Skip to main content

Singapura

Amrin: Perlu lihat Pakej Generasi Merdeka secara menyeluruh

Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan Amrin Amin berkata pakej Generasi Merdeka perlu dilihat secara menyeluruh dan bukan hanya daripada satu aspek. Encik Amrin menekankan demikian semasa ditemui di sesi penutup dialog pasca Belanjawan anjuran gerakan M³ pada Selasa (26 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan Amrin Amin berkata pakej Generasi Merdeka perlu dilihat secara menyeluruh dan bukan hanya daripada satu aspek.

Pakej itu juga, menurutnya, bukan bertujuan mengatasi semua cabaran tetapi untuk bantu meringankan beban kos kesihatan bagi golongan generasi Merdeka dan keluarga mereka.

Encik Amrin menekankan demikian semasa ditemui di sesi penutup dialog pasca Belanjawan anjuran gerakan M³ pada Selasa (26 Mac).

Isu kos jagaan kesihatan merupakan salah satu keprihatinan utama yang dibangkitkan para peserta dalam ketiga-tiga sesi dialog pasca Belanjawan M³ yang berakhir semalam.

Sekitar 200 aktivis akar umbi dan masyarakat menyertai sesi ketiga dialog ini yang dipimpin oleh Menteri Negara Pembangunan Negara (MND) merangkap Tenaga Manusia (MOM), Zaqy Mohamad dan Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan, Amrin Amin.

Sebahagian peserta yang hadir memohon pencerahan tentang pelbagai skim pemerintah seperti pakej Generasi Merdeka, khususnya, tokokan sekali sahaja bernilai S$100 ke dalam kad PAssion Warga Emas.

Menjawab pertanyaan tersebut, para peserta dialog diberi penjelasan mengenai penggunaan kad PAssion Warga Emas yang boleh digunakan bukan hanya untuk membayar yuran penggunaan kemudahan sukan tetapi juga untuk membayar tambang pengangkutan awam.

Nilai tokokan S$100 pula diberi Pemerintah demi menggalakkan lebih ramai menggunakan kad itu untuk meraih manfaat daripada penggunaan kemudahan bersukan.

Ada juga yang prihatin bahawa tokokan akaun Medisave sebanyak S$200 tidak mencukupi bagi golongan warga emas yang menghidapi penyakit kronik.

Menurut Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan, Amrin Amin: "Pakej ini sebenarnya bukan bermatlamat untuk mengatasi semua cabaran tetapi matlamat pakej ini adalah untuk meringankan beban masyarakat generasi Merdeka dan keluarga-keluarga mereka.

"Jadi kita tidak boleh lihatkan atau terlalu tumpukan pada satu aspek pakej itu tetapi secara menyeluruh, dari segi Medisave, dari segi Careshield Hayat serta tokokan tambah pada kad PAssion warga emas. Ini untuk memberikan golongan ini kelegaan dan keselesaan."

Selain daripada kos jagaan kesihatan, persoalan berkaitan usia persaraan dan pengambilan semula pekerja selepas bersara, juga dibangkitkan peserta dialog.

"Antara kita tertanya-tanya bagi masa depan kita, apa yang kita akan lakukan setelah kita tidak bekerja," ujar salah seorang peserta dialog, Rusnah Mohd Sah, yang juga Setiausaha MAEC Bukit Panjang.

Encik Zaqy akur dengan keprihatinan seperti itu dan turut memberi sokongan beliau.

"Saya rasa ramai rakyat Singapura berhasrat untuk terus bekerja kerana mereka lebih mahir hari ini, lebih berpendidikan dan juga bagi golongan Generasi Merdeka misalnya, saya rasa mereka boleh terus bekerja jika mereka mempunyai kesihatan yang baik," kata beliau yang juga merupakan Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang.

"Ini satu aspek yang saya rasa kita akan meninjau dan bekerjasama dengan majikan-majikan dan kesatuan-kesatuan seperti NTUC untuk mencapai satu persetujuan," tambah beliau lagi.

Encik Zaqy juga menarik perhatian terhadap skim-skim pemerintah seperti Kredit Pekerjaan Khas (SEC) untuk menggalakkan para majikan menggajikan lebih ramai pekerja matang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita