Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AMTAS belum terima garis pandu norma baru umrah; gesa jemaah bersabar tunggu arahan lanjut

Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (AMTAS) belum lagi menerima sebarang garis panduan mengenai ibadah umrah di bawah norma baru. Perkembangan terbaru ini didedahkan dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh AMTAS pada Sabtu (24 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
AMTAS belum terima garis pandu norma baru umrah; gesa jemaah bersabar tunggu arahan lanjut

Jemaah umrah Saudi dan warga asing melakukan tawaf di Masjidil Haram pada 4 Okt 2020. (Gambar fail: AFP)

SINGAPURA: Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (AMTAS) belum lagi menerima sebarang garis panduan mengenai ibadah umrah di bawah norma baru.

Perkembangan terbaru ini didedahkan dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh AMTAS pada Sabtu (24 Okt).

Dengan itu, AMTAS akan menunggu keputusan rasmi daripada kementerian-kementerian relevan, baik di peringkat dalam negeri mahupun di peringkat antarabangsa.

"Dengan penularan dan keadaan semasa COVID-19, para jemaah perlu akur bahawa pelaksanaan ibadah umrah tidak lagi seperti dahulu dari segi banyak aspek," menurut AMTAS.

Maka itu, umat Islam Singapura yang berhasrat untuk menunaikan umrah dinasihatkan supaya jangan membuat sebarang komitmen kewangan buat masa ini memandangkan norma baru di tengah-tengah pandemik COVID-19 masih berubah-ubah.

Aspek-aspek perubahan tersebut, menurut AMTAS, merangkumi jadual dan tempoh serta harga pakej umrah, pergerakan jemaah dan penerbangan ke Tanah Suci.

Awal bulan ini, sebilangan agensi yang menawarkan pakej umrah membayangkan kepada BERITAmediacorp bahawa harga pakej umrah mungkin meningkat sehingga 30 peratus.

Menurut agensi-agensi tersebut, kenaikan harga disebabkan oleh kos-kos yang terbit daripada langkah-langkah tambahan akibat pandemik COVID-19.

Ini termasuk kos ujian swab dan kuarantin yang perlu dilalui para jemaah sebaik tiba di Arab Saudi, selain kos pengangkutan dan penginapan yang dijangka lebih tinggi.

Selain itu, AMTAS pada Sabtu turut menasihati para jemaah supaya menjangkakan beberapa lagi perubahan pada pelaksanaan ibadah umrah.

Ini termasuk mengambil kira tempoh inkubasi dalam merancang perjalanan umrah dan kemungkinan menunaikan "umrah sekali sahaja".

SOP, VISA BELUM DIKELUARKAN; JANGAN DAFTAR MELULU

Dalam kenyataannya itu, AMTAS turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang bekerjasama dengan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) dan agensi-agensi relevan yang lain untuk melakarkan prosedur operasi standard (SOP) untuk dipatuhi para jemaah di tengah-tengah norma baru COVID-19.

"Kami berharap semua jemaah akan terus bersabar sambil menantikan arahan dan panduan selanjutnya daripada pihak-pihak berkuasa yang relevan," menurut kenyataan itu lagi. 

Menjawab pertanyaan BERITAmediacorp, Setiausaha AMTAS Shaik Dawood Mohd Yacobb berkata buat masa ini Arab Saudi hanya menerbitkan SOP berhubung pelaksanaan ibadah umrah bagi jemaah yang sudahpun berada di negara itu.

Menurut beliau lagi, agensi-agensi tempatan belum lagi menerima sebarang panduan rasmi bagi jemaah luar negara daripada pihak berkuasa Arab Saudi, meskipun kerajaan negara itu sudah membayangkan akan membenarkan ibadah umrah bagi jemaah antarabangsa secara bertahap-tahap.

Dengan itu, kata beliau, adalah "mustahil" untuk menjangkakan sebarang keberangkatan bagi rombongan jemaah umrah dari Singapura sehingga hujung tahun ini.

"Kami menerima maklum balas dari orang ramai terdapat iklan-iklan online yang menawarkan pakej umrah bagi November dan Disember tahun ini. Adalah agak mustahil untuk adakan pakej ini, kerana SOP dan visa pun belum lagi dikeluarkan," kata Encik Shaik Dawood, yang juga pengurus haji dan umrah bagi syarikat Hamidah Travels.

Iklan-iklan tersebut, menurut beliau, bukan daripada anggota AMTAS.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang sudah membuat bayaran pendahuluan bagi tarikh keberangkatan pada November dan Disember supaya ke pejabat yang menawarkan pakej-pakej itu dan berbincang lanjut dan meminta semula wang pendahuluan yang dibayar.

Masyarakat juga diingatkan supaya terus mengikuti perkembangan rasmi terlebih dahulu sebelum membuat perancangan untuk menunaikan ibadah umrah pada awal tahun depan.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan