Skip to main content

Singapura

Anak Melayu antara 10 finalis pertandingan desain mural Chingay, karya dipapar di kereta api MRT

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Buat julung-julung kalinya, satu pertandingan desain mural dinding dianjurkan bagi mengajak rakyat Singapura dari pelbagai latar belakang menyertai sambutan berbilang budaya, Chingay.

Seramai 10 finalis bagi Pertandingan Mural Desain Chingay: Road to UNESCO diumumkan baru-baru ini dan mereka dipilih daripada hampir 60 peserta yang mengambil bahagian.
(Barisan belakang, ketiga dan keempat dari kiri) Pengarah Ketua Eksekutif Persatuan Rakyat Jimmy Toh dan Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia David Neo bergambar bersama finalis dan rakan kongsi Pertandingan Mural Desain Chingay: Road to UNESCO, serta para peserta Chingay. (Gambar: Persatuan Rakyat) 
Antara finalis tersebut termasuk Mohd Shahrizam Mohd Shariff, 36 tahun.
Mohd Shahrizam Mohd Shariff, seorang kakitangan media di sebuah sekolah rendah tempatan, cuba menyelitkan pengalaman peribadi membuat persembahan di pentas Chingay dalam karyanya berjudul "Where Imagination Roars". (Gambar: Persatuan Rakyat) 
Pertandingan itu dianjurkan sebagai sebahagian daripada kempen “Our Chingay, Step In” yang giat dijalankan untuk menggalak rakyat Singapura daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk turut serta dalam sambutan Chingay.

Rekaan karya 10 finalis itu terpilih bukan sahaja kerana ia menonjolkan semangat Chingay, bahkan juga mencerminkan aspirasi Singapura dan Malaysia agar Chingay diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tidak Ternilai UNESCO.

Pencalonan itu telah diserahkan kedua-dua negara tersebut pada Mac 2025, dan keputusannya dijangka diumumkan pada penghujung 2026.
PENGALAMAN PERIBADI BUAT PERSEMBAHAN DI PENTAS CHINGAY DISELITKAN DALAM KARYA

Ini bukan pertama kali Mohd Shahrizam diberi peluang bagi karyanya dipaparkan.
Beg cenderamata NDP sempena SG50 pernah mendapat sentuhan Mohd Shahrizam Mohd Shariff pada 2015. (Gambar: Mohd Shahrizam)
Pada 2015, beg cenderamata Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) sempena SG50 pernah mendapat sentuhan kreatifnya.

10 tahun kemudian, rekaan mural dinding Mohd Shahrizam hasil tanggannya pula berjaya melayakkan beliau muncul sebagai antara 10 finalis Pertandingan Mural Desain Chingay: Road to UNESCO.

Pertandingan itu menerima sebanyak 59 penghantaran, selepas ia dibuka kepada orang ramai untuk turut serta dari 1 sehingga 15 September 2025.

Ditanya mengenai perasaannya setelah diumumkan sebagai finalis, Mohd Shahrizam berkongsi:

"Saya amat terkejut dan tidak menyangka bahawa saya akan tersenarai sebagai salah satu finalis di pertandingan ini. Saya juga amat gembira dan bangga dengan diri saya sendiri kerana ia berlaku pada tahun yang begitu simbolik iaitu SG60 dan tambahan pula, ia menimbulkan peluang untuk menjadi sebahagian daripada usaha untuk membawa Chingay ke peringkat UNESCO."
Inspirasi karya Mohd Shahrizam berjudul "Where Imagination Roars", datang daripada pengalaman peribadinya sendiri yang terlibat sama dalam persembahan Chingay sejak tahun 2007. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp) 
Berjudul "Where Imagination Roars", karyanya itu menggambarkan satu perjalanan menelusuri impian dan angan-angan seorang anak kecil yang akhirnya berkembang menjadi satu sambutan semangat berbilang budaya Singapura, lengkap dengan tarian, kostum dan motif pelbagai etnik yang berwarna-warni.

Inspirasi karya itu datang daripada pengalaman peribadinya sendiri yang terlibat sama dalam persembahan Chingay sejak tahun 2007.

