Anak beranak teruja hias koridor sempena Hari Kebangsaan
Encik Muhammd Fahmi Abdul Aziz ghairah menghias ruang koridor flatnya di Tampines untuk menyemarakkan suasana Hari Kebangsaan bagi anak-anak beliau dan jiran tetangga.
Anak kedua beliau dilahirkan semasa tempoh jangkitan koronavirus, dan belum pernah merasai kemeriahan Hari Kebangsaan pra-COVID-19.
DIDORONG ANAK HIAS KORIDOR FLAT
Biarpun terpaksa memanjat tangga untuk memasang bendera, Encik Fahmi teruja untuk menghias koridor flatnya di Tampines dengan mengibarkan pelbagai bendera bagi menyambut kemerdekaan negara ke-57
Hiasan seperti sepanduk bintang dan bendera dipesannya online. Ia tidak memerlukan belanja yang besar. Malah, beliau juga turut memaparkan kertas ucapan yang dilukis dan ditulis oleh anak-anaknya.

"Anak kedua saya dilahirkan semasa kemuncak COVID-19, jadi perayaan tahun ini amat bermakna kepada saya dan anak-anak saya menyuruh saya untuk menghias rumah kami," katanya yang juga ingin berkongsi kemeriahan ulang tahun negara bersama jiran tetangga.
Selain hiasan bendera, Encik Fahmi bersama anak-anaknya juga akan menyanyikan lagu-lagu kebangsaan. Harapannya untuk memupuk rasa bangga kepada negara dalam diri mereka dari usia kecil lagi.
"Hari Kebangsaan satu hari kebanggaan buat kita kerana kita sebuah negeri yang maju dan kita menyambut hari kemerdekaan kita.
"Semasa COVID, kami di rumah dan menonton perbarisan Hari Kebangsaan di kaca TV. Anak-anak saya akan melonjat-lonjat, termasuklah saya, "ujarnya tersenyum lebar.

Yang pasti, Encik Fahmi sekeluarga akan berpakaian merah putih dan sama-sama bersorak dengan seluruh negara dalam meraikan kemerdekaan negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.