Amrin: "Kemajuan baik" dapat dilihat dalam usaha 'sihatkan' masyarakat Melayu
Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan Amrin Amin berkata Kementerian Kesihatan (MOH) sudah membuat "kemajuan baik" dalam usaha-usaha menggalakkan kesihatan di kalangan masyarakat Melayu.
SINGAPURA: Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan Amrin Amin berkata Kementerian Kesihatan (MOH) sudah membuat "kemajuan baik" dalam usaha-usaha menggalakkan kesihatan di kalangan masyarakat Melayu.
Berkongsi 'buku rekod' kesihatan masyarakat Melayu/Islam di Parlimen hari ini (6 Mac), beliau berkata sekitar 8,500 orang didekati dalam program-program kesihatan dijalankan pada 2017 hingga 2018.
Program-program itu termasuk program seperti Gerak Gelak, ‘Get Fit For Haji/Umrah' dan program terbaru untuk bakal pengantin.
'JAGA MAKAN, MINUM DAN BERSENAM', 'JALANI PEMERIKSAAN & KESIHATAN'

Encik Amrin menekankan bahawa MOH menumpukan dua aspek dalam membantu masyarakat Melayu/Islam menjaga kesihatan.
Pertama adalah menjaga makan minum dan bersenam, dan kedua, menggalak masyarakat Melayu untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan awal.
Beliau berkongsi bahawa terdapat kemajuan yang dicapai sejauh ini melalui pelbagai program kesihatan yang diadakan dengan jumlah penyertaan yang tinggi.
Lantaran itu, beliau berkata beberapa program akan diperluaskan dan terus ditumpukan kepada peringkat akar umbi supaya masyarakat sama-sama dapat menikmati hasil inisiatif itu.
"Sebenarnya jaga kesihatan juga seruan agama. Program “Jaga Kesihatan, Jaga Ummah (JKJU)” yang dilancarkan dua tahun lalu bermula dengan 5 masjid. Ia telah menebar sayap ke 23 masjid dan berbagai program senaman dan bengkel kesihatan dan pemeriksaan kesihatan telah dianjurkan di masjid-masjid JKJU. Nikmat kesihatan anugerah tidak ternilai. Kita hargainya. Kita peliharanya. Marilah kita jaga kesihatan diri dan keluarga," ujar beliau.
Berikut adalah sekilas perkembangan inisiatif-inisiatif yang dikongsikan Encik Amrin:
- Kini ada enam hidangan versi sihat termasuk bubur ayam, Penang Asam Laksa dan mi bakso berbanding hanya dua pada 2017
- Lebih 1,100 kedai makan yang menghidangkan makanan halal sihat yang
menggunakan beras perang, minyak masak sihat dan sayuran segar
- Kini ada 107 penyedia makanan catering halal sihat termasuk 24 penyedia majlis perkahwinan Melayu
-140 bakal pengantin menyertai program perintis 'Get-Fit'
- Laman media sosial bagi kempen “Korang OK” mempunyai lebih daripada 23,000 pengikut dan ruang itu rancak berkongsi resipi sihat dan petua kesihatan
- 900 ahli masyarakat menyertai dialog bersama Persatuan Karyawan Jagaan Kesihatan Muslim (MHPA) dan Berita Harian
- ‘Get Fit For Haji/Umrah' menarik lebih 900 peserta
- 'Gerak Gelak’ yang sudah berada di empat kawasan undi berjaya menarik 2,200 peserta
- Program 'Jaga Kesihatan, Jaga Ummah' diperluaskan kepada 23 masjid dan memanfaatkan 4,500 jemaah
STATISTIK PENYAKIT KENCING MANIS MASIH MEMBIMBANGKAN
Encik Amrin bagaimanapun mengatakan, meskipun terdapat kemajuan yang dicapai, usaha-usaha ini perlu terus dipergiatkan.
Ini kerana statistik tentang penyakit kencing manis misalnya masih berada di tahap yang membimbangkan iaitu 1 daripada 6 dewasa Melayu yang menghidap kencing manis berbanding 1 daripada 9 dewasa secara umumnya.
Beliau berkongsi: "Ada tanda-tanda yang membimbangkan. Kita lihat kadar mereka yang sakit kronik, membimbangkan. Jadi saya rasa secara khususnya adalah lebih banyak perlu kita lakukan bersama. Bersama-sama menyingsing lengan untuk memastikan kaum keluarga kita, jiran-jiran kita tahu tentang skim-skim yang ada, tahu tentang rawatan, pemeriksaan dan peri pentingnya membuat pilihan yang bijak."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.