"Proses ini bukan hanya sekadar menghasilkan satu rekaan desain, tetapi ini juga menimbulkan atau menghidupkan semula pengalaman saya sebagai peserta persembahan. Saya dapat melihat sendiri bagaimana suasana Chingay, kemeriahan keindahan keharmonian kaum dan juga semangat di setiap peserta dan juga di setiap persembahan," kongsi Mohd Shahrizam kepada wartawan Syazwani Sanep.

Ia bukanlah mudah untuk mengadunkan setiap satu butiran pengalamannya ke dalam karyanya itu, namun Mohd Shahrizam tetap bersemangat untuk memberi sentuhan peribadinya.
Kostum berona hijau dan putih yang digayakan Mohd Shahrizam ketika membuat persembahan di acara Chingay pada 2024 (kanan), sebagai sebahagian daripada kontinjen Persatuan Serani (EA) antara elemen daripada pengalamannya yang disertakan dengan teliti dalam karyanya (kiri). (Gambar: Persatuan Rakyat, Mohd Shahrizam)
HASIL KARYA 10 FINALIS DIPAPARKAN DALAM KERETA API BERKONSEP CHINGAY

Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia David Neo telah mengumumkan barisan 10 finalis itu pada Khamis (30 Okt) di satu acara yang berlangsung di stesen MRT Harbourfront.
Finalis Pertandingan Desain Mural Chingay: Road to UNESCO Trixia Pearl Del Rio De Vera (kanan) berkongsi mengenai muralnya berjudul, “Our Little Red Dot of Joy”, kepada Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia David Neo (kiri). (Gambar: Persatuan Rakyat)
Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia David Neo telah mengumumkan barisan 10 finalis itu pada Khamis (30 Okt) di satu acara yang berlangsung di stesen MRT Harbourfront.

Di acara yang sama, beliau juga melancarkan kereta api berkonsep Chingay: Road to UNESCO, satu inisiatif yang disokong SMRT Trains.

Sehingga 18 Jan 2026, penumpang MRT laluan Circle Line boleh menikmati paparan rekaan mural hasil karya 10 finalis itu ketika mereka menaiki dua kereta api berkonsep Chingay yang dilancarkan tersebut.

Menyambut baik inisiatif tersebut, Encik Neo berkata: "Dari perarakan jalanan pertama pada tahun 1973, Chingay telah berkembang daripada sekadar perayaan masyarakat Cina kepada sambutan pelbagai budaya dengan peserta dari pelbagai latar belakang. Chingay menyaksikan penyertaan dan sokongan yang kukuh daripada rakyat Singapura.

"Dengan sokongan SMRT melalui kereta api konsep Chingay, rakyat Singapura juga boleh memainkan peranan aktif dalam bidaan UNESCO kita. Ini mencerminkan rasa pemilikan kolektif dan mendalam kita terhadap Chingay sebagai simbol masyarakat pelbagai budaya yang dinamik," tambahnya.

Selain dipaparkan di kereta api itu, tujuh daripada rekaan mural tersebut juga dipamerkan di beberapa lokasi lain termasuk:
  • Kawasan Ruang Legar Stesen MRT HarbourFront (dari 1 Nov hingga 31 Jan 2026)
  • Di hadapan Liat Towers di sebuah pop-up yang diinspirasikan daripada kereta berhias Chingay Lion dari Perarakan Chingay 2025 (dari 1 Nov hingga 20 Jan 2026)
  • Politeknik Republik (dari 10 Nov hingga 5 Dis)

ORANG RAMAI KINI BOLEH UNDI DARIPADA 10 FINALIS DESAIN MURAL

Sehingga 31 Disember ini, orang ramai boleh mengundi desain pilihan mereka di laman rasmi Chingay

Pemenang dengan undian paling tinggi bakal membawa pulang e-baucar pusat beli-belah VivoCity bernilai S$3,000.

Karyanya juga akan dipaparkan di stesen MRT Harbourfront serta di VivoCity.

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita