Amrin Amin kunjungi pekerja barisan hadapan di dormitori; kagum dengan pengorbanan mereka
Kesejahteraan kakitangan barisan hadapan juga perlu dijaga sedang mereka bertungkus-lumus sepanjang 24 jam memastikan kebajikan para pekerja asing dijaga.
SINGAPURA: Kesejahteraan kakitangan barisan hadapan juga perlu dijaga sedang mereka bertungkus-lumus sepanjang 24 jam memastikan kebajikan para pekerja asing dijaga.
Ini kerana mereka juga ada keluarga yang khuatirkan tentang keselamatan mereka.
Demikian tekan Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri, Amrin Amin semasa mengadakan lawatan ke Dormitory Tuas South, yang menempatkan lebih 9,000 pekerja asing, hari ini (14 Mei).
Di sana, beliau bertemu dengan kakitangan barisan hadapan untuk mengucapkan ribuan terima kasih.
Usai lawatan itu, Encik Amrin melahirkan rasa bangga dan kagum dengan kesungguhan dan pengorbanan kakitangan barisan hadapan.

Mereka termasuk para pegawai Home Team yang bekerjasama dengan kakitangan Kementerian Tenaga Manusia dan juga para pegawai jagaan kesihatan dari hospital.
Terdapat lebih 360 pegawai Home Team yang ditugaskan ke semua dormitori pekerja asing di serata negara. Sebahagian daripada malah secara sukarela mahu menyumbang tenaga.

Misi mereka adalah untuk menjaga pekerja asing. Tugas ini berbeza daripada tanggungjawab mereka sebelum pandemik COVID-19, iaitu sebagai polis, anggota bomba, pegawai imigresen, pegawai penjara atau pegawai kementerian.

Encik Amrin menyifatkan mereka sebagai "ikhlas" dan "terperinci" semasa menjalankan tugas.
"Saya telah melihat rancangan terperinci yang telah dilakukan oleh pihak-pihak pegawai kita, untuk memastikan keperluan mereka sama ada makanan sama ada kebersihan dan sebagainya dijaga.
"Ini menunjukkan kesungguhan kita untuk menjaga para pekerja asing sewaktu saat-saat yang genting ini. Dan saya gembira, mereka secara ikhlas menghulurkan bantuan ini," kata Encik Amrin.

Encik Amrin menambah, kakitangan barisan hadapan itu begitu berusaha untuk memastikan kebajikan para pekerja asing dijaga rapi dan baik.
Ini termasuk memastikan bekalan makanan sentiasa ada dan sampai tepat pada waktunya selain membantu menjaga kebersihan persekitaran dormitori.

Salah seorang pegawai yang ditemui Encik Amrin ialah ketua pasukan sokongan FAST, Superintenden Amir Rahaman.
Berkongsi pengalamannya, Supt Amir berkata sewaktu mula-mula pasukannya dikerahkan ke dormitori tersebut, beliau dapat mengesan rasa risau yang membelenggu para pekerja asing itu.
Namun, dengan adanya adanya pusat-pusat rawatan yang diadakan di dormitori itu dan saringan-saringan yang dilakukan mereka mula berasa tenang.
"Setelah banyak pelibatan yang diadakan dengan mereka, mereka sekarang agak yakin yang kesejahteraan mereka ini terjaga. Malah mereka berterima kasih kepada pemerintah Singapura kerana menjaga kebajikan mereka dan kesejahteraan mereka selama ini," kata Supt Amir.

Kerjasama cekap antara agensi-agensi pemerintah dan juga pengurus-pengurus dormitori pula, menurut Encik Amrin, menunjukkan kesungguhan, kebolehan, keupayaan kita untuk membantu para pekerja asing.
Ini baik dari emosi mahupun psikologi, lebih-lebih lagi pada masa-masa sukar sepanjang pandemik COVID-19 ini.
Lantaran itu, Encik Amrin menekankan sedang Singapura memastikan kebajikan para pekerja asing, kita juga perlu menjaga kesejahteraan kakitangan barisan hadapan kita.

Ini supaya mereka dapat berasa tenang sepanjang melakukan tugas untuk memberi khidmat kepada para pekerja asing.
"Pegawai barisan hadapan juga berasa khuatir dan juga ada keluarga yang khuatir tentang kebajikan mereka. Jadi kita juga ada menumpukan perhatian untuk kebajikan mereka. Memastikan yang kesihatan psikologi mereka, emosi mereka terjaga," ujar Encik Amrin.
Antara langkah-langkah yang diambil untuk menyokong kakitangan barisan hadapan adalah mengadakan tempat berehat, tempat untuk mandi sebelum mereka pulang ke rumah dan tempat untuk cuci baju.
"Apabila saya bertanya sama ada mereka khuatir dan apakah yang mendorong mereka, satu jawapan yang sangat menyentuh hati ialah beliau berkata beliau menyahut cabaran atau menyahut panggilan semasa detik-detik krisis dan inilah yang menjadi dorongan para pekerja kita dan saya sangat bangga dan saya sangat kagum. Saya sendiri ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada mereka," kata Encik Amrin.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.