Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AMTAS alu-alukan tambahan kuota haji S'pura; ada ejen bimbang masa suntuk untuk buat persiapan

Anggaran Waktu Membaca:
01:40 Min
Presiden ejen-ejen pelancongan Islam Singapura (AMTAS), Ustaz Tengku Mohd Fouzy, mengalu-alukan tambahan kuota haji bagi jemaah Singapura meskipun tawaran Saudi itu dibuat pada saat-saat akhir sekarang.

BERITAmediacorp: Presiden ejen-ejen pelancongan Islam Singapura (AMTAS), Ustaz Tengku Mohd Fouzy, mengalu-alukan tambahan kuota haji bagi jemaah Singapura meskipun tawaran Saudi itu dibuat pada saat-saat akhir. 

"Alhamdulillah, pada hari ini kita mendapat berita yang baik tetapi juga yang mengejutkan. Berita baik itu bahawa kuota untuk jemaah haji Singapura kita diberikan tambahan untuk digenapkan menjadi 900, yang merupakan kuota rasmi kita setiap tahun. 

Perkara ini memang sangatlah mengejutkan kerana kita sudah hampir lagi 10 hari nak masuk satu Zulhijah. Dan Singapura sekarang mempunyai 407 bakal jemaah yang sudah buat persediaan untuk berangkat," kata Ustaz TM Fouzy kepada BERITAmediacorp.

Ustaz TM Fauzy yang merupakan pemilik TM Fouzy Travel & Tours, mengetuai Konsortium Ejen Penjualan (CGSA) bersama-sama dengan Hamidah Travel & Tour serta Hahnemann Travel & Tours.

Konsortium tersebut sudahpun mempunyai 121 jemaah haji pada tahun ini. 

Dan dengan penambahan kuota itu, ia merancang untuk menguruskan lagi 121 atau lebih tempat untuk naik haji kelak.

MUIS, kata Ustaz TM Fouzy, sedang bekerja keras untuk berhubung dengan para jemaah yang sedang berada dalam senarai mereka. 

Ini termasuk memeriksa sama ada mereka boleh menerima tawaran akhir di saat akhir, atau menghadapi sebarang masalah menerimanya.

Pihak GSA pula harus membuat persediaan logistik, seperti hotel, bas dan sebagainya.

"Saya yakin perkara ini dapat dilakukan dengan baik InsyaAllah. Ini kerana pihak GSA sudah mempunyai pengalaman lama dan mempunyai hubungan baik dengan pihak hotel dan juga tempat-tempat penginapan lain di tanah suci.

HALIJAH TRAVELS PTE LTD TIDAK AKAN SEDIAKAN SLOT TAMBAHAN BUAT JEMAAH 

Walau bagaimanapun, Ejen Penjualan Individu (IGSA) Halijah Travels Pte Ltd tidak akan memanfaatkan tambahan kuota jemaah itu.

Menurut Pengurus Umumnya, Encik Haffidz Abdul Hamid, tiada masalah bagi syarikatnya untuk membuat persediaan logistik seperti mendapatkan kemudahan penginapan.

Namun ia mengutamakan kebajikan para bakal jemaah, lebih-lebih lagi dengan jangka masa singkat yang diberikan kepada para bakal jemaah untuk membuat persiapan.

"Yang kita risau sekarang adalah persiapan jemaah untuk pergi Haji, adakah jemaah itu sudah cukup persiapan atau tidak. Mengikut pengalaman kita, kalau kita beri kuota pada saat-saat terakhir, kadang kadang jemaah itu belum bersedia," kongsi Encik Haffidz kepada BERITAmediacorp.

"Bila mereka di bawah tekanan untuk pergi, apabila mereka di sana nanti, selalunya jemaah yang belum mencukupi persediaan dari segi mental mungkin akan menghadapi masalah di sana. Ini lebih-lebih lagi bagi jemaah Haji kali pertama, dan yang tidak pernah pergi menunaikan Umrah," tambah beliau lagi.

Menurut Encik Haffidz lagi, dalam masa yang suntuk ini, terlalu banyak persediaan yang perlu diselesaikan termasuk masalah keluarga, kerja, cuti serta persiapan mental.

Beliau turut menarik perhatian pandemik COVID-19 belum berlalu sepenuhnya dan ada risiko jangkitan dalam kalangan jemaah.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan