Amrin Amin: Pindaan Kanun Keseksaan - isyarat tegas untuk lindungi golongan lemah
"Rombakan kepada kanun keseksaan ini juga adalah untuk memberi amaran kepada mereka yang undang-undang ini tetap akan diperbaharukan supaya mereka yang niat jahat, tidak (akan) selamat. Terutama jika mereka mengeksploitasikan kaum yang lemah," tegas Encik Amrin Amin.
BERITAmediacorp: "Rombakan kepada kanun keseksaan ini juga adalah untuk memberi amaran kepada mereka yang undang-undang ini tetap akan diperbaharukan supaya mereka yang niat jahat, tidak (akan) selamat. Terutama jika mereka mengeksploitasikan kaum yang lemah."
Demikian ditekankan Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan, Amrin Amin, dalam wawancara dengan BERITAmediacorp, semasa diminta mengulas laporan Jawatankuasa Semakan Kanun Keseksaan (PCRC) yang diserahkan kepada pemerintah pada minggu lalu.
Dalam erti kata lain, Encik Amrin berkata bahawa semakan menyeluruh terhadap Kanun Keseksaan negara ini perlu bagi memastikan pesalah-pesalah tidak terlepas daripada hukuman sewajarnya disebabkan undang-undang yang tidak lagi selaras dengan arus perubahan serta nilai-nilai yang dipegang masyarakat sekarang.
Beliau juga menyifatkan pindaan yang diusulkan itu, terutamanya bagi melindungi golongan lemah, merupakan satu isyarat tegas bahawa mereka akan terus dilindungi.
Secara keseluruhannya, laporan saranan PCRC setebal lebih 500 halaman mengemukakan 169 saranan bagi mengemas kini Kanun Keseksaan. Ia kali terakhir disemak 10 tahun lalu.
PERBINCANGAN DENGAN PELBAGAI PIHAK TERMASUK MUIS
Antara tumpuan utamanya kali ini adalah mengetatkan lagi undang-undang bagi melindungi golongan yang terdedah kepada penganiayaan, seperti kanak-kanak dan wanita.
Encik Amrin merupakan pengerusi bersama PCRC yang ditubuhkan dua tahun lalu bagi menyemak kanun keseksaaan Singapura yang sudah berusia lebih 150 tahun.
Menurut beliau, salah satu saranan yang memerlukan pertimbangan mendalam adalah menghapuskan imuniti perkahwinan bagi kesalahan merogol oleh seseorang ke atas pasangannya.
Persetujuan untuk mengusulkan saranan itu, kata Encik Amrin, hanya dibuat setelah perbincangan diadakan dengan pelbagai pihak, termasuk badan-badan agama seperti MUIS.
"Kita telah mendapat sokongan kuat dan tegas daripada semua ahli-ahli atau wakil agama kerana di masa kini, keganasan terhadap wanita itu tidak sama sekali dapat diterima.
"Menurut pendirian daripada MUIS yang di dalam institusi perkahwinan itu, harus ada sikap saling hormat-menghormati. Jadi ini adalah satu prinsip yang penting dan juga adalah satu laungan agama yang harus kita pastikan ada kebenaran atau izinan itu sebelum hubungan intim itu diteruskan," kata Encik Amrin.
TIDAK BOLEH 'TUTUP MATA' TERHADAP PENGANIAYAAN GOLONGAN LEMAH
Sementara itu, bagi melindungi golongan lemah daripada terus didera dan dianiaya, saranan dikemukakan untuk mengenakan hukuman yang sama berat kepada penjaga yang tidak melaporkan penderaan yang berlaku di depan mata mereka.
Encik Amrin berkata langkah tegas itu perlu diambil supaya para penjaga tidak terus 'tutup mata' kepada kejadian keganasan keluarga.
"Jika kita tahu penderaan itu telah berlaku, mereka telah berada di tempat yang sama, mereka melihat sendiri, harus sekurang-kurangnya mereka menghalangnya, membuat laporan dan jika tidak, ini kami tekankan adalah satu perkara yang salah," tambah beliau.
Untuk terus memastikan Kanun Keseksaan mencerminkan keadaan sebenar masyarakat, Encik Amrin berkata ada kemungkinan ia akan dikemas kini dengan lebih kerap lagi.
Itulah caranya pemerintah menunjukkan tekad dalam memastikan undang-undang negara kekal relevan, kata beliau.
Malah, ia jelas dilihat dalam semakan kali ini dengan usulan beberapa undang-undang baru terhadap penyebaran bahan lucah sebagai tindakan membalas dendam.
Kini langkah seterusnya adalah untuk mendapatkan maklum balas daripada orang awam termasuk para agamawan dan pakar sebelum kesemua saranan itu diusulkan di Parlimen kelak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.