Skip to main content

Singapura

AMP ucap tahniah kepada Tharman, ikrar sokongan bina masyarakat SG lebih padu, inklusif

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Ucapan tahniah datang mencurah-curah bagi Encik Tharman Shanmugaratnam termasuk daripada AMP Singapura, setelah beliau meraih kemenangan besar dalam Pilihan Raya Presiden 2023 pada Jumaat (1 Sep).

Encik Tharman, 66 tahun, memperoleh 70.4 peratus undi, manakala pesaing beliau, Encik Ng Kok Song dan Encik Tan Kin Lian masing-masing menerima 15.72 peratus dan 13.88 peratus.

Dalam kenyataan medianya pada Sabtu (2 Sep), AMP Singapura menyifatkan pemilihan Encik Tharman sebagai "peristiwa penting di Singapura", memandangkan beliau membawa bersamanya pengalaman luas dan kaya serta komitmen yang mendalam kepada perkhidmatan awam.

"Mandat kukuh yang diterimanya juga merupakan bukti rekod cemerlang (Encik Tharman) selama berdekad-dekad lamanya, yang membuat Encik Tharman dihormati dan dikagumi mereka daripada pelbagai latar belakang," menurut AMP Singapura.

Sebagai sebuah pertubuhan bukan meraih untung yang mendampingi dan menyokong kepentingan masyarakat Muslim Singapura, AMP Singapura mengiktiraf dedikasi Encik Tharman dalam menggalakkan inklusiviti, keharmonian, dan kepelbagaian dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.

AMP Singapura melahirkan rasa yakin terhadap Encik Tharman dalam terus mencerminkan nilai-nilai tersebut dan mengukuhkan hubungan dalam semua lapisan masyarkat di negara ini selaku Presiden Singapura.

"AMP mengucapkan selamat maju jaya kepada bakal Presiden Tharman sedang beliau menyandang peranan baharu itu dan siap menyokong usaha Encik Tharman membina masyarakat setempat yang lebih kukuh dan inklusif.

DEWAN PERNIAGAAN & PERUSAHAAN INDIA SINGAPURA UCAP TAHNIAH

Dewan Perniagaan dan Perusahaan India Singapura turut mengucapkan tahniah kepada Encik Tharman Shanmugaratnam.

Menurut dewan itu, masyarakat perusahaan India di Singapura telah meraih manfaat daripada "nasihat baik" Encik Tharman semasa sesi-sesi dialog sebelum ini.

Mereka berharap untuk terus mendampingi Encik Tharman apabila beliau memulakan tugas di Istana kelak.
Sumber : BERITA Mediacorp/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita