Skip to main content

Singapura

Anak mantan pengerusi CAG akan didakwa; beri bukti, keterangan palsu dalam kes Parti Liyani

Karl Liew, anak lelaki mantan pengerusi Changi Airport Group (CAG) Liew Mun Leong akan didakwa pada Khamis (5 Nov) kerana mengemukakan bukti dan memberikan keterangan palsu kepada seorang pegawai awam, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Rabu (4 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Anak mantan pengerusi CAG akan didakwa; beri bukti, keterangan palsu dalam kes Parti Liyani

(Gambar fail Karl Liew (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 04 Nov 2020 09:58PM Dikemas Kini : 04 Nov 2020 10:02PM

SINGAPURA: Karl Liew, anak lelaki mantan pengerusi Changi Airport Group (CAG) Liew Mun Leong akan didakwa pada Khamis (5 Nov) kerana mengemukakan bukti dan memberikan keterangan palsu kepada seorang pegawai awam, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Rabu (4 Nov).

"Menyusuli keputusan Mahkamah Tinggi dan berdasarkan komen-komen Mahkamah Tinggi, Pejabat Peguam Negara (AGC) mengarahkan pihak polis supaya menjalankan siasatan lanjut bagi menilai sama ada sebarang kesalahan telah dilakukan oleh keluarga Encik Liew," menurut kenyataan SPF.

"Pihak polis sudahpun selesai menjalankan siasatan dan berunding dengan AGC mengenai saranan-saranan yang dikemukakan."

Karl Liew akan didakwa dengan dua tuduhan di bawah Seksyen 177 dan 193 Kanun Jenayah, menurut SPF berikutan pengumuman AGC berhubung penghakiman bagi kes bekas pembantu rumah warga Indonesia, Parti Liyani.

Cik Parti didapati bersalah pada Mac tahun lalu oleh Mahkamah Negara atas tuduhan mencuri S$34,000 daripada Encik Liew dan keluarganya tetapi sabitan itu dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 4 Sep.

Berdasarkan pengadilan Hakim Chan Seng Onn, beliau menggariskan beberapa isu berhubung dapatan daripada hukuman bersalah terhadap Cik Parti dan bagaimana kes tersebut ditangani.

Mahkamah Tinggi khususnya menarik perhatian kepada bukti yang dikemukakan oleh Karl yang dianggap tidak boleh dipercayai.

Kenyataan SPF itu dikeluarkan sejurus selepas Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam mendedahkan dalam Kenyataan Menteri yang disampaikannya di Parlimen bahawa Karl Liew disiasat kerana mungkin melakukan kesalahan jenayah termasuk berbohong yang merujuk kepada perbuatan memberikan keterangan palsu dalam mahkamah.

"Terdapat banyak aspek tingkah laku Karl dan bukti yang dikemukakannya ... yang sangat tidak memuaskan, yang menimbulkan keraguan, berdasarkan apa yang dikatakannya dalam perbicaraan di mahkamah," kata Encik Shanmugam.

"Beliau nampaknya bukan saksi yang boleh dipercayai." 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita