Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Amrin Amin, Saktiandi Supaat beri jaminan stok bekalan negara mencukupi; nasihatkan penduduk jangan beli berlebihan

Terus bertenang kerana keadaan virus korona COVID-19 di Singapura masih terkawal. Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin memberi jaminan tersebut kepada rakyat Singapura dalam satu catatan Facebook malam tadi (17 Mac). 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Terus bertenang kerana keadaan virus korona COVID-19 di Singapura masih terkawal. Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin memberi jaminan tersebut kepada rakyat Singapura dalam satu catatan Facebook malam tadi (17 Mac).

Encik Amrin turut memberi keyakinan bahawa Singapura mempunyai bekalan yang mencukupi dalam stok simpanan negara.

Ini berikutan perisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan oleh Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin semalam, yang akan dikuatkuasakan dari 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara itu.

Di bawah perintah tersebut, warga Malaysia dilarang ke luar negara manakala semua pelancong dan pelawat asing pula tidak dibenarkan mengunjungi Malaysia sepanjang tempoh berkenaan.

"Saya tahu anda bimbang tentang perintah kawalan pergerakan Malaysia," ungkap Encik Amrin.

"Jangan khuatir. Saya memberi jaminan kepada anda bahawa tiada alasan langsung untuk berbelanja berlebihan. Pembelian panik tidak membawa sebarang kebaikan untuk sesiapa," tulis beliau lanjut.

Bahkan, menurut Encik Amrin, stok makanan dan bekalan-bekalan lain di Singapura datang daripada pelbagai sumber. Lantaran itu, beliau berharap rakyat Singapura tidak akan berasa risau dengan keadaan COVID-19 dan terus berdiri teguh sebagai satu masyarakat sambil membubuhkan tanda pagar #SGUnited untuk mengakhiri pesanan ringkasnya itu.

Senada dengan mesej Encik Amrin, Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh Saktiandi Supaat menggesa penduduk watan supaya hanya membeli apa yang mereka perlukan saja dan bukannya menyimpan stok berlebihan di rumah.

Gambar ihsan Encik Saktiandi Supaat semasa bertemu penduduk di sebuah pasar.

(Gambar ihsan Encik Saktiandi Supaat semasa bertemu penduduk di sebuah pasar.)

"Kita mempunyai bekalan makanan serta bekalan penting yang mencukupi selagi kita tidak panik dan berbelanja berlebihan," ujar Encik Saktiandi dalam catatan Facebooknya malam tadi.

"Mari kita semua bertenang dan jangan goyah di tengah-tengah persekitaran ini," nasihat beliau.

Dari segi tempias kepada sektor perniagaan pula, Encik Saktiandi menukil Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing sebagai berkata bahawa syarikat-syarikat yang menggajikan pekerja Malaysia, yang berulang-alik setiap hari antara Singapura dengan Malaysia, mungkin perlu mengaktifkan pelan kesinambungan perniagaan masing-masing.

Dalam pada itu, Presiden Halimah Yacob menzahirkan persetujuan dengan nasihat oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli agar umat Islam setempat tidak mengambil bahagian dalam mana-mana majlis keagamaan yang melibatkan ribuan peserta.

Gambar fail Presiden Halimah Yacob. (Gambar: Hanidah Amin)

Menulis di akaun Facebooknya pada Ahad (15 Mac), Puan Halimah berkata langkah seumpama itu penting sedang negara terus berjuang untuk memerangi COVID-19 "yang sedang menular pesat di seluruh dunia".

Beliau berkata pelibatan anggota masyarakat Islam tempatan dalam dua majlis agama berskala besar yang diadakan di Kuala Lumpur dan Batam baru-baru ini "amat membimbangkan".

Ini memandangkan, jelas Puan Halimah, virus korona mudah dijangkiti serta senang merebak dan amat berbahaya terutama dalam kalangan golongan lanjut usia. Beliau berharap mereka yang menyertai majlis-majlis keagamaan tersebut segera mengambil langkah-langkah pencegahan seperti yang dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) demi kemaslahatan keluarga, jiran tetangga dan masyarakat keseluruhannya.

Di samping menyokong usaha mengekang penularan COVID-19, Puan Halimah menyeru masyarakat supaya sama-sama memikul tanggungjawab dan melantunkan sikap peduli bagi kebaikan semua. 

LAPORAN BERKAITAN:


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa