cheong Yuan Rong, Encik Mohamad Iyan Danial dan Cik Sherlyn Neo, bersama mentor mereka Cik Abhiruchi Gadgil. (Gambar: OCBC Bank)

Meskipun membuat pendaftaran bagi program itu secara berasingan, keempat-empat pelajar itu disatukan kerana ingin menghuraikan isu yang sama: Bagaimana untuk galak tindakan orang ramai daripada tahap kesedaran kepada mengambil langkah-langkah yang mampan. 

Bulan lalu, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyatakan, lebih banyak sisa pepejal dihasilkan di Singapura tahun lalu sedang ekonomi kembali pulih, meningkat daripada 5.88 juta tan pada 2020 kepada 6.94 juta tan pada 2021 - kenaikan sebanyak 18 peratus. 

Pihak berkuasa sudah berkali-kali menggesa rakyat Singapura supaya mengambil langkah-langkah mesra alam yang lebih mampan kerana pada kadar pembuangan sisa sekarang, tempat pelupusan sampah di Pulau Semakau dijangka mencapai kapasitinya menjelang 2035. 

Konsep baru Team ReuseOnly menyaksikan mereka dipilih sebagai salah satu daripada lima kumpulan daripada Program Pertukaran Kemampanan untuk menerima Dana Sekitaran OCBCCares, yang menawarkan pembiayaan bagi idea-idea kemampanan yang datang dari masyarakat sendiri.  

OCBC mengumumkan tahun lalu bahawa ia akan memperuntukkan S$100,000 untuk menyokong pelaksanaan projek yang terpilih daripada program tersebut. 

Team ReuseOnly menjangkakan keseluruhan kos bagi tahun ini, termasuk perbelanjaan operasi dan permulaan, berjumlah sekitar S$57,200. 

PINJAM APABILA PERLU, PULANGKAN APABILA HABIS 

Memberikan butiran saranan kumpulannya, Encik Iyan berkata, mesin layan diri ini "sangat senang digunakan dan mudah didapati di mana-mana tempat". 

"Sebab ramai orang tidak mengambil langkah-langkah yang mampan adalah kerana masalah akses dan kos yang tinggi. Orang ramai tidak mahu perkara yang sukar didapati, terutama sekali di Singapura, di mana kita semua sibuk," katanya. 

Sehingga lima mesin akan diletakkan di UTown di NUS di bawah tahap perintis, kerana kumpulan tersebut percaya golongan pelajar mempunyai kesedaran yang tinggi mengenai isu-isu kemampanan dan lebih  menggunakan mesin layan diri disebabkan gaya hidup mereka. 

Mesin-mesin layan diri itu akan memberi pelanggan dua pilihan: Membeli produk-produk boleh diguna semula seperti putik kapas, sudu garpu dan cawan yang boleh dimakan; atau menyewa barangan seperti bekas makanan dan cawan. 

Encik Iyan berkata, pengguna tidak perlu membasuh barang-barang itu sebelum memulangkannya, kerana ia akan dibersihkan syarikat mencuci pinggan mangkuk. 

Encik Iyan berharap selepas tahap perintis itu, projektersebut dapat dilancarkan  secara "besar-besaran" tahun depan di kawasan-kawasan yang terdapat ramai  orang seperti di daerah pusat bandar (CBD), dan kalau boleh berdekatan dengan tempat-tempat makan. 

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan