Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AMTAS tidak akan hantar rakyat S'pura tunaikan umrah dalam masa terdekat walaupun sudah dibenarkan kerajaan Saudi

Rakyat Singapura mungkin akan hanya dapat mula menunaikan ibadah umrah menjelang akhir tahun ini atas beberapa faktor.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Rakyat Singapura mungkin akan hanya dapat mula menunaikan ibadah umrah menjelang akhir tahun ini atas beberapa faktor.

Demikian garis masa yang diramalkan oleh Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan Islam Singapura (AMTAS), Ustaz TM Fouzy, meskipun pihak Arab Saudi sudah membenarkan rakyat 49 negara, termasuk Singapura, untuk menunaikan umrah selain kegiatan pelancongan lain di negara itu sejak awal bulan ini.

TIDAK TERGESA-GESA HANTAR RAKYAT S'PURA TUNAIKAN UMRAH

Selama dua tahun berturut-turut, pihak berkuasa Arab Saudi hanya membenarkan ibadah haji bagi jumlah jemaah yang terhad dalam keadaan pandemik COVID-19 dengan sempadan negaranya ditutup.

Kurang dua minggu lalu, pihak berkuasa Arab Saudi mula menerima jemaah umrah selepas musim haji tahun ini, namun terhad kepada warga Saudi dan warga asing yang menetap di negara itu sahaja.

Selang lima hari kemudian pada Jumaat lalu (30 Jul), pihak berkuasa Arab Saudi mengumumkan ia akan membuka sempadan kepada pelancong asing - namun mereka perlu sudah menerima dos vaksin yang lengkap.

Pada awal bulan ini pula, pihak berkuasa Arab Saudi mengumumkan ia membuka permohonan visa pelancongannya kepada rakyat Singapura dan 48 negara lain termasuk Brunei Darussalam dan Malaysia.

Dengan visa khas itu, para pengunjung boleh berada di negara itu selama 90 hari untuk menunaikan umrah dan melakukan kegiatan pelancongan lain.

Meskipun begitu, Presiden AMTAS, Ustaz TM Fouzy mengambil pendekatan "berhati-hati dan tidak terus mengambil langkah ke hadapan" untuk menghantar rakyat Singapura ke Tanah Suci buat masa ini atas beberapa faktor.

Halangan utama menurutnya, adalah kata putus pemerintah yang belum membenarkan perjalanan ke luar negara selain atas urusan seperti perniagaan dan pendidikan.

Ustaz TM Fouzy berkata: "Kita perlu lihat daripada negara kita sendiri. Apakah pihak pemerintah akan memberi laluan untuk rombongan-rombongan umrah yang ramai, bukan 100, 200 tetapi beribu. Kedua, waktu pulang kita daripada tanah suci, adakah kita perlu dikuarantin seperti mana yang kita faham, ada negara-negara tersebut yang perlu dikuarantin selama dua minggu dengan bayaran S$2,000. Ketiga, keberangkatan jemaah dalam masalah kita sekarang ini, adakah insurans yang boleh melindungi (para jemaah)."

JAWATANKUASA PELAKSANAAN UMRAH BAKAL DITUBUHKAN

Buat masa ini, pihak AMTAS sedang dalam proses menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi memikirkan tentang pelaksanaan umrah agar dapat menyediakan perjalanan yang selamat buat para jemaah Singapura.

Ia termasuk mempertimbangkan jenis insurans yang boleh memberi perlindungan kepada para jemaah.

Ustaz TM Fouzy berkata: "Memang kita ada rancang untuk adakan jawatankuasa kerana ia perkara penting, sebab itulah kita pun sudah membuat perbincangan antara anggota-anggota untuk mewujudkan jawatankuasa. Ia masih terbuka kepada semua ejen pelancongan supaya mereka dapat memberikan pandangan kepada apa yang dibincangkan."

"Kita perlu lihat apakah implikasi yang berlaku kepada jemaah-jemaah lain negara-negara lain yang kemungkinan mereka akan pergi dan kita melihat sejauh mana apa masalah yang timbul dan perkara-perkara yang boleh kita elakkan untuk jemaah Singapura apabila mereka melakukan ibarat umrah dengan visa pelancongan," jelas Ustaz TM Fouzy.

Mengenai bilakah masanya yang rakyat Singapura boleh jangkakan untuk dapat menunaikan ibadah umrah menerusi ejen-ejen pelancongan, Ustaz TM Fouzy berkata, "Kalau segalanya berjalan dengan baik tidak mustahil jemaah Singapura akan berangkat mungkin pada masa terdekat sebelum sampai akhir tahun ini,"

Dalam pada itu, beberapa syarat lain juga dikenakan bagi mendapatkan visa pelancongan ke Arab Saudi itu termasuk mendapatkan dos vaksin yang lengkap serta keputusan ujian PCR yang negatif dalam tempoh 72 jam sebelum waktu keberangkatan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan