Amrin: S'pura ada 'langkah terperinci' demi lebih sedia apabila 'circuit breaker' ditamatkan
Pasukan-pasukan pengesan kontak di Singapura yang bertambah daripada 20 pada Mac kepada 50 sekarang, merupakan antara "langkah terperinci" demi menjadikan Singapura "lebih bersedia" apabila langkah 'circuit breaker' ditamatkan nanti.
SINGAPURA: Pasukan-pasukan pengesan kontak di Singapura yang bertambah daripada 20 pada Mac kepada 50 sekarang, merupakan antara "langkah terperinci" demi menjadikan Singapura "lebih bersedia" apabila langkah 'circuit breaker' ditamatkan nanti.
Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan dan Ehwal Dalam Negeri, Amrin Amin mengatakan demikian semasa beliau meninjau pasukan-pasukan tersebut yang terus bertugas pada Hari Raya ini, siang tadi (25 Mei).
Pusat Pengesanan Kontak Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) di Kem Mandai Hill adalah salah satu daripada 'bilik perang' yang digunakan untuk melawan penularan COVID-19.
Di pusat-pusat itu, para pegawai bekerja tujuh hari seminggu untuk mengesan kontak pesakit-pesakit virus berbahaya itu ataupun mereka yang disyaki dijangkiti.
Pagi tadi (25 Mei), Encik Amrin Amin yang lengkap berpakaian baju Melayu, datang untuk mengucapkan "ribuan terima kasih" kepada para pekerja barisan hadapan yang bertugas meskipun di tengah-tengah musim cuti Hari Raya.
Antara para pekerja tersebut termasuklah Encik Shafiq Sahib, yang merupakan Ketua di Pusat Pengesanan Kontak (CTC) 2.
Encik Amrin Amin antara lain menghulurkan kuih-muih Hari Raya kepada mereka sebagai lambang menjunjung budi di atas pengorbanan mereka.
"Usaha pengesanan kontak ini amatlah penting dan saya di sini untuk menekankan kepentingan usaha ini.
"Sedang kita keluar daripada tempoh 'Circuit Breaker' pada 1 Jun, kita berkemungkinan akan melihat lebih banyak kes-kes COVID-19. Ini kerana dengan meningkatnya interaksi secara fizikal, kemungkinan COVID-19 ini merebak, agak tinggi," kata Encik Amrin Amin.
Lantaran itu, Encik Amrin menekankan betapa orang ramai harus terus mematuhi peraturan-peraturan jarak selamat pada Jun nanti.
Pasukan di Kem Mandai Hill merangkumi para pegawai MINDEF, Kementerian Kesihatan serta kakitangan SIA dan Jetstar.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.