Amrin: Serangan siber bukan hambatan S'pura teruskan pelan pendigitalan
Serangan siber besar-besaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini bukan satu halangan bagi Singapura untuk meneruskan rancangan modenisasi dan pendigitalan negara.

Gambar fail Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri, Amrin Amin.
SINGAPURA: Serangan siber besar-besaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini bukan satu halangan bagi Singapura untuk meneruskan rancangan modenisasi dan pendigitalan negara.
Ini ditekankan Setiausaha Parlimen Kesihatan Amrin Amin menerusi catatan Facebooknya menyusuli insiden di mana maklumat peribadi sekitar 1.5 juta pesakit SingHealth dicerobohi dan disalin secara haram.
Menurut Encik Amrin, penggodam "bukan penjenayah biasa" memandangkan pihaknya menceroboh data 1.5 juta pesakit SingHealth dan rekod ubat-ubatan 160,000 pesakit luar, termasuk Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan beberapa menteri lain.
"Kami hidup dalam aman, tetapi kita perlu ingat akan ancaman-ancaman yang ada - tidak kira di luar mahupun alam siber," tegas Encik Amrin.
"Rakyat Singapura bagaimanapun tidak akan gentar. Pelan-pelan pendigitalan dan modenisasi akan tetap diteruskan."
Sebuah Jawatankuasa Siasatan (COI) ditubuhkan untuk menyiasat pencerobohan tersebut. Agensi Keselamatan Siber (CSA) Singapura juga akan bekerjasama dengan sektor-sektor utama dan memperkukuh aspek keselamatan sistem prasarana maklumat kritikal.
ORANG RAMAI BOLEH CEGAH PENCEROBOHAN DATA
Dalam pada itu, CSA menggesa orang ramai supaya berwaspada terhadap sebarang permintaan luar biasa bagi butiran peribadi mereka dan mengesahkan dahulu dengan pihak berkuasa tentang kesahihan permintaan tersebut.

Gambar hiasan.
Para pengguna juga dinasihati supaya menukar kata laluan bagi akaun-akaun online mereka terutama sekali jika kata laluan itu mengandungi butiran peribadi masing-masing. Orang ramai boleh melungsuri laman GoSafeOnline untuk mendapatkan panduan bagi kata laluan supaya akaun mereka tidak mudah dicerobohi.
Mereka yang sering melakukan urus niaga online di laman-laman pemerintah dan bank juga digesa mengaktifkan Pengesahan Data Tahap Kedua (2FA), jika belum berbuat demikian, sebagai langkah berjaga-jaga.
Di samping itu, penyata kewangan dan rekod transaksi perlu terus dipantau agar sebarang penipuan mahupun kegiatan jenayah dapat dikesan awal. Anda boleh mengubungi pihak bank sekiranya mengesyaki sebarang urus niaga yang mencurigakan.
LANGKAH BAGI SYARIKAT-SYARIKAT
Syarikat-syarikat yang menyimpan data pelanggan juga perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi data pelanggan.

Antaranya termasuk merekod sebarang data sensitif, dan mengehadkan akses para pekerja dan pihak berkepentingan lain. Kata laluan yang disimpan juga perlu ditukar menjadi kod supaya tidak mudah dicerobohi.
Selain itu, syarikat-syarikat perlu menyemak semula dasar-dasar pengurusan rekod dan data berkaitan tempoh dan jenis data pelanggan yang boleh disimpan. Syarikat dinasihati menghapuskan sebarang data pelanggan yang tidak lagi diperlukan, seperti akaun-akaun yang sudah ditutup.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.