Anak muda ini cipta program AR, bolehkan pembeli "cuba" dahulu pakaian secara online
Bayangkan anda boleh "cuba" dahulu tudung atau pakaian terpakai secara online sebelum membelinya.
SINGAPURA: Bayangkan anda boleh "cuba" dahulu tudung atau pakaian terpakai secara online sebelum membelinya.
Ini antara jurang teknologi yang dilihat Nur Ashirah Salleh apabila menuntut dalam Program Sarjana Muda dalam Sains Pengkomputeran di Universiti Coventry.
Maka itu, ia mendorongnya untuk mencipta sesuatu memanfaatkan teknologi realiti tambahan bagi projek tahun akhirnya (FYP).
Ashirah membangunkan sebuah program AR yang bertujuan mempertingkatkan lagi pengalaman membeli-belah online yang boleh dimanfaatkan kedua-dua pengguna dan para peniaga tempatan.
Menerusi program yang dibangunkan itu, para pembeli di platform-platform online boleh 'mencuba' dahulu pakaian atau barangan sebelum mereka membelinya.
Berdasarkan kajian yang dijalankan sepanjang menjalani program tersebut di Akademi PSB, Ashirah dapati tidak banyak laman web, khususnya jenama tempatan yang menggunakan teknologi AR dalam perniagaan mereka.
"Semestinya, teknologi AR ini bukannya baharu tetapi dalam bidang busana, AR tidak lagi digunakan sepenuhnya dan masih ada ruang untuk AR diperkembangkan dalam bidang ini," jelas Ashirah, yang juga merupakan satu-satunya pelajar Melayu dalam kohortnya.
PROGRAM AR SESUAI UNTUK FESYEN PAKAIAN TERPAKAI, MUSLIMAH
Selain mempraktikkan apa yang dipelajari dalam kursusnya, Ashirah berkongsi beliau perlu mempelajari sendiri beberapa program komputer seperti 'Python'.
Beliau juga menggunakan projek tersebut untuk menggabungkan minatnya dalam bidang seni dan fesyen.
Dalam usaha untuk menggalak gaya hidup yang lebih berjimat, Ashirah juga mahu memperkenalkan program AR yang dihasilkannya itu untuk kedai-kedai menjual pakaian terpakai, 'thrift store'.
"Saya amat gemar dengan busana tetapi saya tidak suka membazirkan duit untuk mendapatkan pakaian-pakaian yang baru. Baru-baru ini juga, 'thrift store' menjadi satu trend untuk rakan-rakan sebaya saya iaitu membeli pakaian terpakai atau 'second hand' tetapi busana juga ada trend-trendnya sendiri dan ia bertukar dengan amat cepat," jelasnya.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Selain pakaian terpakai, Ashirah juga mempunyai idea lebih mendalam khusus untuk membantu golongan Muslimah yang berhijab untuk lebih bergaya.
"Saya mendapatkan idea untuk menggayakan bagaimana tudung-tudung ini akan lihat pada pelanggan kerana kalau kain tudung agak senang untuk bayangkan bagaimana kita boleh pakai tapi mungkin boleh tunjukkan bagaimana gaya tudung-tudung yang berlainan ditampilkan apabila kain tudung ini digayakan pada gaya-gaya tersebut," tambahnya.
Setelah tamat pengajiannya, Ashirah yang berusia 23 tahun kini mahu menumpukan perhatiannya kepada usaha membangunkan program AR itu bagi projek-projek yang lebih khusus.
Meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran sewaktu menyiapkan FYP, Ashirah gembira hasil kerjanya itu dapat memberi manfaat kepada para peniaga.
"Pada hujung-hujung projek saya, laman web saya sebenarnya tidak dapat berfungsi dan ia menjadi satu cabaran yang besar bagi saya kerana saya cuma ada beberapa jam sahaja untuk menghabiskan projek ini.
"Namun kerana saya betul-betul rasa yang projek ini dapat membantu ramai orang, lagi-lagi peniaga-peniaga Melayu/Islam, oleh itu saya kuatkan hati saya dan habiskan walaupun mungkin saya hantar projek itu lambat sedikit tapi saya dapat berjaya untuk habiskan projek dengan sepuas hati saya," kata Ashirah, yang menjadikan ibunya sebagai inspirasi untuk menceburi bidang IT.
Ibunya sudah berkhidmat dalam bidang pentadbiran aset IT selama sekitar 30 tahun.
USAHAWAN TEMPATAN SAMBUT BAIK IDEA ASHIRAH, TERAP AR DALAM PERNIAGAAN
Potensi program AR yang dibangunkan Ashirah itu juga turut menarik usahawan menjual produk hiasan dalaman, Siti Khadijah Badar Din.
Di bawah jenama The Home.Stop yang dimulakannya sejak 2018, beliau menawarkan pelbagai produk daripada set-set makanan, hingga ke perabot.
"Saya sebagai usahawan yakin yang teknologi AR ini sangat membantu perniagaan saya dan juga sangat membantu pelanggan saya untuk memilih produk-produk yang sesuai untuk suasana rumah mereka. Ini akan mempermudahkan proses pemilihan produk-produk untuk pelanggan-pelanggan saya tanpa mereka harus hadir secara fizikal di butik kami," kata Cik Khadijah yang mula membuka kedai fizikalnya di Haji Lane sejak setahun yang lalu.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Beliau sangat mengalu-alukan khidmat sebegitu kerana teknik yang digunakannya sekarang agak manual.
Ini lebih-lebih lagi bagi antara produknya yang laris iaitu 'pouf', sejenis produk versatil yang boleh dijadikan tempat duduk ataupun meja.
Setiap satu berharga sekitar S$270.
"Selalunya pelanggan-pelanggan ini bila dia datang dia suka produk ini tapi dia tak boleh gambarkan atau bayangkan produk ini adakah ia sesuai dengan konsep rumah mereka. Saya memberitahu mereka yang mereka boleh pilih dua 'pouf' yang mereka berkenan dan saya hantar di rumah mereka dan mereka boleh pilih yang mana satu sesuai dengan rumah mereka.
"Jadi daripada situ yang buat saya ada idea untuk menyunting 'pouf' itu dalam gambar rumah mereka. Ia mengambil masa jadi jikalau kita ada banyak pesanan yang memerlukan perkhidmatan seperti itu, ia akan mengambil masa dan kita akan menjadi banyak kerja," jelasnya.
Buat masa ini, Cik Khadijah masih sedang mempertimbangkan untuk menerapkan teknologi sebegitu ke dalam perniagaannya.
"Saya harus lihat dengan permintaan yang ada untuk menggunakan teknologi seperti ini. Tapi saya juga tahu yang pemerintah ada subsidi bagi peniaga-peniaga yang ingin menerapkan teknologi dalam bisnes-bisnes kami. Jadi mungkin jikalau harganya berpatutan dengan apa yang kita boleh bajetkan, inshaAllah boleh menerapkan," jelasnya.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Buat masa ini, Ashirah masih lagi berusaha untuk memperkembangkan program yang dibinanya itu.
Ashirah juga mahu berkongsi ilmu dengan kanak-kanak tentang cara-cara menggunakan program 'Python' bagi menarik minat lebih ramai anak muda, khususnya anak Melayu kepada bidang IT.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.