Skip to main content

Singapura

Anak beruang panda gergasi Le Le tiba di China, kini jalani kuarantin

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Khususnya bagi para peminat beruang panda, usah khuatir!

Anak beruang panda, Le Le, susah selamat tiba di Chengdu, China pada Selasa malam (16 Jan).


Digelar oleh syarikat penerbangan Singapore Airlines sebagai 'Panda Sangat Penting' (‘Very Important Panda’), ia berlepas dari Singapura pada pukul 7.17 malam menaiki pesawat pengangkut Boeing 747-400F SIA.

Menurut laman penerbangan Flightradar24, ia mendarat di Lapangan Antarabangsa Chengdu Shuangliu pada pukul 11.14 malam.

Anak beruang panda kelahiran Singapura itu, yang mencecah usia tiga tahun pada Ogos lalu, sedang menjalani kuarantin untuk kali kedua, iaitu langkah wajib yang perlu dilaksanakan.

Demikian menurut Mandai Wildlife Group dan SIA dalam satu kenyataan media bersama pada 17 Januari.

Kuarantinnya di China dijangka berlanjutan selama 30 hari, menurut agensi berita Xinhua.

Ia kini akan dipantau dengan teliti oleh Pusat Pemuliharaan dan Penyelidikan China bagi Panda Gergasi (CCRCGP) untuk menentukan tempat tinggal seterusnya.

Le Le selesai menjalani kuarantin pertamanya, selama empat setengah minggu, di River Wonders di Mandai Wildlife Reserve sebelum keberangkatannya.

Berikut adalah antara sorotan hari keberangkatan Le Le yang penuh emosi:


1. PERJALANAN KE LAPANGAN TERBANG CHANGI

Le Le dibawa ke Lapangan Terbang Changi melalui Ekspreswe Bukit Timah, Seletar dan Tampines dalam sebuah peti kayu yang direka secara khusus, berukuran kira-kira 1.7m panjang, 1.1m lebar dan 1.3m tinggi.

Peti kayu tersebut dimuatkan ke dalam trak reefer, yang disimpan pada suhu antara 12 dengan 16 darjah Celsius.

Semasa perjalanan tersebut, Le Le dipastikan dalam keadaan selesa dengan bekalan kudapannya, termasuk rebung dan buluh.

Gambar: Mandai Wildlife Group
2. DI LAPANGAN TERBANG ITU

Sejurus Le Le tiba di lapangan terbang tersebut, peti kayu berkenaan diikat pada palet, disertakan dengan barang keperluan perjalanannya - makanan.

Di sana, pasukan jagaan pandanya juga menyertakan sekeping kad berbentuk hati buatan tangan, padat dengan ucapan khas untuk Le Le, pada peti kayunya bagi menemaninya sepanjang perjalanannya itu.

Peti kayu tersebut seberat kira-kira 600 kilogram.

3. MENAIKI PESAWAT
Gambar: Mandai Wildlife Group
Landasan Lapangan Terbang Changi kemudian dipenuhi dengan para tetamu seolah-olah sedang menyambut seorang VIP!

Semuanya berada di sana untuk mengucapkan selamat jalan kepada Le Le
sedang peti kayunya dimasukkan ke dalam pesawat.

4. PERJALANAN KE CHINA

Di dalam pesawat, Le Le ditemani penjaga dan doktor haiwan dari Mandai Wildlife Group serta penjaga dari China, yang memberi makan dan memeriksa Le Le sepanjang penerbangan empat setengah jam itu.

"Le Le dijaga dengan baik dalam penerbangan itu dan mengekalkan selera makan yang baik sepanjang masa, mengunyah rebung dan buluh," kata Mandai Wildlife Group dan SIA.

"Ketibaan Le Le di China membuka lembaran baharu kehidupan baginya memandangkan ia kini secara rasminya menyertai program pemuliharaan panda gergasi China bagi perlindungan spesiesnya."
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita