Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AMTAS pertimbang tawar perlindungan insurans bagi insiden perang di Timur Tengah

Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Muslim Singapura (AMTAS) mengesahkan, pihaknya sedang meninjau kemungkinan untuk menawarkan perlindungan insurans bagi insiden-insiden perang dan kekacauan politik di Timur Tengah.

Anggaran Waktu Membaca:
AMTAS pertimbang tawar perlindungan insurans bagi insiden perang di Timur Tengah

Para jemaah haji S'pura di Lapangan Terbang Changi. (Gambar fail: MUIS)

Diterbitkan : 11 Jan 2020 05:30PM Dikemas Kini : 11 Jan 2020 05:36PM

SINGAPURA: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Muslim Singapura (AMTAS) mengesahkan, pihaknya sedang meninjau kemungkinan untuk menawarkan perlindungan insurans bagi insiden-insiden perang dan kekacauan politik di Timur Tengah.

Ini antara lain bermakna, sekiranya peperangan tercetus di Timur Tengah, para jemaah umrah dan haji Singapura yang memutuskan untuk membatalkan perjalanan, mungkin akan mendapat wang mereka kembali.

Sebilangan ejen pelancongan tempatan menyarankan agar pilihan insurans diperluaskan dan meliputi insiden-insiden berkaitan perang, pergolakan awam atau politik.

Lebih-lebih lagi, keadaan semakin tegang di Timur Tengah baru-baru ini manakala para pelancong pula sering kali membuat perancangan awal dan terlebih dahulu sudah membuat bayaran.

Perlindungan lebih komprehensif mungkin termasuk mengembalikan wang pelancong dan memberi perlindungan kepada mereka yang sudahpun berada di rantau itu.

"Apabila jemaah membuat bayaran, mereka ingin semuanya terjamin. Jika kami sudah mencapai kata sepakat, kita pasti akan memaklumkan mereka bahawa ia adalah lebih baik untuk mereka mendapatkan perlindungan insurans itu," kata anggota AMTAS dan Ketua Pegawai Eksekutif Shahidah Travel, Encik Ayoob Angullia.

"Mungkin ia akan menelan kos lebih tinggi tetapi ia lebih terjamin - daripada semua wang yang sudah mereka bayar lesap," tambah beliau.

Shahidah Travel turut mempertimbangkan cara-cara lain, termasuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat insurans.

CARI LALUAN ALTERNATIF BAGI PERCUTIAN KE TIMUR TENGAH

Syarikat-syarikat pengendali khidmat pelancongan yang menganjurkan percutian ke Timur Tengah menyatakan, mereka sedang memantau dengan teliti keadaan di rantau itu. Bagaimanapun, tiada rancangan untuk menukar pakej mereka buat masa ini.

"Kebimbangan utama saya adalah, kebanyakan pakej yang kami tawarkan, memerlukan pelancong mengambil laluan terjejas. Buat masa ini, saya rasa tiada pembatalan akan dilakukan. Kami tidak akan membuat sebarang pembatalan. Kami akan meneruskan apa yang sudah dirancang," kata Pengarah Hamidah Travel & Tours, Encik Badruzzaman Abdul Majid.

Meskipun demikian, ejen pelancongan itu menyatakan, jika keadaan semakin memburuk, ia akan berbincang dengan para klien untuk mencari laluan-laluan alternatif yang lebih selamat.

Sejauh ini, Hamidah Travel & Tours juga tidak menerima sebarang panggilan atau pertanyaan untuk membatalkan tempahan.

DYNASTY TRAVEL MUNGKIN TAWAR RANCANGAN ALTERNATIF

Percutian ke Iran pada masa-masa genting ini juga menjadi kebimbangan. Dynasty Travel misalnya mempunyai lebih 100 pelancong yang sudah membuat tempahan untuk berkunjung ke negara itu. Destinasi itu dikatakan popular terutama sekali antara bulan Mac dengan Mei.

"Keselamatan pelanggan adalah keutamaan kami dan kami sedang memantau keadaan dengan teliti," kata Pengarah Perhubungan Dynasty Travel, Cik Alicia Seah.

"Kami akan menimbangkan untuk menawarkan rancangan alternatif sekiranya situasi kian memburuk sedang tahap keselamatan di sana sukar dipastikan. Kami juga akan mematuhi nasihat pelancongan dan garis panduan Kementerian Ehwal Luar bagi perjalanan ke Iran."

Hubungan antara Washington dengan Tehran semakin tegang pada awal tahun ini apabila Kedutaan Amerika di Iraq diserang.

Insiden itu disusuli dengan dengan serangan dron oleh tentera Amerika Syarikat di Baghdad pada 3 Jan, yang membunuh Komander berpengaruh Iran, Jeneral Qasem Soleimani.

Tehran melakukan tindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu balistik ke atas pangkalan-pangkalan tentera yang menempatkan pasukan tentera Amerika Syarikat di Iraq.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan