Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Anak bekas penduduk Pulau Ubin hasrat bangunkan galeri & ruang solat di sana

Anggaran Waktu Membaca:
Anak bekas penduduk Pulau Ubin hasrat bangunkan galeri & ruang solat di sana

Encik Nor Syazwan Abdul Majid berdiri di hadapan sebuah rumah di Kampung Sungei Durian, Pulau Ubin, di mana beliau akan bangunkan sebuah galeri dan tempat solat. (Gambar: Nuria Ling/TODAY)

SINGAPURA: Masih segar dalam ingatan Encik Nor Syazwan Abdul Majid detik-detik mengayuh basikal bersama ibunya di Pulau Ubin pada 2003, iaitu kali pertama beliau berkunjung ke pulau itu.

Mereka ternampak banyak rumah usang semasa bersiar-siar di sana. Namun, ada satu rumah yang membuat ibunya berhenti mengayuh basikal. Rumah itulah tempat ibunya membesar.

Pada hari itu jugalah ibunya, Cik Noor Riah Sulong, mendedahkan kepada Encik Syazwan bahawa beliau sebenarnya keturunan penduduk Pulau Ubin.

Cik Riah dilahirkan di Pulau Tekong pada 1959 namun keluarganya berpindah ke Pulau Ubin pada tahun yang sama untuk mencari peluang pekerjaan lebih baik.
Encik Syazwan semasa pertama kali berkunjung ke Pulau Ubin pada 2003. (Gambar: Nor Syazwan Abdul Majid)
Beliau menghabiskan 20 tahun di Pulau Ubin, sebelum berkahwin dan berpindah ke tanah besar Singapura.

Cik Riah, kini berusia 64 tahun, menziarahi ibu dan dua adik-beradiknya di Pulau Ubin pada hujung minggu, sehinggalah semua anggota keluarga beliau akhirnya berpindah ke tanah besar Singapura pada 1990-an.

Walaupun Encik Syazwan, yang kini berusia 27 tahun, sudah mengetahui tentang asal usulnya sejak kecil lagi, minatnya terhadap pulau itu hanya mula berputik ketika beliau sedang menjalani Perkhidmatan Negara.
Rumah datuk nenek Syazwan pada sekitar 1980-an. (Gambar: Nor Syazwan Abdul Majid)
"Saya mula tertanya-tanya apa yang ingin saya lakukan dalam hidup yang dapat memberi kesan positif terhadap kehidupan orang lain," kata Encik Syazwan, seorang mahasiswa di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura. Beliau kini mengambil jurusan kerja sosial dengan pengkhususan kecil (minor) dalam bidang sosiologi.

"Itulah saatnya saya teringat akan cerita-cerita ibu saya membesar di pulau. Saya mula bersikap ingin tahu."
JALANKAN PROJEK

Sikap ingin tahu itulah yang mendorongnya untuk memulakan misi mencari barang-barang lama di rumah datuk neneknya untuk menyelongkar tentang warisannya.

Pada 2018, beliau memulakan "Wan's Ubin Journal" di beberapa platform media sosial.

"Saya mula lebih banyak berinteraksi dengan para penduduk di sini. Ia satu cara bagi saya untuk mempelajari asal usul saya, selain mengenali masyarakat yang sudah lama terputus hubungan dengan kami," ujarnya.

Secara kebetulan, pada 2018, Lembaga Taman Negara (NParks) mengumumkan bahawa pihaknya mengalu-alukan cadangan daripada masyarakat untuk memulihara lima rumah di Pulau Ubin, salah satu daripadanya dikenali sebagai "Rumah 6J" di Kampung Sungei Durian.
Ruang dalaman Rumah 6J di Kampung Sungei Durian di Pulau Ubin. (Gambar: Nuria Ling/TODAY)
Encik Syazwan pun merebut peluang itu.

Menerusi perbualan bersama pada penduduk Pulau Ubin, beliau menyedari bahawa terdapat kekurangan ruang solat berjemaah bagi umat Islam di sana.

Encik Syazwan juga menghadiri beberapa acara pengebumian keluarga dan masyarakat, yang membakar semangatnya untuk terus melindungi warisannya.

"Saya menyedari bahawa sebaik sahaja orang-orang ini sudah tiada, kisah-kisah mereka juga hilang bak ditelan bumi. Kita tidak akan dapat menyimpan pengetahuan yang sudah diturunkan sejak beberapa generasi lalu kepada generasi-generasi akan datang," katanya.

Dengan semua ini dalam benak fikirannya, Encik Syazwan akhirnya tahu apa visi beliau buat Rumah 6J - menjadikannya satu galeri masyarakat dan ruang solat buat umat Islam.

"Harap-harap dengan penubuhan satu galeri masyarakat, kita mampu mengabadikan kisah-kisah mereka supaya apabila orang awam berkunjung ke ruang tersebut di pulau ini, mereka mampu mempelajari cara kehidupan kita dahulu," tambah beliau.
Rumah 6J di Kampung Sungei Durian, Pulau Ubin. (Gambar: Nuria Ling/TODAY)
Encik Syazwan menyerahkan kertas cadangannya kepada NParks menerusi rangkaian masyarakat 'Friends of Ubin', dan ia sudahpun mendapat sokongan secara berprinsip.

Pada 2019, ketika Encik Syazwan bekerja dengan NParks sebagai seorang pegawai perhubungan masyarakat, beliau berkenalan dengan Encik Raja Mohd Fairuz yang akhirnya menjadi rakan usaha sama beliau.

Encik Raja merupakan seorang arkitek dan pensyarah politeknik yang menganjurkan kelas-kelas penyelidikan mengenai reka bentuk Pulau Ubin.

Encik Syazwan mendekati Encik Raja dengan rancangan awalnya bagi Rumah 6J, dan dari situlah mereka menjalin kerjasama kerana berkongsi minat yang sama.

Kini mereka berdua berganding bahu menerajui projek tersebut dan sedang dalam proses mendapatkan para relawan.

Sebaik sahaja mendapatkan relawan, kajian di lapangan akan dijalankan dengan para penduduk Pulau Ubin sebelum semua elemen reka bentuk dimuktamadkan dan anggaran awal kos dibentangkan kepada NParks.

Dengan projek ini, Encik Syazwan berharap dapat memberi penghormatan kepada para penduduk Pulau Ubin dan membuat mereka berasa bangga dengan tempat mereka membesar.

Beliau juga berharap dapat mendidik para pengunjung pulau itu.

Encik Syazwan mula mencari para relawan belia pada 1 Ogos lalu menerusi laman-laman media sosialnya. Beliau khususnya mencari mereka yang ada pengalaman dalam bidang seni bina, kajian atau pemasaran.

Beliau sudahpun menerima lebih 30 permohonan setakat ini.
Sumber : Today/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan