Anak-anak keluarga berpendapatan rendah di Pasir Ris lebih bersemangat untuk kembali ke sekolah dengan bantuan diterima
SINGAPURA: Hanya tinggal sekitar lagi dua minggu sebelum tamat cuti sekolah dan semangat untuk kembali ke sekolah untuk tahun baharu sudah mula dirasakan bagi kanak-kanak keluarga berpendapatan rendah yang menetap di Pasir Ris.
Mereka antara 150 pelajar sekolah rendah hingga Menengah 2 yang menerima sumbangan barangan sekolah termasuk alat tulis, beg dan buku-buku di Masjid Al-Istighfar pada Ahad (17 Dis).
Buku sekolah dan buku cerita yang diberikan itu misalnya, dikumpul dari masyarakat yang mendermakannya dua minggu lalu.
Masjid Al-Istighfar turut menaja baucar-baucar bernilai S$30 buat semua keluarga penerima.
Selain membawa keceriaan kepada kanak-kanak untuk kembali ke sekolah 2 Januari depan, usahasama antara Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Pasir Ris, PA Mesra dan MENDAKI itu juga ingin keluarga-keluarga memanfaatkan pelbagai bentuk bantuan lain.
Anggota Parlimen GRC Pasir Ris–Punggol, Sharael Taha berkata, "Kita dapat memberikan bantuan lebih holistik, bukan sahaja dari segi memberi peralatan sekolah tetapi juga baucar-baucar juga. MENDAKI juga dapat memberikan pertolongan, menolong keluarga-keluarga mendapat informasi mengenai skim-skim tuisyen, Kelas MateMatika supaya keluarga-keluarga dapat bantuan holistik untuk anak-anak mereka."
Antara kanak-kanak yang berasa teruja menerima bantuan barangan sekolah itu ialah Haziq Nazri.
"Pertolongan ini semua bermanfaat untuk kanak-kanak lain yang tak menerima bantuan dari wadah-wadah lain. Untuk saya sendiri, saya rasa gembira, dapat beg dan buku secara percuma, ia sangat bermakna untuk adakan acara sebegini,"kata Haziq.
Akid Farish Md Sufian pula berkata, "Saya rasa teruja dan gembira. Dapat beg percuma, dapat buku secara percuma."
Menerusi acara tersebut, golongan ibu bapa seperti Cik Suhaila Md Suhaimi juga berbesar hati dengan bantuan yang diterima.
Mereka juga dapat menjimatkan sekitar S$100 bagi barangan sekolah setiap anak-anak mereka.
"Alhamdulillah, dapat kurangkan beban kita sedikit. Tiap-tiap tahun dapat bantuan daripada mereka dan masa-masa yang akan datang pun, apa yang kita ada, kita akan menolong kembali," kata Cik Suhaila.
"Kanak-kanak dapat lihat bagaimana kalau kita ada wang tambahan, kita dapat gunakannya untuk manfaat keluarga seperti tuisyen. Apa yang kurang kita dapat tambahkan. Bantuan apapun walaupun sedikit, kita amat menghargainya," ujar seorang lagi penerima bantuan, Encik Nazri Sinin.
Edisi kedua 'Back-To-School' itu juga diperluaskan bagi membantu para pelajar berbilang kaum dan agama.
Malah, lebih 30 peratus penerima bantuan inisiatif tersebut merupakan mereka daripada golongan bukan Melayu/Islam.
Selain mengagihkan bantuan, edisi seterusnya 'Back To School' pada tahun depan bercadang untuk turut mengiktiraf kemajuan kanak-kanak di sekolah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.