AMTAS: Protokol umrah di Arab Saudi jelas dan teratur
Selepas dua hari di Madinah, Arab Saudi, rombongan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Muslim Singapura (AMTAS) lebih jelas memahami prosedur dan protokol keselamatan COVID-19 yang dilaksanakan di sana.

(Gambar: Agensi berita)
SINGAPURA: Selepas dua hari di Madinah, Arab Saudi, rombongan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Muslim Singapura (AMTAS) lebih jelas memahami prosedur dan protokol keselamatan COVID-19 yang dilaksanakan di sana.
Demikian antara rumusan Naib Presiden AMTAS, Ustaz Jalaluddin Hassan, mengenai protokol umrah sebelum rombongannya bertolak ke Makkah pada lewat Isnin (25 Okt).
14 anggota AMTAS kini berada di tanah suci untuk meninjau protokol kesihatan dan keselamatan baru bagi jemaah umrah Singapura.
Ustaz Jalaluddin berkata beliau berpuas hati dengan protokol keselamatan yang dilaksanakan kerajaan Arab Saudi dalam menjaga kesejahteraan jemaah semasa beribadah.
"Protokol keselamatan yang dijalankan oleh kerajaan Arab Saudi ini amatlah baik sehingga jemaah dapat memasuki Raudhah dan tempat solat dengan tidak ada berpusu-pusu. Mereka juga menjaga jarak selamat dan juga mengamalkan protokol yang sihat bagi jemaah dapat memasuki dan menziarahi makam Nabi Muhammad s.a.w.," tambah beliau.
Sepanjang dua hari di Madinah juga, aplikasi seperti Eatmarna luas digunakan untuk membuat tempahan slot ziarah ke Raudhah, slot umrah dan juga untuk solat waktu di Masjidil Haram.
Ini kata Ustaz Jalaludin bagi membiasakan pegawai dari 10 syarikat pelancongan Haji dan Umrah Singapura yang mengikuti rombongan itu lebih memahami fungsi dan penggunaan aplikasi tersebut.
Keselamatan pengunjung dan jemaah turut diluaskan dengan penggunaan aplikasi Tawakalna untuk ke mana-mana tempat termasuk di pusat membeli belah.
"Mesti ada bukti vaksinasi menerusi aplikasi Tawakalna yang mana aplikasi ini menunjukkan bahawa seseorang yang masuk ke dalam tempat membeli belah ini perlu divaksinasi dahulu," kata Ustaz Jalaluddin.
Di Makkah nanti, rombongan AMTAS akan meninjau norma baru dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan Arab Saudi bagi mengerjakan ibadah umrah.
Ini bagi memastikan bakal jemaah Singapura dapat menunaikan umrah dengan tenang dan selamat apabila rombongan pertama dari Singapura tiba di sana November depan.
"Kami akan cuba memberikan laporan balik kepada pihak-pihak yang tertentu supaya mereka juga dapat merestui pembukaan ini dengan lebih baik dan memahami kedudukan di sini selamat untuk semua," ujar Ustaz Jalaluddin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.